Oleh : Y.B S.S Dato’ Hj.Mohd Murtadza bin Hj. Ahmad
Mufti Kerajaan Negeri
Negeri Sembilan Darul Khusus
MUQADDIMAH
Menurut Imam al-Ghazali[1] mendapatkan
anak merupakan tujuan utama perkahwinan. Ianya untuk mengekalkan
keturunan supaya dunia ini terus dihuni oleh manusia. Kemudian, beliau
menyatakan empat faktor yang menjadi galakan kepada pasangan suami
isteri supaya mempunyai ramai anak iaitu:
- Seiring dengan kasih Allah atas usaha mengekalkan manusia (sebagai khalifah) di muka bumi.
- Mengharapkan kesukaan Nabi saw kerana meramaikan umatnya.
- Mengharapkan keberkatan anak yang soleh dengan doanya.
- Mengharapkan syafa‘at sekiranya anak tersebut meninggal dalam usia muda.
Anak merupakan anugerah Allah dan tanggungjawab yang berat yang
diamanahkan atas bahu ibu bapa. Pentarbiahan anak-anak dengan didikan
yang baik wajib ditunaikan oleh ibu bapa atau sesiapa yang mengambil
tugas mereka dan tanggungjawab ini tidak boleh dipandang sepi. Amanah
yang wajib ini hendaklah dijaga dengan baik dan janganlah dikhianati.
Pastinya tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dengan sepenuhnya ini
tidak sunyi daripada cabaran dan dugaan. Sehubungan dengan itu,
hendaklah kita sentiasa prihatin untuk mengwujudkan keluarga bahagia.
Disebabkan kebelakangan ini terdapat pelbagai bentuk
serangan yang dilancarkan terhadap umat Islam terutama terhadap golongan
remaja yang mudah terpengaruh maka Rasulullah saw telah berpesan supaya
menjaga golongan remaja ini dengan sabdanya:
قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
أُوصِيكُمْ بِالشَّـبَابِ خَيْرًا، فَإِنَّهُمْ أَرَقُ أَفْئِدَةٍ، لَقَدْ
بَعَثَنِيَ اللهُ بِالحَنِيفِيَّةِ السَّمْحَةِ، فَحَالَفَنِي الشَّـبَابُ
وَخَالَفَنِي الشُّـيُوخُ.
Yang bermaksud, Rasulullah saw bersabda: Aku berpesan supaya kamu
berbuat baik kepada orang muda. Sesungguhnya mereka dikurniakan Tuhan
perasaan yang sangat sensitif. Ketika aku diutuskan membawa agama yang
suci murni ini, kebanyakkan pemuda zamanku mendokongku dan kebanyakkan
orang tua-tua menentangku.
Tujuan serangan perosak remaja pada zaman ini ialah untuk
mengasingkan generasi Islam itu sendiri daripada syariat Islam yang mana
telah memprogramkan untuk penganutnya satu manhaj yang mampu menjamin
kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Lantaran menjadi tanggungjawab
ibu dan bapa untuk menyelamatkan ahli keluarganya daripada kehancuran.
Allah swt berfirman,
Yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri
kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnnya: manusia
dan batu (berhala). [2]
DIDIKAN ANAK DENGAN IKATAN ROHANI KEPADA ALLAH[3]
Mendidik anak melalui pendekatan rohani adalah bertujuan membersihkan
lagi roh atau jiwa anak-anak agar ia semakin suci dan bercahaya.
Natijahnya,terpancarlah di hati mereka keimanan dan keikhlasan dalam
beribadat. Terdapat beberapa manhaj yang dianjurkan oleh Islam berkaitan
ikatan rohani untuk mengekal serta menjaga hati anak-anak supaya terus
bersih, suci, bercahaya dan ikhlas. Antaranya:
Didikan Rohani Dengan Ibadah.
عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ
رسولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ
بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا
وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ.[4]
Yang bermaksud, Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya,
daripada datuknya berkata, sabda Rasulullah saw: “Perintahlah
anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan
pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta
pisahkan tempat tidur mereka.
