Seulas Bicara Aspirasidiri.
(dipetik dari Mukaddimah Buku Menjana Aspirasi Diri)
Asslammualaikum. Segala puji bagi Allah swt. Selawat dan salam ke atas Junjungan Tercinta Nabi Muhammad saw para Sahabat serta orang yang bersama dengannya hingga hari Qiamat.
Kejayaan yang Cemerlang merupakan aspirasi utama bagi setiap diri Calon UPSR 2011. Demi mendapatkan kecemerlangan kita mungkin akan berusaha berlipat kali ganda daripada orang lain.
Banyak perkara yang perlu dilakukan. Banyak pengorbanan yang perlu dibuat. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh. Jangan menoleh ke belakang lagi. Pencapaian masa lalu seharusnya dijadikan panduan untuk mencipta kejayaan. Bukan sebagai penamat usaha, malas, cuai, tiada tumpuan, sambil lewa, dan selesa dengan pencapaian semasa.
Kejayaan yang cemerlang di dalam UPSR 2011 tidak ditentukan oleh faktor, keturunan, sekolah dan kelas tempat kita belajar, bangsa, takdir, kemiskinan, masalah keluarga, dan rakan-rakan. Malah kajian juga menunjukkan kecemerlangan itu juga tidak hanya ditentukan oleh kepintaran yang dimiliki oleh seseorang.
Faktor utama untuk mengapai 5A dalam UPSR ialah SIKAP diri kita sendiri. Ada murid yang cacat, miskin, yatim piatu, serta tiada A dalam percubaan UPSR akhirnya memperoleh 5A dalam UPSR sebenar. Kitalah yang menentukan apa yang kita mahukan. Apa yang kita perolehi adalah kesan dari apa yang kita usahakan sekarang. Ya, sekarang.
Adik-adik sekalian. Ayuh marilah sama-sama kita berusaha bersungguh-sungguh. Ubahlah SIKAP. Gunalah kesempatan dan masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya. Ingat ayah dan bonda mengharap sesuatu yang bermakna dari diri kita iaitu “Kecemerlangan” dalam UPSR 2011. Insya Allah.
Semoga Impian Menjadi Kenyataan, 5A Dalam Genggaman.