Utusan
Pengorbanan ibu berbaloi anak cacat dapat 5A
BESUT 19 Nov. - Ibu ini cekal mendukung anaknya yang cacat untuk ke sekolah sejak enam tahun lalu.
Hari ini pengorbanan Norhaida Harun, 38, berbaloi apabila Siti Norfarah Hanim Azman, 12, berjaya memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
Walaupun cacat kerana menghidap penyakit Osteogenesis Imperfecta, sejenis penyakit kerapuhan tulang tapi Siti Norfarah tidak mudah mengalah malah tetap gigih berusaha hingga akhirnya memperolehi kejayaan itu.
Dia adalah antara 40 murid Sekolah Kebangsan Tengku Mahmud II yang berjaya memperolehi 5A dalam UPSR tahun ini yang diraikan dalam satu majlis di sekolah itu hari ini.
Ketika nama diumumkan untuk ke pentas bagi mengambil slip keputusan UPSR, Siti Norfarah dan ibunya dilihat berlinangan air mata kegembiraan.
Bagi Norhaida, hanya pelajaran yang mampu diberikan kepada anaknya itu memandangkan dia sendiri tidak mampu untuk menyediakan harta yang banyak untuk kehidupan akan datang.
Semuanya adalah pengorbanan demi masa depan anaknya walaupun kadang kala terasa dirinya seakan terikat dengan rutin kehidupan sebegitu kerana terpaksa
menghantar dan mengambil anaknya setiap hari.
Noraida juga akur dengan tugas suaminya Azman Mohamad, 40, yang hanya bekerja sebagai pembantu kesihatan juga tidak mampu meluangkan banyak masa untuk membantu menguruskan anaknya.
Hanya pada ketika tertentu sahaja Azman dapat menghantar Siti Norfarah ke sekolah manakala selebihnya, Norhaida yang banyak menghabiskan masa bersama anaknya itu di samping menjaga seorang lagi anaknya Siti Norfadila Husna, yang berusia 4 tahun.
Setiap pagi sebelum ke sekolah Norfarah akan dibekalkan dengan sedikit makanan kerana tidak mampu berjalan untuk ke kantin.
Dia bagaimanapun agak bernasib baik kerana ada seorang rakan sekelasnya, Nurul Alia Rosdi yang secara sukarela membantunya semasa di dalam kelas.
Nurul Alia banyak meringankan masalah anaknya sejak berada di tahun satu lagi dengan membantu jika anaknya itu ingin ke tandas pada masa yang diperlukan di samping menjadi rakan belajar," kata Norhaida.
Rakannya itu merasa tersentuh ketika pertama kali melihat kepayahan yang dihadapi Siti Norfarah lalu secara sukarela membantu rakannya sebagai menunaikan tanggungjawab sebagai seorang insan.
"Sesiapa sahaja yang memerlukan perlu dibantu dan saya tidak pernah merasa bosan dengan tugas sukarela ini malah merasa puas hati apabila dapat memberikan khidmat kepada mereka," ujar Nurul Alia.
Cacat: Nabil didukung ke kelas dapat 5A
PASIR MAS 19 Nov. - Pengorbanan seorang ibu mendukung anaknya ke kelas setiap hari sejak dua tahun lalu berbaloi apabila murid itu, Muhammad Nabil Mohd. Nasir, 12, mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.Bagi Norlaili Mamat, 40, kecemerlangan anak ketiga daripada tujuh beradik itu merupakan hadiah paling bermakna buatnya disebabkan Muhammad Nabil bukan seperti kanak-kanak biasa.
Katanya, kejayaan yang mengejutkan mereka sekeluarga itu amat manis kerana ia hasil titik peluh Muhammad Nabil yang hanya mengharapkan pengajaran guru di sekolah kerana dia dan suami tidak mampu menyediakan kelas tuisyen untuk anak mereka itu.
"Ketika tahun satu dan dua, saya terpaksa mendukung dia masuk ke kelas kerana kelasnya terletak di tingkat dua Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib 1 di sini.
"Anak saya ini mengalami kecacatan pada kaki kiri dan kedua-dua tangannya sejak dilahirkan, namun saya memberikan semangat kepadanya supaya terus belajar tanpa berasa rendah diri.
"Saya bersyukur kerana hari ini Muhammad Nabil telah membuktikannya tetapi ia hanya langkah pertama untuk mencapai kejayaan kerana masih banyak cabaran yang harus ditempuhi selepas ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pelajar kurang upaya itu adalah salah seorang daripada 24 pelajar sekolah tersebut yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR.
Muhammad Nabil bergantung kepada sebatang tongkat untuk bergerak kerana kaki kirinya cacat sejak dilahirkan.
Sementara itu murid tersebut berkata, kecemerlangan dalam peperiksaan adalah hadiah yang mampu diberikan kepada ibunya yang telah banyak berkorban.
"Ini hadiah untuk mama kerana bersusah payah mendukung saya ke sekolah. Saya tidak tahu lagi macam mana untuk membalas jasa ibu saya dan jika keputusan ini menggembirakan dia, saya rasa sangat bersyukur.
"Terima kasih juga saya ucapkan kepada guru-guru dan rakan-rakan yang banyak membantu selama ini dan saya berjanji akan terus menggembirakan keluarga saya," katanya.
No comments:
Post a Comment