Dikiaskan juga solat dalam hadith ini ialah ibadah-ibadah lain
seperti puasa, haji dan zakat bahkan hendaklah kita memberi kefahaman
kepada anak-anak bahawa ibadat menurut Islam tidak terbatas kepada empat
perkara ini sahaja tetapi merangkumi segala amal soleh seperti perkara
halal haram sejak mereka kecil lagi sebagai didikan dan membentuk jiwa
yang beragama yang dapat mengawal dirinya daripada kesesatan. Oleh itu,
hendaklah kita sentiasa menunjuk ajar anak-anak kita perbezaan baik dan
buruk, masalah halal dan haram, antara hak dan batil. Di samping itu,
ibu bapa hendaklah menjadi tauladan seperti melakukan apa yang
dihalalkan dan meninggalkan apa yang dilarang. Hal ini ditegas oleh
Rasulullah dengan sabdanya,
اعْمَلُوا بِطَاعَةِ الله، وَاتَّقُوا مَعَاصِى الله،
وَمُرُوا أَوْلاَدَكُم بِامتِـثَالِ الأَوَامِر، وَاجْـتِنَابِ النَوَاهِى،
فَذلِكَ وِقَايَة لَهُمْ وَلَكُمْ مِنَ النَّارِ.[5]
Yang bermaksud, Kerjakanlah olehmu amalan ketaatan kepada
Allah, takutlah kamu daripada melakukan maksiat, suruhlah anak-anak
kamu melakukan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang.
Sesungguhnya itu adalah pendinding bagi mereka (anak-anak kamu) dari
dirimu daripada api neraka.
Didikan Rohani Dengan al-Quran
Diriwayatkan oleh al-Tabrani, daripada Ali Karamallahu Wajhah, Nabi saw bersabda,
أَدِّبـُوا أَوْلاَدَكُمْ عَلَى ثَلاَث خِصَال: حُبُّ
نَبِيَّـكُمْ، وَحُبُّ آل بَيْتِهِ، وَتِلاَوَةُ القُرْآن، فَإِنَّ
حَمْلَةَ القُرْآن فِى ظِلِّ عَرْشِ الله يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ
مَعَ أَنْبِيَائِهِ وَ أَصْفِيَائِهِ.
Yang bermaksud, Didiklah anak-anak kamu dengan tiga perkara ini:
Cintakan Nabi kamu, kasihkan Ahli keluarganya, dan membaca al-Quran.
Sesungguhnya penghafaz al-Quran bernaung di bawah ‘Arsy Allah pada hari
tiada lagi naungan kecuali naungan Allah bersama para Anbia’ dan
Asfia’Nya.
Sabda Nabi saw,
قال رسول الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ
القُلُوبَ تَصْدَأُ كَمَا يَصْدَأُ الحَدِيد. قِيْلَ : يَا رَسُولَ
الله وَمَا جَلاَءُهَا؟ فَقَالَ : تِلاَوَة القُرآن وَذِكْر المَوْت.
أخرجه البيهقى
Yang bermaksud, Sabda Rasulullah saw, sesungguhnya hati ini
berkarat sepertimana besi yang berkarat. Sahabat bertanya: Wahai
Rasulullah bagaimana untuk mengilatkannya? Baginda menjawab: Membaca
al-Quran dan mengingati mati.
Selain itu, kesan membaca al-Quran di rumah sebagaimana hadith Nabi saw,
البَيْتُ إِذَا قُرِئَ فِيْهِ القُرْآنُ حَضَرَتْهُ
المَلاَئِكَةَ وَتَنَكَّبَتْ عَنْهُ الشَّيَاطِينُ (أَيْ تَبَاعَدَتْ
عَنْهُ) وَاتَّسَعَ عَلَى أَهْلِهِ وَكَثُرَ خَيْرُهُ وَقَلَّ شَرُّهُ
وَإِنَّ البَيْتَ إِذَا لَـمْ يُقْرَأْ فِيهِ القُرْآنُ حَضَرَتْهُ
الشَّيَاطِينُ وَتَنَكَّبَتْ (أَيْ تَبَاعَدَتْ) عَنْهُ المَلاَئِكَةُ
وَضَاقَ عَلَى أَهْلِهِ وَقَلَّ خَيْرُهُ وَكَثُرَ شَرُّهُ
Yang bermaksud, Rumah yang dibaca di dalamnya al-Quran, akan
dikunjungi para Malaikat dan dijauhi para syaitan dan selesa kehidupan
ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan adapun
rumah yang tidak dibaca al-Quran di dalamnya dikunjungi para syaitan dan
dijauhi para Malaikat, tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut,
sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.
