Madihah belum buat keputusan
|
|
KOTA BHARU 16 Mac - Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal belum membuat sebarang keputusan untuk memilih tempat melanjutkan pelajaran.
Menurut gadis itu, bagaimanapun beberapa gurunya dan mereka yang pakar dalam bidang fizik mencadangkannya supaya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK) jika ingin mendalami bidang itu.
"Saya belum membuat keputusan. Saya akan melakukan sembahyang istikharah untuk mendapat petunjuk daripada Allah SWT bagi membuat pilihan terbaik tempat melanjutkan pelajaran," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Nik Nur Madihah, 18, merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Arab Maahad Muhammadi di sini memperoleh 19 1A dan satu 2A dalam peperiksaan SPM yang diumumkan Khamis lalu.
Anak kepada seorang nelayan itu bercita-cita untuk menjadi ahli fizik yang berjaya dan berminat melanjutkan pelajaran ke Asia Barat kerana ingin mendalami bahasa Arab.
Semalam, dia ditawarkan biasiswa penuh oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melanjutkan pelajaran ke UK di peringkat A Level dan hari ini Pengarah Mara Negeri, Abdul Rahim Taha mengunjungi rumahnya bagi menyerahkan borang biasiswa.
Abdul Rahim turut menjelaskan kepada Nik Nur Madihah bahawa dia boleh memilih mana-mana negara untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diminati dan memintanya menyerahkan borang itu minggu depan sekiranya bersetuju.
Nik Nur Madihah yang turut ditawarkan biasiswa oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Petronas berkata, hasrat untuk mempelajari Bahasa Arab akan dapat dicapai jika melanjutkan pelajaran ke Asia Barat tetapi percaya UK adalah tempat terbaik bagi mencapai cita-citanya sebagai ahli fizik.
"Saya masih perlukan masa untuk membuat pilihan terbaik. Saya akan menghubungi banyak pihak lagi untuk meminta pendapat dan nasihat mereka," ujarnya.
Sementara itu ketika ditanya sama ada dia bersedia untuk menempuh segala cabaran jika melanjutkan pelajaran ke UK, katanya, ia tidak menjadi soal baginya.
"Saya mengakui belajar di London mempunyai banyak cabaran termasuk pengaruh sosial namun ia bukanlah suatu halangan untuk menyesuaikan diri dan keadaan di tempat yang begitu asing," ujarnya