05 February 2012

aspirasidiri : Belajar Itu Ibadah

Belajar adalah perlakuan mencari sesuatu yang dengannya seseorang itu di anggap berpengetahuan. Masih ada lagi dalam kalangan murid yang tercari-cari apa pentingnya belajar. Imam Shafie menyebut barangsiapa yang inginkan dunia maka sewajarnya dengan ilmu, barang siapa yang inginkan akhirat sewajarnya dengan ilmu. Seseorang itu tidak dimaafkan kesalahannya kerana tidak tahu. Tidaktahunya itu kerana tidak belajar. Dalam ibadat, perlaksanaan sesuatu ibadat itu tidak boleh dilakukan hanya semata-mata kita melakukan dengan mengikut perlakuan orang lain. Sebab itu syaitan cukup bimbang orang alim (berilmu) yang tidur berbanding orang yang jahil tetapi melakukan ibadat di malam hari. Sehinggakan seseorang yang tidak belajar tidak tahu apa yang ia tidak tahu. Ini lah perkara yang sangat ditakuti. Kita tidak tahu, apa yang kita tidak tahu (jahil murakkab). Sebab itu belajar itu adalah sebagai ibadah. Dengan ilmu dapat membuka mata hati melihat dan mengetahui serta melaksanakan setiap perlakuan kita dengan ilmu. Inilah keindahan Islam. Semua yang kita lakukan dikira ibadat. Apabila kita mengaitkannya dengan belajar mengapa kita masih gagal ? Ini kerana kita tidak  mengaitkannya belajar sebagai satu ibadah dalam bentuk yang dapat membina akal dan jiwa supaya bertindak cemerlang. Apabila kita belajar anggaplah perlakuan belajar itu sebagai satu ibadah. Ilmu ini adalah milik Allah. Nabi Adam as mengetahui dan dapat memberi tahu nama-nama yang ditanya Malaikat adalah kerana Allah lah yang memberiNya ilmu. Tetapi bagi kita manusia biasa untuk mengetahui sesuatu mestilah melalui belajar. Kerana belajar adalah syarat untuk mendapat ilmu dengan izin Allah. Apabila sifat rajin belajar telah ada dalam diri kita urusan tahap pencapaian di dalam bidang yang kita inginkan cemerlang kita pasrah sahaja kepada Allah. Tugas kita belajar bersungguh-sungguh, natijahnya adalah ketentuan Allah. Mengatasi kejahilan dengan belajar adalah suatu ibadah. Tidak mahu belajar dengan sengaja dibimbangi kita tergolong di dalam kalangan orang yang tidak tahu apa yang ia tidak tahu (jahil murakab).