Mendekatkan Anak Dengan Masjid
Masjid dalam Islam memainkan peranan yang sangat penting untuk
pembentukan diri seorang muslim dan juga membina masyarakat Islam. Bagi
masyarakat Islam di bawah kepimpinan Rasulullah saw ketika di Madinah,
masjid adalah tempat memupuk peribadi-peribadi muslim dan muslimat
sehingga ia cukup kuat dan tahan untuk menjadi asas dan bahan dalam
membina masyarakat Islam yang padu dan kuat. Dari aspek apa pun
ditafsirkan, langkah dan tindakkan Rasulullah saw itu ternyata bahawa
masjid merupakan kilang memproses, mendidik serta membentuk teras-teras
dan asas-asas keperibadian muslim. Ini kerana daripada masjid inilah
lahirnya graduan-graduan para sahabat yang memiliki keperibadian yang
teguh dan utuh dengan ketaqwaan, keberanian, keilmuan dan amalan untuk
menegakkan negara Islam selepas wafatnya Rasulullah saw.
Didikan Rohani Dengan Berzikir (mengingati) Allah.
Firman Allah swt,
Yang bermaksud, Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi
hukum-hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan
kebaikan: dan bersyukurlah kamu kepada Aku dan janganlah kamu kufur
(akan nikmatKu). [6]
FirmanNya lagi,
Yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! (untuk bersyukur
kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan dan
sebutan yang sebanyak-banyaknya. [7]
Zikir ialah menyebut dan mengingat Allah dalam semua keadaan sama ada
melalui akal, hati, lisan dan perbuatan. Sesungguhnya kedamaian jiwa
dan kesejahteraan hati serta kelapangan dada adalah merupakan
sebesar-besar kebahagiaan di dunia ini. Meskipun terdapat pelbagai
pendapat mengenai konsep kebahagian namun pada realitinya ia mendustai
segala pengertian kebahagiaan yang diangan-angankan pada harta, pangkat
dan kedudukan selagi ia tidak dibina atas ketaatan kepada Allah dan
mengikut Rasulullah. Allah swt menerangkan bahawa kedamaian itu
bergantung kepada mengingatiNya Yang Maha Agung. FirmanNya,
Yang bermaksud, (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang
tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu,
tenang tenteramlah hati manusia. [8]
Dengan mengingati Allah, diharap akan menjadikan iman kita bertambah serta meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNya. FirmanNya,
Yang bermaksud, Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang
sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan
sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibaca kepada
mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan
mereka jua berserah. [9]
PENDIDIKAN ANAK MELALUI SOLAT
Firman Allah,
Yang bermaksud, Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu
mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar
menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang
memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi
orang-orang yang bertaqwa. [10]
Firman Allah mengenai nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya,
Yang bermaksud, “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang,
dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan
perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala’ bencana yang
menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara
yang dikehendaki diambil berat melakukannya. [11]
عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ
رسولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ
بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا
وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ.
Yang bermaksud, Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya,
daripada datuknya berkata, sabda Rasulullah saw: “Perintahlah
anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan
pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta
pisahkan tempat tidur mereka.
Di dalam hadith ini dinyatakan tiga perkara yang perlu dilakukan sebagai didikan awal kepada anak-anak iaitu:
i. Perintah mendirikan solat ketika berumur tujuh tahun.
Menurut al-Syeikh ‘Izzuddin ‘Abdul Salam, lafaz perintah di sini
ditujukan kepada ibu bapa. Mereka hendaklah menyuruh anak-anak mereka
supaya mendirikan solat setelah mengajarnya dengan syarat dan
rukun-rukun solat, sama ada ibu bapa itu sendiri mengajarnya atau dengan
mengupah orang lain untuk mengajarnya. Secara asasnya, pembentukkan
sahsiah anak-anak dipengaruhi pada dua keadaan:
Pertama: Pendidikan dalaman iaitu rumah ibu bapa itu sendiri sebagai sekolah dan medan tarbiyah.
Kedua: Pendidikan luaran seperti masjid, surau dan sekolah-sekolah yang disediakan oleh kerajaan.
Justeru, Islam mewajibkan ibu bapa supaya melakukan contoh yang
terpuji, berbudi pekerti dan peribadi yang terpilih di hadapan
anak-anak. Perkara ini amat penting bagi mereka kerana anak akan
mengikut dan bertabiat sepertimana apa yang dia lihat, sama ada
mengikutinya dengan sengaja atau tanpa disedari. Begitu jugalah hal
keadaannya di sekolah iaitu guru-guru. Ini kerana mengikut pandangan
murid-murid, peribadi guru merupakan peribadi sejati dan mereka juga
banyak menghabiskan masa bersama guru.
