SUMBER : SINAR HARIAN 18.8.2016
KUALA LUMPUR - Mayat Noor Amila Edrus Norsham, kanak-kanak lelaki
berusia 5 tahun yang dilaporkan hilang di Jinjang Utara sejak lapan hari
lalu (11 Ogos) dan dijumpai dalam keadaan menyayat hati di kawasan
semak Kampung Kemensah, Hulu Kelang hari ini adalah antara beberapa kes
kanak-kanak hilang di negara ini, sejak 1996.
Sebelum ini, seorang kanak-kanak lelaki bernama Ting Song Seng, 9,
dilaporkan hilang ketika menunggu bas di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan
(Cina), Taman Rasah, Klang untuk pulang ke rumah pada 15 Januari 1996.
Song Seng masih gagal ditemui sehingga sekarang.
Pada 20 Ogos 2007, Nurin Jazlin Jazimin dilaporkan hilang selepas
keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.
Misteri kehilangan akhirnya terjawab apabila mayatnya yang tidak
berbaju dipercayai mangsa deraan seks, ditemui oleh pemilik lot kedai di
Jalan PJS 1, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya pada 17 Sept 2007 dan
setelah ujian DNA dijalankan, ia mengesahkan mayat tersebut adalah Nurin
Jazlin.
Mangsa dibunuh 24 jam sebelum mayatnya ditemui dalam beg yang
ditinggalkan di tangga premis perniagaan tiga tingkat di kawasan itu.
Pada 9 Jan 2008, Sharlinie Mohd. Nashar, 5, dilaporkan hilang ketika
bermain bersama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200
meter dari rumahnya di No. 29, Jalan PJS2C/11N, Taman Medan, Petaling
Jaya.
Sharlinie masih gagal ditemui sehingga hari ini.
Pada 9 Mac 2008 murid lelaki 11 tahun, Muhamad Asmawi Jalaludin
dilaporkan hilang ketika pulang dari sebuah taman permainan berdekatan
rumahnya di Lot 127,
Rumah Banglo Kayu, Jalan Permai Tujuh.
Muhamad Asmawi ketika itu dikatakan dalam perjalanan pulang bersama
rakannya dari taman itu berdekatan Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR)
Kerinchi.
Muhamad Asmawi masih belum ditemui hingga kini.
Pada 1 Mac 2012, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang dilaporkan hilang
dari rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Johor Baharu ketika
membeli mi segera dan telur pada 10.30 pagi.
Tiga individu termasuk sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan.
Pada 8 Mac mayatnya ditemui rentung di dalam satu lubang di kawasan perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai.
Seorang buruh, Muidin Maidin, 26, didapati bersalah membunuh mangsa di
ladang kelapa sawit Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, antara 1 Mac dan 2
Mac 2012 dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Pada 24 Jan 2013 seorang kanak-kanak Wiliam Yau Zhen Zhon, 6, ditemui
mati di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, 24 Jan lalu selepas
seminggu hilang.
William dilaporkan hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra
Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar daripada kenderaan untuk
mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.
Pada 8 November 2013, Freddie Joseph, berusia setahun lapan bulan yang diculik dari rumah ibunya di Bangsar.
Freddie kemudian dijumpai keesokan harinya bersendirian dalam keadaan
lapar dan letih di Taman Tasik Titiwangsa oleh seorang pemandu lori dan
seorang pemandu teksi yang kebetulan melalui laluan tersebut kira-kira
12.55 tengah hari.
Pada 21 November 2014, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun Mohd
Shariqal Sidek hilang ketika bermain di kawasan kebun getah di Kampung
Selagon, Beaufort, Sabah.
Dua hari selepas itu, pada 23 November kanak-kanak tersebut ditemui
mati dipercayai dibunuh berhampiran Sekolah Menengah St John di sini
kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.- Bernama