20 December 2013

aspirasidiri : Sekitar Pengumuman PMR 2013 "Tips Kejayaan"

Tips 

Pesan Ayah Jadi Azimat
Seremban: Pesanan ayah yang kini terlantar sakit akibat strok supaya fokus dalam pelajaran menjadi azimat kepada seorang pelajar dari Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor, Ampangan, dekat sini, apabila memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan, semalam.
Fatimah Basyirah Rosdi, 15, berkata, ayah mengingatkannya supaya tidak leka setiap kali mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas jika ingin berjaya dalam pelajaran.

Nasihat berguna ayah itu saya sematkan dalam ingatan dan pembakar semangat untuk meraih keputusan cemerlang dan Alhamdulillah saya mendapat 8A 1B dalam PMR.
“Kejayaan ini saya hadiahkan kepada ayah dan ibu yang banyak memberi sokongan dan dorongan selain guru-guru yang gigih membimbing kami,” katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini, semalam.

Anak kesepuluh daripada 12 adik beradik itu berkata, dia juga mengamalkan bangun malam untuk mengulang kaji pelajaran selain tidak lupa menunaikan solat hajat.

Saya sentiasa memberi tumpuan dalam kelas dan hanya membuat ulang kaji dua hingga tiga jam di rumah pada awal pagi kerana pada waktu itu otak kita segar dan mudah menerima apa yang dibaca,” katanya yang memperoleh 4A 5B dalam peperiksaan percubaan PMR lalu.
Seorang lagi pelajar, Nurul Atiqah Mohd Zubher,15, berkata, kehidupan keluarganya yang sederhana menjadi pendorong untuk berjaya dalam PMR bagi mengubah nasib keluarga suatu hari nanti.

“Kehidupan saya sekeluarga sederhana dan hanya keperluan tertentu saja yang dipenuhi ayah serta tidak mampu menghantar ke kelas tuisyen. Sebagai mekanik pendapatan ayah tidak menentu dan perlu berjimat untuk menyara kami sekeluarga memandangkan ibu tidak bekerja.
“Saya tidak menyangka memperoleh keputusan 9A biarpun tidak mengikuti sebarang program tuisyen dan hanya memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas. Ibu, ayah serta adik beradik lain menjadi pembakar semangat untuk saya berusaha mendapat 9A dalam PMR dan Alhamdulillah ia menjadi kenyataan,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20 HM


Hadiah untuk nenek
Ipoh: Ketiadaan kasih sayang ibu bapa serta hidup serba kekurangan tidak menghalang remaja yatim piatu, Intan Nurul Syafiqah Abdullah, 15, mencatatkan keputusan cemerlang 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
Menyifatkan dirinya berada dalam kelompok pelajar sederhana, murid Sekolah Raja Perempuan Taayah, di sini, itu juga hampir putus asa mengejar kejayaan sehingga mahu keluar dari sekolah itu selepas mengalami kemerosotan dalam pembelajaran ketika berada di Tingkatan Satu dan Dua.

“Beberapa minggu lalu, saya ada bermimpi memegang slip peperiksaan yang mencatatkan keputusan 9A, namun slip berkenaan adalah milik orang lain.
 
“Mimpi itu membuatkan saya takut untuk datang ke sekolah sehinggalah dihubungi cikgu memujuk saya segera mengambil dan melihat slip peperiksaan diterima,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Kehidupan Intan Nurul Syafiqah dilihat agak sukar selepas dia disara oleh neneknya, Zabedah Saad, 64, dan datuknya, Samran Abdul Manaf, 63, sejak dari kecil melalui pendapatan Samran RM260 sebulan sebagai pemandu sambilan.

“Ini hadiah untuk mereka, sungguhpun tiada ibu bapa tetapi saya ada mereka. Malah, saya turut memanggil nenek sebagai `emak’ disebabkan dia menjaga saya sejak kecil lagi,” katanya.
Bagi Nur Mastura Khairul Anuar, 15, pula, kejayaan memperoleh 9A dalam PMR itu dianggap hadiah kepada ibunya, Isyati Radjak, 45, yang berniaga kuih kecil-kecilan di Pengkalan Pegoh di sini, bagi menyara mereka dua beradik selepas kematian bapa awal tahun lalu.

Pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah itu tidak menyangka dapat memperoleh keputusan cemerlang itu kerana ketika peperiksaan percubaan hanya memperoleh 6A 2B 1C.
Cara pembelajaran saya ialah sentiasa berusaha membantu rakan menyiapkan tugasan diberikan guru kerana dengan cara itu saya dapat belajar dan mengingati setiap pelajaran diajar di sekolah,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Raja Perempuan Taaayah, Noor Aini Zainal Abidin, berkata 73 daripada 140 pelajar sekolah itu yang menduduki PMR tahun ini memperoleh keputusan 9A iaitu pencapaian terbaik pernah dicatatkan sekolah berkenaan sejak ditubuhkan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20 HM

Buta Mata Sebelah Bukan Penghalang
Ipoh: Biarpun buta, pelajar Sekolah Menengah Agama Kerian, Ahmad Mahfudz Mahayudin, 15, menjadi satu-satunya calon berkeperluan khas di Perak yang mendapat keputusan semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
Keadaan Ahmad Mahfudz yang dilahirkan buta mata sebelah kiri sejak kecil tidak menjadi penghalang buatnya untuk belajar bersungguh-sungguh sekali gus mendapat keputusan cemerlang 9A dalam PMR diambil.