Oleh itu, perlulah guru bersikap mulia terutama di hadapan
murid-muridnya supaya tidak berlaku sepertimana pepatah melayu “Cikgu
kencing berdiri, anak murid kencing berlari”.
Selain itu, Islam menggalakan kita segera mendidik
anak-anak di usia muda sebelum mereka disibukkan dengan pekerjaan.
Sebagai contoh Imam al-Syafi‘i telah menghafaz al-Quran ketika berumur
tujuh tahun, menghafal kitab al-Muatta’ ( الموطاء ) ketika berumur
sebelas tahun dan mempu memberi fatwa apabila berumur lima belas tahun.
Diceritakan Sufian bin ‘Uyainah apabila ditanya tentang fatwa atau
tafsir maka beliau menghampiri Imam al-Syafi‘i lalu berkata: “Kamu
tanyalah kepada budak ini”.
Di dalam hadith ini, dijelaskan agar kita menyuruh anak kita
mendirikan solat. Melalui solat, kita diajar untuk menghargai nilai
waktu dan masa. Kita akan menggunakannya dengan aktiviti yang berfaedah
dan tidak mensia-siakannya. Allah berfirman mengenai waktu dan masa,
Yang bermaksud, Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam
kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka
pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. [12]
Justeru, Islam sangat mementingkan waktu kerana waktu menjadi
hitungan bagi seluruh manusia. Setiap waktu yang berlalu dan pergi itu
tidak akan kembali lagi. Harga satu waktu itu tidak boleh dicari ganti
lagi. Ibadah-ibadah di dalam Islam juga adalah mengikut waktu yang
tertentu berdasarkan kepada pusingan hari dan musim mengikut peredaran
matahari dan bulan. Solat lima waktu sehari semalam adalah difardhukan
mengikut waktu-waktunya yang tertentu. Firman Allah swt,
Yang bermaksud, Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. [13]
Ianya tidak boleh diubah sama sekali atau tukar ganti dengan waktu
yang lain. Setiap waktu dan bahagiannya pula ada pelbagai kelebihan.
Islam mengiktiraf keistimewaan solat di awal waktu. Di sisi Islam solat
di awal waktu memang digalakkan kerana menunjukkan kesegeraan menunaikan
tanggungjawab tanpa menglengah-lengahkan dan menangguh-menangguhnya.
ii. Pukul jika meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun.
Konsep balasan kepada kesalahan yang dilakukan oleh anak. Sehubungan
dengan itu, kita harus mendenda anak sekiranya mereka cuai atau
melakukan kesalahan. Berdasarkan ini, Islam mengharuskan kita memukul
atau merotan anak sekiranya mereka meninggalkan solat ketika berumur
sepuluh tahun. Pada usia ini ada antara anak kita yang telah mencapai
umur baligh atau hampir baligh iaitu usia taklif. Akan tetapi apa yang diharuskan itu mestilah satu perkara yang munasabah.
Selain ibu bapa, para guru juga diharuskan mendenda atau merotan anak
muridnya yang cuai atau melakukan kesalahan. Walau bagaimana pun
janganlah terlalu mudah untuk mengenakan denda atau rotan
tanpa cuba memperbaiki atau memperbetulkannya terlebih dahulu dengan
pelbagai cara yang lain seperti nasihat. Perkara ini penting dilakukan
bagi tujuan menanamkan perasaan pada anak bahawa denda atau rotan itu
bertujuan untuk menghentikan mereka daripada melakukan kesalahan
berulang-kali untuk kepentingan diri mereka sendiri. Lantaran, Islam
lebih menggalakkan kita berlemah-lembut dalam menyampaikan ilmu kepada
anak-anak agar matlamat mendidik anak-anak tersebut tercapai dan tidak
menganggu perkembangan psikologi mereka. Contoh pendekatan Rasulullah
saw dalam mendidik anak:
عَنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: مَرَبِّي رَسُولُ اللهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا مُضْطَجِعَةٌ مُتَصَبِّحَةٌ فَحَرَّكَنِي
بِرِجْلِهِ ثُمَّ قَالَ: يَا بُنَيَّةَ قُومِي اشْهَدِي رِزْقَ رَبِّكِ،
وَلاَ تَكُونِي مِنَ الغاَفِلِينَ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقْسِمُ
أَرْزَقَ النَّاسِ مَا بَيْنَ طُلُوعِ الفَجْرِ إِلَى طُلُوعِ الشَّمْسِ.[14]
Yang bermaksud, Daripada Fatimah binti Muhammad saw r.a berkata:
Rasulullah selalu datang menghampiriku pada waktu subuh sedang aku
nyenyak tidur maka Baginda menggerakkan aku supaya bangun dengan lbu
jari kakinya sambil Baginda bersabda: Wahai anakku Fatimah, hendaklah
anakanda bangun segera lihat rezeki daripada Tuhan anakanda dan
janganlah anakanda menjadi orang yang pemalas. Hendaklah anakanda
mengetahui Tuhan telah menetap pemberian rezekiNya kepada seluruh umat
manusia di antara terbit fajar sehingga terbit matahari.
