Siapa yang tidak solat subuh pagi tadi, sila angkat tangan. Belum pun sempat tangan diangkat dengan sempurna, turun tangan, pintaku. Ku anggarkan lebih sepuluh orang murid yang mengaku tidak solat subuh. Keadaan imi memang telah dijangka. Waktu itu sekitar 20 minit sebelum UPSR 2011 hari kedua bermula. Beberapa hari yang lalu di dalam program pasca UPSR sekali lagi soalan yang sama diajukan. Kali ini pertanyaan secara individu. Siapa yang tidak solat subuh pagi tadi, ganti sekarang. Hampir sepuluh orang yang tidak solat subuh. Bagaimana kita nak solat solat sunat (duha), sedangkan kita ada hutang solat yang wajib (fardhu) ? Pagi itu kami solat sunat taubat sahaja.
Apa yang ingin kita renungkan ialah dalam saat genting sebegitu pun ada lagi dalam kalangan (anak-anak / murid-murid) kita yang tidak menunaikan solat subuh. Dengan siapa kita harap pertolongan ? Bukankah kejayaan itu seiring dengan usaha dan doa. Bukankah perlakuan dan bacaan di dalam solat itu sebahagiannya adalah doa dan pujian kepada Allah?. Jika tidak solat, bila masanya kita berdoa. Berdoa dengan tidak solat subuh ? Ya , kita boleh berdoa bila-bila masa. Tapi apa maknanya mengaminkan doa yang dibacakan beberapa minit sebelum peperiksaan itu? Kita berhutang. Tidak menunaikan solat subuh pagi tadi. Usaha belajar kita sebelum ini bagaimana pula ? Bukankah keberkatan yang kita cari ?. Bukankah kita mencari ilmu yang bermanfaat ?. Ilmu yang dapat memimpin diri. Penyuluh kehidupan.
Inilah pratikal dalam hidup. Dalam kita menghadapi rutin sebagai murid dan pelajar ada yang mengabaikan soal solat. Bagaimana sekiranya memang kita dilanda ujian seperti sakit dan sebagainya, adakah kita mengabaikan solat juga ? Itu satu persoalan luar konteks tajuk kita.
Bila diajukan soalan mudah. Kenapa tak solat subuh pagi tadi ? Jawapannya juga mudah, .... tak sempat.... bangun lewat.... tak disuruh....
Tidak solat dalam kalangan murid menggambarkan perlakuan tidak mengambil berat dalam soal penghayatan sebagai seorang muslim. Saya selalu mengingatkan agar kita selalu merasakan diri kita beragama. Solat adalah garis perbezaannya. Antara taat dan engkar perintah. Jangan harap orang lain yang mengambil berat terhadap amalan beragama diri kita. Jangan kita hanya menunggu arahan dari ibu bapa kita sahaja. Kita bertanggungjawab terhadap amalan agama kita. Masing-masing akan dipertanggungjawabkan dengan amalan masing-masing. Apa yang membimbangkan kita ialah bagaimana seorang yang sedang meningkat umurnya dapat memelihara diri dari melakukan kesalahan disiplin (konteks seorang murid dan pelajar) jika tidak solat. Bukankah perlakuan perlangaran disiplin ada kaitannya dengan natijah dari amalan solat seseorang ?.
Dulu merokok, ponteng, melawan guru, conteng dinding sekolah, patahkan kerusi, pecahkan cermin tingkap, pancitkan tayar dan calarkan kereta guru. Kini gejala zina, buang bayi, menjadi keldai dadah, minum arak, bunuh diri, tikam emak, tendang bapak. Semuanya ini pernah berlaku dan ada statistiknya.
Bagaimanakah kita ingin berhadapan dengan situasi ini ? Jawapan sangat pasti, jangan tinggalkan solat. Jangan abaikan solat. Kitalah yang mengambil berat tentang solat kita. Jangan harap orang lain mengambil berat tentang solat kita. Marilah kita menunaikan solat. Marilah kita menuju kejayaan. Berjayalah orang beriman yang khusyuk di dalam solatnya. Insya Allah.