18 November 2011

aspirasidiri : Sekitar Pengumuman UPSR 2011







Tahniah .......
SK Seri Taman Kluang Barat, Kluang, Johor



Srikandi kelas corot

KUALA LUMPUR: “Saya nekad mahu buktikan walaupun ditempatkan di kelas tercorot saya juga mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam pelajaran seperti murid lain,” kata Siti Aisyah Mawardi, 12, yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).


KONGSI...Kamaliah (kiri) berkongsi bersama rakan sekelasnya Allysha Mohamad Nadzri yang turut mendapat 5A.
KONGSI...Kamaliah (kiri) berkongsi bersama rakan sekelasnya Allysha Mohamad Nadzri yang turut mendapat 5A.
KUALA LUMPUR: “Saya nekad mahu buktikan walaupun ditempatkan di kelas tercorot saya juga mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam pelajaran seperti murid lain,” kata Siti Aisyah Mawardi, 12, yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Siti Aisyah yang tinggal bersama nenek selepas ibu bapanya bercerai enam tahun lalu adalah antara 41 murid memperoleh keputusan cemerlang di Sekolah Kebangsaan Sentul 1 di sini, semalam.

Dia juga tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berikutan ketika peperiksaan percubaan UPSR hanya memperoleh 4B 1C. “Keputusan yang kurang memberangsangkan itu menyebabkan saya terus membanyakkan ulang kaji mata pelajaran yang lemah. Saya juga bersyukur kerana selain selalu dibantu guru di sekolah, nenek juga tidak jemu memberi dorongan dan sokongan,” katanya.
Ditanya resipi kejayaannya, Siti Aisyah berkata, dia memberi tumpuan ketika belajar di dalam kelas serta sentiasa menyiapkan kerja sekolah selain mengikuti kelas tambahan disediakan pihak sekolah.

Sementara itu, Kamaliah Nasuha Azuan, 12, dari Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, kejayaannya mendapat 5A dalam UPSR berbaloi dengan usaha kerasnya selama ini walaupun terpaksa menyeimbangi antara latihan sukan dan akademik.

Kamaliah yang pernah mewakili sekolahnya dalam sukan bola jaring hingga ke peringkat negeri berkata, walaupun penat menjalani latihan kokurikulum di sekolah, dia cuba mencuri masa dua jam untuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan.

“Saya bercita-cita menjadi atlit negara dalam sukan bola jaring,” katanya.

Selain itu, katanya, keputusan yang diperoleh semalam agak mengejutkannya kerana tidak menyangka mampu memperoleh 5A berikutan dia agak lemah dalam subjek Sains.
“Sebelum ini pun saya hanya memperoleh B bagi subjek Sains. Saya tak percaya boleh dapat A,” katanya.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial


Air mata si kembar

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA NERANG: “Saya menitiskan air mata kerana sedih apabila adik gagal mencapai keputusan 5A, walaupun kami sentiasa bersengkang mata belajar bersama,” kata Nur Hamisah Wahab, 12, yang memperoleh keputusan 5A berbanding adik kembarnya, Nur Hamizah memperoleh 4A 1B dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan, semalam.
Pasangan kembar itu yang menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Sanai, di sini, tidak henti-henti menangis dan kelihatan sering berpelukan antara satu sama lain selepas menerima keputusan berkenaan daripada Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah, Mansor Lat.

Nur Hamisah antara tujuh pelajar sekolah luar bandar yang memperoleh 5A dalam UPSR 2011.
Lebih mengharukan apabila anak kepada penoreh getah, Wahab Latif, 43, dan Nor Saripah Taib, 33, itu tidak menjadikan alasan kemiskinan keluarga sebagai ruang untuk tidak belajar bersungguh-sungguh bagi mencipta kejayaan.

“Kami sentiasa memberi perhatian apabila guru mengajar dan sering membuat ulang kaji di rumah selain membaca buku,” katanya yang ditemui di SK Padang Sanai, di sini, semalam.