Hadith yang lain,
وَقَدْ كَانَ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
يُعَلِّمُ أَصْحَابَهُ أَنْ يُعَامِلُوا أَوْلاَدَهُمْ بِالرِّفْقِ
وَاللَّيْنِ، وَيَضْرِبُ لَهُمُ المَثَلَ بِمَا يُمَارِسُهُ هُوَ
بِنَفْسِهِ، فَقَدْ كَانَ يُصَلِّى يَوْمًا إِمَامًا، فَارْتَحَلَهُ
الحَسَنُ ابْنُ بِنْتِهِ السَّـيِّدَةِ فَاطِمَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا،
فَأَطَالَ السُّجُودَ، فَلَمَّا فَرَغَ قَالَتِ الصَّحَابَةُ، يَا رَسُولَ
الله! أَطَلْتَ السُّجُودَ؟ فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ،
إِنَّ ابْنِي ارْتَحَلَنِي فَكَرِهْتُ أَنْ أُعَجِّلَهُ.
Yang bermaksud, Baginda Rasulullah saw telah mengajar
sahabat-sahabat Baginda bagaimana cara melayan anak-anak dan cucu-cucu
mereka dengan lemah lembut dan Baginda sendiri telah menunjukkan
sebaik-baik contoh sebagaimana yang diceritakan bahawa Baginda
Rasulullah solat berjemaah di masjid dan Baginda sendiri menjadi Imam.
Tiba-tiba cucunya yang bernama Hassan memaut leher Baginda ketika
Baginda sedang sujud menunaikan solat. Rasulullah sebagaimana yang
diriwayatkan memanjangkan sujudnya ketika itu. Setelah selesai solat,
seorang sahabat bertanya: Engkau memanjangkan sujud?. Jawab Rasulullah
saw: Cucuku sedang menunggangku maka aku tidak sampai hati tidak
menyampaikan kehendaknya.
Hadith lain pula,
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ، مَا رَأَيْتُ
أَحَدًا أَشْـبَهَ سِمْتًا وَلاَ هَدْيًا بِرَسُولِ الله صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَضِيَ اللهُ عَنْهَا، كَانَتْ إِذَا دَخَلَتْ عَلَى
النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ إِلَيْهَا فَقَبـَّلَهَا
وَأَجْلَسَهَا فِي مَجْلِسِهِ، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ عَلَيْهَا قَامَتْ مِنْ مَجْلِسِهَا فَقَـبَّلَتْهُ
وَأَجْلَسَتْهُ فِي مَجْلِسِهَا.[15]
Yang bermaksud, Daripada ‘Aishah telah berkata: Belum pernah aku
melihat seorang pun menyamai Rasulullah saw di dalam ketenangan dan
keraiannya yang mana Siti Fatimah binti Rasulullah saw ketika dia masuk
berjumpa Nabi saw maka Rasulullah saw pun bangun dan memeluknya serta
mempersilakan dia duduk di majlisnya. Begitu juga apabila Baginda masuk
berjumpa Fatimah r.a, kemudian dia (Fatimah r.a) bangun dan memeluk
Rasulullah saw serta mempersilakan duduk di majlisnya.
iii. Memisahkan tempat tidur mereka.
Anak-anak yang berumur sepuluh tahun wajib disediakan tempat tidur
yang berasingan antara adik beradik lelaki dengan perempuan. Ini
bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada mereka tentang adab-adab
pergulan dan batasan aurat.
