24 December 2011

aspirasidiri : Belajar Dari Kejayaan, Ambil Iktibar Dari Kegagalan, Pengumuman PMR 2011

Tahniah di atas mereka  yang menempa kejayaan. Banyakkan sabar di atas kegagalan buat mereka yang berusaha gigih. Kita perlu mempelajari kegigihan rakan-rakan kita yang berjaya. Ada dalam kalangan kita semacam tidak mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di sekeliling mereka. Bukankah apa yang berlaku di sekeliling kita dapat membantu kita memehami strategi untuk menggengam kejayaan ? Bagaimana pula dengan kegagalan. Sebagai seorang pelajar kita juga sering didedahkan dengan maklumat berkaitan faktor-faktor kegagalan. Apakah sikap kita terhadap isu ini. Memanglah kecemerlangan dalam akademik bukan satu-satunya penentu kejayaan seseorang tetapi sikap kita akan menentukan pencapaian kita di masa depan di dalam bidang yang bakal kita ceburi nanti dengan izin Allah. Ya, apabila kita dewasa kelak. Apa pilihan kerjaya kita ?  Tidak semua kerjaya bergantung sepenuhnya kepada akademik. Jika kita telah memaklumi bahawa kita seorang yang agak rendah pencapaian dalam akademik, dan lebih berminat kepada bidang berkaitan teknikal, atau bidang lain, jangan ada keraguan lagi, beri tumpuan kepada bidang tersebut. Itulah tujuan antara lain kita membuat kajian terhadap kecenderungan diri kita. Adakah kecenderungan kita menjurus kepada bidang akademi, agama, teknikal atau sukan ? Semuanya ini penting untuk difikirkan. Selepas PMR kita masih ada masa lagi untuk menentukan hala tuju kita. Mintalah kepada Allah S.W.T untuk kita memilih hala tuju kita selepas PMR. Agar keputusan yang kita pilih tidak dari hawa nafsu kita semata-mata. 
(dalam gambar di atas) Muhammad Hadi Darus, 15, seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) yang tidak mempunyai tangan dan hanya menulis menggunakan kaki, tidak memerlukan masa tambahan untuk menjawab soalan ketika peperiksaan PMR lalu dan mendapat keputusan cemerlang 9A. Tahniah buat adik Hadi. 
PENDANG: “Saya tidak berasa sebarang kekurangan pada diri dan saya tahu saya boleh berjaya,” kata Muhammad Hadi Darus, 15, pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam, walaupun dilahirkan tanpa kedua-dua tangan selain terpaksa menulis dengan kaki.
Muhammad Hadi, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang, di sini, memperoleh A dalam sembilan mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Geografi, Sains, Kemahiran Hidup, Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekali gus menjadikannya antara pelajar terbaik di sekolah berkenaan dan Kedah.

Selain tidak memiliki tangan, Muhammad Hadi juga tidak boleh berjalan dan hanya bergerak menggunakan kerusi roda sepanjang masa. Pelajar istimewa dari Felda Sungai Tiang, di sini, itu juga diberi ‘keistimewaan’ di sekolah berkenaan apabila menggunakan meja khas yang diubah suai selain hanya boleh memasuki kelas di tingkat paling bawah sekolah berkenaan.
Muhammad Hadi ketika ditemui, berkata dia tidak mempunyai sebarang formula dalam mengulang kaji pelajaran sebaliknya lebih gemar mengulang kaji pelajaran bersendirian pada waktu malam selain menghadiri tuisyen setiap hari di sekolahnya.

“Saya lebih selesa mengulang kaji seorang diri dan selalunya saya memperuntukkan kira-kira dua jam sehari untuk belajar. Selain itu, ibu bapa dan guru juga banyak membantu,” katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini, semalam.

Katanya, kekurangan pada dirinya juga menjadi pendorong untuk dia mencatat kejayaan cemerlang.
Sekali pandang, kekurangan fizikal yang dialami anak pasangan Darus Dariman, 51, dan Halimah Che Pa, 49, ini memang menyukarkannya, namun ia bukanlah penghalang buat Muhammad Hadi untuk berjaya terutama dalam mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pensyarah.

