08 May 2013

aspirasidiri : Masalah Pembelajaran @ lembam


Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan (HMetro)
Apabila ada antara anak yang tidak boleh mengikuti pelajaran di kelas atau terlalu lambat memahami sesuatu perkara, berkemungkinan mereka berhadapan dengan masalah pembelajaran ataupun lembam.
Malah, pencapaian dalam pelajaran atau akademik di kalangan mereka juga berbeza. Jika kanak-kanak normal dapat mengikuti pembelajaran ketika guru mengajar, kanak-kanak yang mengalami masalah ini akan ketinggalan dan tidak dapat mengikut apa diajar oleh guru.

Disebabkan itulah, ada kalanya tingkah laku kanak-kanak yang mengalami masalah ini mengganggu rakan lain terutama di dalam kelas.

Pakar Terapi Pertuturan Kanan, Jabatan Fizikal & Pemulihan Perubatan Pusat Perubatan Prince Court, Linda Blankanette berkata, kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah pembelajaran tidak mempunyai kebolehan mengikuti pelajaran secara formal seperti kanak-kanak lain.

Golongan pelajar ini ada kalanya terpinggir disebabkan kekurangan diri tanpa sebarang pembelaan akibat kurangnya pendedahan mengenai masalah ini dilakukan.

“Di dalam sebuah kelas guru tidak mampu memberi perhatian kepada setiap pelajar tetapi ia bukan bermakna mereka perlu diasingkan.

“Corak pembelajaran perlu diubah agar ia boleh disesuaikan dengan keperluan pelajar terbabit tanpa memberi kesan kepada skop pembelajaran pelajar lain,” katanya.

Justeru, kesedaran di kalangan ibu bapa dan tenaga pengajar amat penting bagi membantu kanak-kanak ini mengatasi masalah dihadapi.

Katanya, kaedah pengajaran secara individu adalah langkah terbaik untuk membantu golongan ini kerana mereka mampu menumpukan perhatian terhadap sesuatu perkara yang diperkenalkan.

Walaupun masa untuk membuatkan kanak-kanak ini memahami maksud sebenar sesuatu pembelajaran itu agak lama, tetapi sekurang-kurangnya mereka berupaya mengenal pasti perkara berkenaan.

“Pendidik perlu memastikan kanak-kanak ini tidak diabaikan kerana mereka boleh belajar, tetapi dengan cara tersendiri. Kesedaran terhadap perkara ini perlu diutamakan agar mereka juga boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal tanpa sebarang pengecualian,” katanya.

Oleh itu, masyarakat khususnya ibu bapa dan pendidik perlu mendapatkan pengetahuan sewajarnya agar kumpulan ini mampu dibimbing dengan sempurna demi masa depan mereka.

Linda berkata, ibu bapa perlu turut sama memainkan peranan dalam mendidik anak mereka dan tidak boleh mengharapkan bantuan guru saja.

Anak lebih banyak meluangkan masa di rumah bersama mereka. Oleh itu, sokongan dan bantuan daripada ibu bapa paling diutamakan.

“Aktiviti yang berasaskan interaksi perlu diterapkan dalam proses pembelajaran mereka kerana melaluinya mereka akan mengingatinya dengan mudah.

“Tetapi bukan bermakna ia hanya diperlukan sekali saja kerana kanak-kanak yang memiliki masalah ini tidak mampu memfokuskan daya ingatan mereka terhadap sesuatu perkara, dalam erti kata lain mudah lupa,” katanya.

Di samping itu, kesabaran, kecekalan dan juga rasa tidak berputus asa ibu bapa terhadap anak perlu dijadikan asas panduan untuk memastikan pendidikan mereka tidak terabai hanya disebabkan kekurangan diri.

Untuk mendapatkan lebih maklumat layari www.mash.org.my.


Ciri kanak-kanak lembam:

  • Tidak dapat berkomunikasi seperti kanak-kanak biasa, tulisan terlalu buruk dan sukar dibaca.
  • Kerap melakukan kesalahan dalam ejaan dan tanda bacaan, menulis huruf terbalik dan membuat urutan dan arah yang salah serta idea tidak berkembang dan penyusunan idea tidak teratur.
  • Tidak dapat menyebut huruf dengan tepat dan selalu meninggalkan huruf, suku kata atau perkataan ketika membaca dan menulis.


    Pengamatan dan tingkah laku:
  • Keliru dengan konsep arah.
  • Sukar memahami konsep masa.
  • Kerap berasa tertekan.
  • Sukar memakai kasut pada kaki yang betul.
  • Memiliki konsep kendiri yang rendah.


    Panduan untuk mendidik kanak-kanak lembam:
  • Ubah pengajaran kepada sesuatu yang boleh dilihat dan dipegang sebagai contoh untuk mengajar mengira gunakan guli, batu atau biji getah untuk menunjukkan apa yang dimaksudkan.
  • Elakkan daripada membuat kenyataan secara umum.
  • Arahan diberikan perlulah jelas, ringkas dan padat bagi memudahkan mereka memahaminya.
  • Pastikan kanak-kanak terbabit mahir dalam perkara yang diajarkan sebelum memperkenalkan kemahiran baru kepadanya.
  • Beri motivasi kepada kanak-kanak terbabit sebagai tanda sokongan moral kepadanya.
  • Perbincangan dengan ibu bapa perlu dibuat agar mereka meningkatkan perhatian terhadap anak dalam semua segi sama ada psikologi, emosi serta jati diri anak itu. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/07