Selain anak-anak yang mencapai umur sepuluh tahun perlu dididik
dengan adab-adab meminta izin memasuki bilik ibu bapa
( الإستئذان ) sebagaimana firman Allah,
Yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah
hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu,
meminta izin kepadakamu (sebelum masuk ketempat kamu) dalam tiga masa;
(iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana
kepanasan tengahari, dan sesudah sembahyang isya`; itulah tiga masa
bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka
tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana
mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu
masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain.
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatnya (yang menjelaskan
hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Bijaksana. Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka
hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang yang
tersebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu
ayat-ayatNya(yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah
Maha Mengetahui lagi MahaBijaksana. [16]
Berdasarkan ayat di atas tadi, anak-anak atau hamba hendaklah meminta
izin terlebih dahulu daripada ibu bapa untuk memasuki bilik mereka pada
tiga waktu ini:
1. Sebelum Solat Subuh.
2. Ketika kita menanggalkan pakaian akibat kepanasan
tengah hari. Iaitu ketika kita hendak tidur pada waktu Zuhur atau waktu
Qailulah.
3. Selepas waktu Isya’.
Ini bertujuan untuk menjaga aurat ibu bapa yang terbuka ketika mereka tidur agar tidak dilihat oleh anak-anak.
Allah swt memberi kelebihan dan kemuliaan kepada Umat Muhammad yang
menunaikan solat dan memeliharanya. Di sini disebutkan beberapa
kelebihan-kelebihan tersebut:
Kelebihan Solat
1. Solat dapat menghapuskan dosa.
Firman Allah swt,
Yang bermaksud, Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang
(pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya
amal-amal kebajikan (terutama sembahyang itu) menghapus
perbuatan-perbuatan yang buruk (dosa). Perintah-perintah Allah yang
demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.[18]
Hal ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah r.a katanya:
سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
يَقُولُ: أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهْرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ
مِنْهُ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسَ مَرَّاتٍ، هَلْ يَـبْقَى مِنْ دَرَنِهِ شَيْءٌ؟
قَالُوا: لاَ يَـبْقَى دَرَنِهِ-أَيْ وَسَخِهِ- شَيْءٌ فَقَالَ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : فَكَذَلِكَ الصَّلَوَاتُ الخَمْسُ يَمْحُو
اللهُ بِهِنَّ الخَطَايَا-الصَّغَائِرَ.
Yang bermaksud, Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda:
Sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan rumah salah seorang
daripada kamu, lalu kamu mandi di sungai itu 5 kali setiap hari, adakah
masih kekal kekotoran di badan kamu? Mereka (para sahabat) menjawab:
Tidak ada kekotoran yang kekal. Sabda Rasulullah saw lagi: Begitulah
juga solat lima waktu, Allah swt menghapuskan dengannya dosa-dosa iaitu
dosa-dosa kecil.
2. Sesungguhnya solat itu meningkatkan darjat/kedudukan.
Hadith riwayat Ibnu Majah dengan sanad yang sahih, daripada ‘Ubadah
bin Somit r.a bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda,
مَا مِنْ عَبْد يَسْجُدُ لِلّهِ سَجْدَةً إِلاَّ كَتَبَ اللهُ
بِهَا حَسَنَةً وَمَحَا عَنْهُ بِهَا سَيِّئَةً وَرَفَعَ لَهُ بِهَا
دَرَجَةً فَاسْتَكْثِرُوا مِنَ السُّجُودِ.
Yang bermaksud, Setiap sujud seseorang hamba itu akan dikurniakan
oleh Allah satu kebaikan dan dihapuskan satu kesalahan serta diangkat
untuknya satu darjat. Oleh itu, perbanyakkanlah sujud.
3. Solat itu adalah sebagai penawar bagi diri dan roh.
Hadith riwayat Ahmad, daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda,
إِنَّ فِي الصَّلاَةِ شِفَاءً
Yang bermaksud, Sesungguhnya di dalam solat itu ubat (penyembuhan)
4. Solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.
Firman Allah swt,
Yang bermaksud, Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa
yang telah diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah sembahyang
(dengan tekun). Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada
perbuatan-perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah
adalah lebih besar (faedah dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui
apa yang kamu kerjakan. [19]
Allah swt telah memerintah supaya mendirikan solat dan juga telah
menerangkan kesan solat kepada mereka yang mendirikannya. Solat itu
mencegah perbuatan keji iaitu perbuatan yang haram dan kata-kata
mungkar. Perbuatan yang keji dan perkataan yang mungkar, kedua-duanya
menghasilkan dosa.
