Kecacatan tidak halang cipta kejayaan
|
|
KUALA LUMPUR 2 Okt. - Biarpun pernah berasa terkilan kerana diperlekehkan atas kekurangan yang dimilikinya, namun ia tidak menghalang Ahmad Zulkahfi Hayat Hussain mencipta kejayaan sehingga memperoleh Anugerah Abdullah Ibnu Umm Maktum Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Bagi anak kelahiran Batu Buruk, Kuala Terengganu itu, segala ejekan dan sindiran yang diterima berikutan kecacatan di kedua-dua belah tangannya itu tidak pernah mematahkan semangatnya, malahan ia menjadi pemangkin untuk lebih berjaya.
Dia yang juga penerima anugerah Tan Sri Khir Johari bagi kategori orang kurang upaya (OKU) pada tahun 2008, turut melalui saat-saat getir apabila terpaksa menyudahkan pengajian ketika ibu bapanya diserang penyakit strok.
Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik Dengan Kepujian itu, keadaan tersebut yang memaksa bapanya yang sebelum ini bertugas sebagai kakitangan rendah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bersara awal menjadikannya lebih kuat dan tabah meneruskan pengajian.
Kata beliau, ia agar dapat dijadikan contoh oleh adik-beradiknya yang lain.
"Ini semua ujian daripada Allah dan saya bersyukur ibu bapa saya sudah semakin sembuh dan kejayaan saya pada hari ini adalah hadiah terbaik untuk mereka.
"Jika dahulu ada yang memandang rendah kemampuan saya, kini saya sudah buktikan yang saya mampu berjaya seperti individu normal yang lain," katanya yang mendapat purata nilai gred kumulatif (PNGK), 3.404.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Konvokesyen UIAM Ke-26 di Gombak, dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid.
Konvokesyen UIAM kali ini menyaksikan seramai 4,334 graduan menerima ijazah masing-masing meliputi ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.
Ia melibatkan seramai 3,699 graduan tempatan dan 635 graduan antarabangsa.