Menurutnya, berdasarkan keputusan percubaan lalu, dia hanya mendapat keputusan sederhana menyebabkan dia tidak meletakkan sebarang harapan tinggi.
“Bagaimanapun, keputusan percubaan itu tidak langsung mempengaruhi emosi saya sebaliknya saya terus memperbaiki keputusan pada peperiksaan sebenar. Saya memang terkejut namun bersyukur dengan rezeki diberi,” katanya.

Katanya, banyak cabaran dihadapinya sebelum menempuh peperiksaan kerana matanya mempunyai masalah bertahan lama hingga menimbulkan keadaan tidak selesa ketika belajar.

“Mata sebelah kiri memang tidak nampak sejak kecil, mata kanan pula cepat letih jika membaca buku terlalu lama,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20 HM


PUTRAJAYA 19 Dis. - Kehilangan ayah tersayang dan kemudian terpaksa memasuki kelas pemulihan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tidak mematahkan semangat seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Khairul Afhan Zawawi memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.
Khairul Afhan, 15, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata, pada mulanya dia tidak berkeyakinan untuk memperoleh keputusan cemerlang apabila mendapat keputusan kurang memberangsangkan dalam peperiksaan percubaan.
Namun, katanya, berkat doa keluarga dan usaha berterusan tanpa jemu akhirnya berjaya membuahkan hasil.
"Saya bersyukur dengan keputusan ini kerana dapat menghadiahkan kejayaan kepada ibu yang bersusah-payah membesarkan saya menerusi pendapatan menjahit sejak ayah sakit dan meninggal dunia akibat kanser usus pada tahun lepas.
"Kehilangan ayah memberikan sumber kekuatan kepada saya untuk berjaya kerana ketika di akhir hayat arwah, dia sudah tidak mampu bercakap dan hanya terbaring menyebabkan saya menanam tekad untuk berjaya dan menjadi doktor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi calon cemerlang sekolah itu, Mohamad Izzuddin Abd. Ghafar, 15, mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua, terutama keluarga dan guru yang memberikan tunjuk ajar tanpa jemu.
Anak bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud itu berkata, dia agak terkejut dengan keputusan cemerlang tersebut kerana ketika peperiksaan percubaan hanya memperoleh 1A sahaja.
"Tekanan sebagai anak kepada Ketua Pengarah Pelajaran di samping perlu mendapat keputusan yang cemerlang memang memberi kesan kepada saya sehingga terpaksa berjumpa dengan kaunselor untuk mendapatkan nasihat.
"Mujur saya mempunyai ibu bapa yang memahami, di samping mendapat tunjuk ajar daripada guru yang tidak memberikan sebarang tekanan untuk mencatatkan keputusan cemerlang," katanya.

20-12-13 © Utusan Melayu (M) Bhd


Sebahagian pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 8A dan 9A dalam peperiksaan PMR di Sekolah Tinggi Islam As Sofa, Rembau, Negeri Sembilan, semalam.
SEREMBAN 19 Dis. - Mengulang kaji pelajaran secara sistematik selain menyemak kertas soalan peperiksaan menjadi resipi kejayaan anak seorang mekanik untuk mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.
Calon Sekolah Menengah Agama Dato' Kelana Petra Maamor Ampangan, Nurul Atiqah Mohd. Zubher, 15, berkata kejayaan yang diperoleh pada hari ini merupakan hadiah terbaik untuk keluarganya selama ini memberi rangsangan kepadanya untuk terus berusaha dengan lebih gigih.
''Jangan belajar di saat akhir, tidak perlu berjaga malam atau belajar secara tertekan sebaliknya belajar dengan bijak dengan nota dan menyemak kertas peperiksaan tahun lepas serta berdoa kepada Allah adalah cara terbaik jika calon itu mahu berjaya dalam PMR," katanya di sini hari ini.
Jelasnya, keputusan cemerlang ini akan dihadiahkan kepada bapanya Mohd. Zubher Abdullah, 45, yang bekerja sebagai mekanik di Taman Tasik Jaya dekat sini
Sekolah Menengah Agama Dato' Kelana Petra Maamor hari ini turut menjadi salah sebuah sekolah terbaik di negeri ini apabila 16 orang calon daripada sekolah berkenaan memperoleh keputusan 8A dan 9A dalam PMR tahun ini.
Berbeza pula dengan Ameer Iqbal Harunrrasheed, 15, yang turut memperoleh 9A memberitahu, dia hanya banyak menolong rakan-rakannya untuk mengulang kaji pelajaran kerana beliau percaya kaedah berkenaan mampu memberikan kefahaman yang lebih buat dirinya menghadapi peperiksaan.
''Lain orang lain kaedahnya, seperti saya banyak menolong kawan-kawan mengajar subjek yang kurang difahami sekali gus memudahkan ilmu itu 'melekat' di fikiran saya ketika hendak menjawab soalan yang dikemukakan," katanya.
Manakala seorang lagi pelajar cemerlang yang memperolehi 9A, Nur Syahirah Hasbullah, 15, pula teknik bercerita pula diguna pakai untuk membolehkan dia berjaya mengatasi ketakutan apabila berdepan dengan kertas Sejarah.
''Saya memang suka berangan dan sebab itulah saya minta kawan ceritakan kepada saya mengenai Sejarah ketika saya sedang duduk dan mula membayangkan apa yang terjadi pada ketika itu agar lebih memahami apa yang terjadi.
''Alhamdulillah teknik berkenaan berjaya membuahkan hasil sekali gus membolehkan saya turut bersama-sama meraikan kejayaan bersama kawan-kawan," katanya.
20-12-13© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Komen ANDA Para Tetamu Amat Saya Sanjung Tinggi