5. Solat itu memelihara diri daripada sifat-sifat yang tercela.
Yang bermaksud, Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiat
resah-gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan dia
sangat resah-gelisah, dan apabila dia beroleh kesenangan ia sangat
bakhil kedekut kecuali orang-orang yang mendirikan solat, iaitu mereka
itu sentiasa mendirikan solat. [20]
Ini bermakna apabila manusia ditimpa kesusahan dia merasa sangat
resah-gelisah dan bosan sedangkan apabila dia mendapat kebaikan daripada
Allah swt dia menjadi bakhil dan kikir serta tidak melaksanakan hak
Allah swt.
Seseorang itu tidak akan terlepas daripada sifat-sifat yang tercela
itu melainkan mereka sentiasa mengerjakan solat pada waktunya kerana
solat mampu mengubah tabiat buruk mereka kepada tabiat yang baik dan
kepada keadaan yang lebih sempurna serta utama.
6. Sesungguhnya solat itu mendekatkan diri kita dengan Allah.
Firman Allah swt,
Yang bermaksud, Sujudlah dan dampingilah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal saleh) [21].
Hadith Nabi saw, yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada Abu Hurairah,
قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
أَقْرَبُ مَا يَكُونُ العَبْدُ مِنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَهُوَ سَاجِدٌ،
فَاكْثِرُوا الدُّعَاءَ.
Yang bermaksud, Rasulullah saw bersabda: Detik yang paling hampir
seseorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud, maka
perbanyakkanlah doa ketika itu.
7. Antara keistimewaan solat bagi mereka yang mendirikannya
ialah solat sebagai satu persediaan yang kukuh untuk melihat Rabbil
‘Izzati ‘Azza wa Jalla.
Jarir r.a menceritakan bahawa kami pernah bersama Rasulullah saw pada
suatu malam melihat bulan dan di dalam riwayat lain menyebut “bulan
purnama”. Rasulullah saw bersabda,
إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا
القَمَرَ، لاَ تُضَامُونَ فِي رُؤْيَتِهِ. فَإِنِ اسْتَطَعْـتُمْ أَنْ لاَ
تُغْلَبُوا عَلَى صَلاَةٍ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا.
Yang bermaksud, Sesungguhnya kamu akan dapat melihat Rabbil
‘Izzati seperti mana kamu melihat bulan ini tanpa ada apa-apa halangan
untuk melihatnya. Justeru berusahalah kamu supaya tidak terlalai solat
sampai terbit matahari dan terbenamnya.
Al-Khattab menjelaskan bahawa hadith di atas menunjukkan orang yang
menjaga dua solat iaitu solat ‘Asar dan solat Subuh akan beroleh
ganjaran melihat wajah Allah ‘Azza wa Jalla.
Kelebihan Solat Berjemaah
Solat adalah asas akhlak yang baik. Manakala solat berjemaah pula
merupakan satu cara dan disiplin yang efektif untuk ikatan
kemasyarakatan, berkasih sayang sesama manusia dan bersatu tenaga untuk
menyelesaikan pelbagai masalah.
Ganjaran besar yang dikurniakan oleh Allah terhadap pelaksanaan solat
berjemaah adalah petanda yang nyata bahawa Umat Muhammad ialah umat
yang istimewa. Di sini disebutkan antara kelebihan solat berjemaah:
1. Mendapat 27 darjat.
Pahala solat berjemaah dinyatakan oleh hadith daripada Ibnu ‘Umar r.a,
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
صَلاَةُ الجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ
دَرْجَةً وَفِي رِوَايَةٍ بِخَمْسٍ وَعِشْرِينَ دَرْجَةً.
Yang bermaksud, Pahala solat berjemaah mengatasi solat bersendirian dengan 27 darjat-dalam riwayat yang lain disebut-dengan 25 darjat.
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa perbezaan pahala solat berjemaah
yang dinyatakan oleh hadith tersebut adalah bergantung kepada orang yang
melakukan solat serta sifat solat itu sendiri. Oleh kerana itulah dalam
keadan tertentu ia dikurniakan pahala 27 darjat sedang dalam keadaan
yang lain 25 darjat. Hal ini juga bergantung atas kesempurnaan solat
itu, ketelitiannya, khusyuk, bilangan jemaahnya serta dimanakah
tempatnya solat itu didirikan.