CEMERLANG… Pelajar Sekoleh Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek yang juga merupakan seorang autisme, Muhammad Danial Zainuddin,16, membandingkan keputusan PMR dengan adik perempuannya, Nurul Diana, 15. Mereka mendapat keputusan cemerlang 9A pada peperiksaan tersebut dan Muhammad Danial turut diumumkan sebagai pelajar terbaik ‘pendidikan khas’ Terengganu.

KUALA TERENGGANU 22 Dis. - Biarpun mengalami masalah autisme, ia tidak menghalang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Muhammad Danial Zainuddin, 16, memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan yang diumumkan hari ini.
Lebih membanggakan, dia bukan sahaja memperoleh keputusan 9A malah diumumkan pelajar autisme pertama di negara mendapat kejayaan seumpamanya.
Muhammad Danial mula dikesan mengalami autisme ketika usianya dua tahun apabila sukar berkomunikasi dan menyesuaikan diri dengan persekitaran selain bersifat hiperaktif.
Muhammad Danial ketika ditemui di sini hari ini memberitahu, dia gembira kerana berjaya memperoleh keputusan cemerlang itu biarpun dia tidak normal seperti rakan-rakan lain.
"Memang saya pelajar autisme tetapi saya juga suka belajar seperti pelajar lain dan setiap hari hanya satu mata pelajaran saya mampu mengulang kaji dan setiap kali habis menelaah saya akan ingat semua apa yang dibaca dengan mudah.
"Saya sangat gembira mendapat keputusan ini dan sudah tentu ibu, bapa dan guru juga gembira," katanya.
Anak sulung daripada tiga beradik itu merupakan satu-satunya pelajar pendidikan khas yang mengambil peperiksaan tersebut di sekolah tersebut dan dia juga pernah menerima anugerah Tokoh Pelajar sempena Hari Guru peringkat negeri dua tahun lalu kerana memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Dalam pada itu, ibu bapa pelajar autisme tersebut, Ruzina Mohd. Ikram, 46, dan Zainuddin Muhamad, 46, meraikan kegembiraan berganda apabila seorang lagi anak mereka yang juga adik kepada Muhammad Danial, Nurul Diana, 15, yang menduduki peperiksaan itu juga memperoleh keputusan cemerlang yang sama.


Nurhaslina Jusoh buktikan anak petani mampu cemerlang


Nurhaslina bersama bapanya, Jusoh menunjukkan keputusan 8A diraihnya dalam PMR 2011 di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 22 Dis. - Menjadi sebahagian daripada 144 pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP), Pengkalan Chepa bukanlah semudah disangka dan ia memerlukan usaha dan komitmen yang tinggi.
Itulah yang dibuktikan oleh anak seorang petani dari Pasir Puteh, Nurhaslina Jusoh, 15, apabila mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan hari ini.
Kejayaan tersebut membuktikan latar belakang keluarga bukan suatu halangan, sebaliknya mencetuskan kesedaran mendalam kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi membela nasib keluarga melalui kecemerlangan akademik.
"Sebab itulah saya tiada pilihan, selain belajar bersungguh-sungguh. Saya bertekad membantu ayah kelak tetapi saya mesti bermula dengan kecemerlangan dalam pelajaran.
"Alhamdulillah, harapan ayah hendak melihat saya berjaya dalam PMR tercapai. Insya-Allah saya akan teruskan kesungguhan dalam peperiksaan selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengambil keputusan peperiksaan itu di sekolahnya dekat sini hari ini.
Berkongsi resipi kejayaan, anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, tumpuan sepenuhnya semasa pembelajaran dalam kelas dan kaedah ulang kaji secara bersistematik serta solat hajat secara berterusan merupakan kunci kejayaan dirinya.
"Bagi saya, fokus dalam kelas cukup penting kerana ia akan memastikan apa yang diajar oleh guru dapat difahami atau tidak bagi memudahkan proses mengulang kaji pelajaran.
"Selain itu faktor kejayaan mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 dan kakak sulung yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading menjadi azimat untuk mengulangi kejayaan tersebut," ujarnya
Nurhaslina memberitahu, kejayaannya dalam PMR bukan kegembiraan peribadi sebaliknya turut dikongsi dengan adik-adiknya yang kini mendapat motivasi bahawa latar belakang keluarga mereka tidak boleh dijadikan penghalang untuk berjaya.









No comments:

Post a Comment

Komen ANDA Para Tetamu Amat Saya Sanjung Tinggi