Jenazah masih wangi, elok  

Jenazah masih wangi, elok

Jenazah Maheran dikafankan semula sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Kampung Batu Badak, Segamat.

Mayat guru al-Quran dikebumi pada 2006 masih sempurna

Segamat: Jenazah seorang guru agama yang dikebumikan kira-kira tujuh tahun lalu ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi ketika kerja menggali tanah perkuburan di Kampung Batu Badak, di sini.

Jenazah Allahyarham Maheran Jaaffar, yang meninggal pada 2006 adalah antara 350 kubur yang digali semula untuk dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek melebar Jalan Segamat-Ledang.
Selain itu, dua jenazah lagi turut ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi walaupun dikebumikan sejak berdekad lalu.



Anak sulung Maheran, Hamisah Kassim, 67, berkata beliau terkejut dan hiba apabila dimaklumkan jenazah ibunya dalam keadaan wangi dan masih sempurna, termasuk kain kapan yang masih utuh.

Pemindahan kubur

“Kubur emak adalah yang pertama digali untuk dipindahkan ke Tanah Perkuburan Wakaf di Kampung Tasek. Saya terharu diberitahu jenazah ibu masih elok dan wangi.

“Mungkin itu balasan yang diterima ibu kerana ketika hayatnya arwah mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran. Seingat saya, arwah sentiasa mengamalkan amalan berselawat, berzikir dan sering bersedekah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Hamisah berkata, arwah ibunya juga seorang yang bertanggungjawab menjaga empat lagi adik-beradiknya dan seorang yang pendiam.

Sementara itu, Penyelia Tanah Perkuburan Jabatan Agama Johor (JAJ), Jamaluddin Sapuan, berkata semua jenazah yang digali semula itu dikapankan dan dikebumikan semula di Tanah Wakaf Kampung Tasek.

“Seramai 15 penggali kubur di bawah JAJ memulakan kerja menggali sambil dilihat beberapa jabatan kerajaan, waris dan penduduk setempat.

“Penemuan jenazah yang masih sempurna dan berbau wangi tanda kekuasaan Allah SWT dan balasan yang baik kepada mereka yang melakukan suruhan Allah,” katanya. 
Oleh Ahmad Ismail | bhjb@bh.com.my

Segamat: “Ketika hayatnya, arwah bapa saudara tidak pernah meninggalkan solat dan sentiasa berjemaah di surau atau masjid walaupun dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
“Pernah sekali dia diusung ke masjid untuk solat berjemaah walaupun dinasihatkan supaya hanya untuk bersolat di rumah,” kata Azli Lisot, 49.
 Foto

Azli waris kepada Allahyarham Rahmat Raub, 65, yang jasadnya antara 16 jasad didapati masih berkeadaan sempurna ketika kerja menggali dan memindahkan 150 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak di sini, dilakukan.

Azli yang berada di tanah perkuburan sejak 6 November lalu untuk melihat proses penggalian dan pengebumian semula dilakukan berkata arwah bapa saudaranya itu meninggal dunia pada 2006 akibat sakit tua.