2. Orang yang memelihara solat berjemaah akan mendapat dua ganjaran. Pertama: Bebas dan selamat daripada siksa api neraka. Kedua: Terhindar
daripada sifat munafiq, ragu terhadap adab-adab Islam, hati yang keji
dan tidak ikhlas terhadap Allah swt serta lemah pancaran cahaya iman
daripada menerangi kehidupan. Oleh itu, akan lahirlah segala bentuk
kekejian, menganggap ringan dosa besar apatah lagi dosa kecil. Daripada
Anas r.a berkata,
قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ
صَلَّى لِلّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ، يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ
الأُوْلَى كَتَبَ لَهُ بَرَاءَتَانِ: بَرَاءَةٌ مِنَ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ
مِنَ النِّفَاقِ.
Yang bermaksud, Rasulullah saw bersabda: Sesiapa yang bersolat
secara berjemaah serta sempat bersama imam pada takbir yang pertama
selama 40 hari, maka Allah akan menetapkan untuknya dua keselamatan, pertama, selamat daripada api neraka, kedua, selamat daripada menjadi seorang munafiq.
3. Menghilangkan was-was dan terpelihara daripada syaitan.
Solat berjemaah boleh menghilangkan was-was dan terpelihara daripada
syaitan. Golongan yang tidak solat berjemaah akan dikalahkan oleh
syaitan. Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, dan al-Nasa‘I, daripada Abu
Darda’ r.a berkata,
سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
يَقُولُ: مَا مِنْ ثَلاَثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلاَ بَدْوٍ لاَ تُقَامُ
فِيهِمُ الصَّلاَةُ إِلاَّ وَقَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِم الشَّيْطَانُ
فَعَلَيْكُمْ بِالجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ مِنَ الغَنَمِ
القَاصِيَةَ.
Yang bermaksud, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Jika ada
tiga orang dalam satu Qariah atau satu kampung, tidak mendirikan solat
berjemaah, mereka akan dikalahkan oleh syaitan. Oleh itu, kamu hendaklah
kamu berjemaah. Sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang
terpencil (bersendirian).
KESIMPULAN
Solat dalam Islam merupakan salah satu cara pendidikan akhlak atau
peribadi serta membaiki cara hidup seseorang. Anak-anak hari ini adalah
harapan bangsa akan datang. Mendidik anak-anak melakukan ibadah solat
kemudian diikuti dengan ibadah-ibadah serta perkara-perkara kebaikan
yang lain supaya dapat membentuk satu jiwa yang beragama untuk
mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat. Ini bertepatan
dengan firman Allah swt,
Yang bermaksud, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun). Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar. [22]
Semoga pendedahan sebegini akan menyelamatkan kita daripada
melahirkan generasi yang meninggalkan solat lantas menurut hawa nafsu
serta melakukan kerosakan dan kejahatan sebagaimana firman Allah,
Yang bermaksud, Kemudian mereka diganti oleh keturunan-keturunan
yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan
maksiat), maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka). [23]
Ó Kertas
ini dibentangkan di dalam Seminar Kebangsaan Menghayati Ajaran Islam:
Sembahyang Kewajipan Asasi, Tahun 1427H/2006 M, di Sutera Hall, Center
Point Hotel, Bandar Seri Begawan, 22hb Ogos-23hb Ogos 2006, anjuran
Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei
Darussalam.
[1] Ihya’ Ulum al-Din, al-Imam Abi Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, Darul ‘Ilmiyah, Kitab Adab al-Nikah, Jld. 2 hlmn 24.
[3] Tarbiah al-Aulad fi al-Islam, Abdullah Nasih ‘Alwan, Darussalam, bab al-Ribat al-Ruhi, Jld. 2.
[4] ‘Aun
al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Daud, Sidqi Muhammad Jamil al-‘Attar, Darul
Fikr, Bab Mata Yukmaru al-Ghulam bi al-Salah, Jld. 2 hlmn 123.
[5] Riwayat Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir
[15] Diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasi‘ie, al-Tirmizi.
[17] Keistimewaan Umat Muhammad, Syed Muhammad bin Syed Alawi, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan darul Khusus.
[20] (Al-Ma'arij 019-023)