Katanya, dia dan adiknya cuma belajar berdua di rumah kerana lebih selesa dan mudah berbanding belajar secara berkumpulan.
“Saya membahagikan masa untuk belajar dan bermain. Biasanya saya dan adik belajar bermula jam 5 hingga 6 petang dan akan sambung semula pada jam 9 hingga 11 malam setiap hari bagi memastikan apa yang dipelajari mudah diterima otak,” katanya.

Sementara itu, Nor Saripah berkata, dia menamatkan perkhidmatan langganan televisyen berbayar kerana mahu kedua-dua anaknya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran.
“Kami selalu mengadakan solat hajat di rumah bagi mendapat petunjuk,” katanya yang turut membantu suaminya menoreh getah dengan pendapatan RM500 sebulan di Kampung Keda, Bukit Ular, di sini.

Utusan

Pelajar sakit sendi cemerlang UPSR

MELAKA 17 Nov. - Walaupun menghidap pseudoachondroplasia atau masalah sendi sehingga menyukarkan Syakirah Karim menulis, namun ia tidak menghalang murid Sekolah Kebangsaan Sacred Heart, Banda Hilir itu memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
Kata Syakirah, akibat penyakit itu tangannya cepat lenguh ketika menulis menyebabkan dia sering tidak sempat menyalin nota yang ditulis guru di papan hitam.
"Saya terpaksa meminjam buku rakan-rakan dan menyalin semula nota di rumah," katanya ketika ditemui di Jabatan Pelajaran Melaka, Bukit Baru di sini hari ini.
Syakirah yang juga mengalami masalah pembesaran berkata, akibat kesukaran untuk menulis, tempoh menjawab soalan UPSR yang didudukinya ditambah 15 minit berbanding murid biasa.
Mengenai rahsia kejayaannya katanya, dia mengulangkaji pelajaran setiap hari selama satu atau dua jam.
"Saya tak sangka dapat 5A kerana hanya dapat 1A 4B semasa peperiksaan percubaan," katanya yang hanya mempunyai ketinggian 116 sentimeter dan seberat 21 kilogram.

Anak peniaga laksa Sarawak dapat 5A dalam UPSR

KUCHING 17 Nov. - Jerih-perih Rusmiaddy Hardi berniaga laksa Sarawak setiap hari demi menanggung keluarga berbaloi apabila anak sulungnya, Aniamirul Sofia mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
Perasaan bangga dan terharu jelas terbayang di wajah Rusmiaddy apabila menatap slip keputusan peperiksaan anak perempuannya itu.
Rusmiaddy, 37, berkata, kejayaan Aniamirul Sofia bukan sahaja membanggakan mereka sekeluarga malah menjadi pembakar semangat kepada tiga adiknya untuk mengikut jejak langkahnya.
"Ketika peperiksaan percubaan, Sofia sekadar mendapat 4A 1B, namun semangatnya yang tidak mudah mengalah dan terus tekun belajar akhirnya membuahkan hasil," katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Merdeka, di sini hari ini.
Sementara itu, Aniamirul Sofia bersyukur kerana dapat menghadiahkan keputusan cemerlang kepada bapanya dan seluruh ahli keluarga.
"Susah payah bapa berniaga setiap hari hingga lewat malam menjadi penguat semangat untuk saya terus belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah nasib keluarga suatu hari nanti," katanya.
Aniamirul Sofia merupakan antara 11 murid Sekolah Kebangsaan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Jalan Astana, di sini yang memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR yang keputusannya diumumkan hari ini.

Anak petani antara pelajar cemerlang UPSR

17/11/2011 5:32pm

HULU TERENGGANU - Anak petani, pembantu kantin dan pekerja kilang antara tujuh pelajar yang berjaya memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Dusun di sini.
Biarpun terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan, namun murid di sekolah luar bandar ini tetap membuktikan mereka mampu bersaing dengan pelajar lain sehingga membantu sekolah itu muncul sekolah terbaik UPSR di Terengganu.
Tinjauan Bernama mendapati sekolah itu mempunyai 65 murid di Tahun Satu hingga Enam dan sebahagian besar daripada mereka belajar di bangunan kayu.
Guru Besar Sekolah itu Noraini Lebai Abdul berkata, 15 calon yang menduduki peperiksaan itu semuanya lulus, dan pencapaian cemerlang yang dicatat adalah hasil kerja keras guru hingga mampu memperoleh 1.23 Gred Purata Sekolah (GPS). - Bernama

Kejayaan UPSR dorong bela nasib keluarga

KUANTAN 18 Nov. - Kejayaan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan semalam diharap menjadi pendorong dan landasan terbaik bagi anak seorang pemandu bas di sini untuk membela nasib keluarganya.
Nur Ain Najwa Che Ngah, 12, dari Tanjung Api di sini menyimpan cita-cita untuk menjadi arkitek agar dapat membalas jasa ibu dan bapa selama ini.
Menurut murid Sekolah Kebangsaan (SK) Teruntum itu, selama ini dia terpaksa mengulang kaji pelajaran di samping membantu ibunya menjaga adik yang menghadapi masalah perut tidak berotot iaitu prune belly syndrome.
"Sebelum menduduki peperiksaan, bapa, Che Ngah Abdullah, 48, terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan pergerakannya terbatas.
"Dalam kepayahan itu, bapa tetap berusaha menghantar saya ke sekolah dan semua ini menguatkan semangat untuk terus belajar dengan bersungguh-sungguh," katanya di sini semalam.
SK Teruntum merupakan sekolah harian terbaik di negeri ini dengan 54 calon mendapat 5A dan jumlah tersebut adalah peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding tahun lalu.
Sementara itu rakannya, Nur Sabrina Aliya Asman, 12, yang juga memperoleh 5A menyifatkan kejayaan tersebut adalah hasil dorongan ibu bapanya.
"Mereka berdua (Noorlili Mohd. Amin, 42, dan Asman Amirullah, 48,) sering membantu saya membahagikan masa antara pelajaran dan sukan.
"Saya akan pastikan memberi sepenuh tumpuan di dalam kelas dan mengulang kaji pelajaran apabila menjelang peperiksaan," katanya yang merupakan pemain catur negara.

Anak tukang jahit dapat 5A


Pelajar SK Pekan Putatan, Mohd. Zulheem Hamzah (kiri) menunjukkan keputusan UPSR 5A kepada ibunya Kasmirah Jaafar,51, di sekolah itu, semalam.


KOTA KINABALU 18 Nov. - Pengorbanan seorang ibu tunggal, Kasmirah Jaafar, 51, yang menyara lima anaknya dengan mengambil upah menjahit baju ternyata berbaloi apabila anak bongsunya mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
Anak Kasmirah, Mohd. Zulheem Hamzah merupakan salah seorang daripada lapan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Putatan yang memperolehi keputusan cemerlang itu.
''Saya gembira dengan kejayaannya. Alhamdulillah, dengan rezeki daripada upah menjahit baju, lima anak-anak saya telah berjaya dalam pelajaran," katanya ketika ditemui di SK Pekan Putatan dekat sini semalam.
Sementara itu, Zulheem berkata, semua ini adalah hasil ketabahan ibu mereka kerana banyak memberi sokongan tidak terhingga dalam membantunya berjaya dalam pelajaran.
''Ketabahan ibu menjaga kami memberi saya inspirasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Saya juga mahu mengikut jejak langkah abang dan kakaknya yang cemerlang dalam pelajaran dan kini menuntut di universiti luar negara.
''Saya amat bertuah mempunyai ibu yang amat menyayangi dan menjaga kami meskipun dia hanya berkerja sebagai tukang jahit sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Guru Besar SK Pekan Putatan, Abu Kassim Binsin berkata, sekolah itu mencatatkan peningkatan dalam keputusan UPSR tahun ini apabila seramai lapan muridnya mendapat 5A berbanding hanya satu pada tahun lepas.
Menurutnya, peningkatan pencapaian dalam UPSR itu berkait rapat dengan program 3Q (Kuantiti, Kelayakan dan Kualiti) yang diilhamkan oleh pihak sekolah bertujuan mengasah pembelajaran murid-murid menghadapi peperiksaan berkenaan.





No comments:

Post a Comment

Komen ANDA Para Tetamu Amat Saya Sanjung Tinggi