sumber : hmetro
APABILA melihat sekumpulan kanak-kanak bermain, pada fikiran kita mungkin akan bertanya apakah yang berlegar dalam minda mereka?
Adakah mereka tahu apa apa yang dimainkan atau langsung tiada makna? Sering kali juga kita melihat keasyikan bayi memegang alat mainan, kemudian menggigit, mengetuk atau membaling mainan itu. Perkara ini dilakukan berulang-ulang tanpa jemu sehinggalah barang itu pecah dan rosak.
Bagi bayi dan kanak-kanak yang gemar merosakkan permainan, ada ibu bapa melihat daripada pandangan berbeza.
Bagi bayi dan kanak-kanak yang gemar merosakkan permainan, ada ibu bapa melihat daripada pandangan berbeza.
Ada yang tidak lagi mahu membelikan permainan kerana menganggapnya membazir dan anak-anak tidak tahu menghargainya. Namun tahukah anda pemusnahan dilakukan si kecil adalah tanda permulaan mereka menunjukkan sikap ingin tahu terhadap sesuatu perkara yang baru dicapai sebelum memulakan penerokaan lebih mencabar?
Ramai ibu bapa tidak tahu bermain adalah proses penting kepada kanak-kanak. Melalui aktiviti ini bayi dan kanak-kanak membina pengetahuan mengenai sains dan sosial.
Mereka juga terhibur apabila bermain kerana dapat melahirkan perasaan, beroleh kegembiraan dan keseronokan.
Ramai ahli psikologi kanak-kanak menekankan kepentingan bermain kepada bayi dan kanak-kanak termasuklah Montessori yang menganggap permainan adalah pekerjaan kanak-kanak. Froebel pula percaya bermain adalah asas dalam pembelajaran. Ini amat penting bagi guru merangsang minat dan tumpuan kanak-kanak, menggunakan naluri ingin tahu mereka dan memotivasikan mereka untuk belajar.
Menurut Vygotsky (1966) pula, bermain adalah cara kanak-kanak belajar mengenai apa yang tidak dapat diajar orang lain. Contohnya, mereka dapat meningkatkan kemahiran sosial dengan cara meneroka dan menjelajah dunia sebenar.
Menurut Pengasas Live and Learn, Singapura, Carrie Lupoli, banyak kajian dijalankan mengenai kepentingan bermain kepada bayi dan kanak-kanak.
Ini kerana, usia sebulan sehingga mencecah tiga tahun ke atas adalah masa yang sangat kritikal kepada mereka terutama dalam membantu fungsi perkembangan otak serta pembelajaran mereka.
“Bermain adalah peringkat permulaan kanak-kanak kepada proses pembelajaran, membina perhubungan dan kemahiran harian. Kini, ibu bapa cenderung melihat kebolehan kanak-kanak pada setiap perkembangan usia mereka. Justeru, membina perkembangan otak bayi menerusi permainan memberi pengalaman baru kepada ibu bapa,” katanya ketika berucap pada bengkel anjuran Fisher-Price di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Tambahnya, ibu bapa harus menyediakan asas dan tapak yang kukuh kepada kanak-kanak. Bukan saja menyediakan pembelajaran menerusi kebolehan membaca atau mengira tetapi juga lebih daripada itu. Kanak-kanak harus diajar berfikir keluar daripada kotak atau lari daripada kebiasaan. Ini dinamakan sebagai pemikiran kreatif dan hanya boleh diperoleh menerusi permainan.
“Dalam erti kata lain, kanak-kanak sememangnya tidak boleh dipisahkan daripada permainan kerana bermain boleh memberi kegembiraan dan kepuasan kepada mereka walaupun bukan untuk mendapatkan sesuatu hasil atau mencapai tujuan tertentu,” jelasnya.
Bermain juga membolehkan kanak-kanak mencipta dan meneroka suatu dunia yang dapat mereka kuasai. Bermain boleh mengawal rasa takut sambil berlatih menjadi dewasa. Dalam dunia ini, mereka memperoleh kebolehan baru yang membawa kepada keyakinan diri serta ketabahan yang diperlukan bagi menghadapi cabaran mendatang.
Melalui bermain, kanak-kanak mampu meningkatkan pelbagai sudut perkembangan diri selain menjadikannya saat yang paling berharga.
“Seawal usia dua tahun, kanak-kanak mula melahirkan rasa ingin tahu dan tempoh itu adalah saat terbaik bagi memberi galakan kepada perkembangan anak-anak.
“Ketika itu, perkembangan motor kasar sudah bermula begitu juga perkembangan deria rasa mereka,” jelasnya.
Menurut Carrie, dengan bermain kanak-kanak akan didedahkan dengan satu pembelajaran dan penemuan baru setiap hari. Mereka akan diajar mengenai warna dan bentuk berbeza. Ini menggalakkan mereka menggunakan kemahiran motor kasar dan halus.
Bermain juga memberikan penekanan kepada tumpuan si kecil dalam menyelesaikan sesuatu masalah sekali gus mengawal kemarahan mereka apabila menemui jalan buntu apatah lagi melahirkan kreativiti dalam melakukan sesuatu tugas.
Sering kali kita melihat anak-anak suka mengamuk atau membaling barang apabila mereka tidak dapat melakukan sesuatu ketika bermain. Ini adalah proses membina kemahiran sosial supaya mencuba dan belajar daripada kesilapan. Paling penting mereka belajar untuk mengawal rasa marah dan bersabar menghadapinya.
“Sifat semula jadi kanak-kanak tidak suka berkongsi permainan. Apa yang dimiliki menjadi hak mutlak mereka. Namun, �menerusi pergaulan serta tunjuk ajar ibu bapa, apabila usia meningkat, sikap ini akan berubah. Mereka semakin matang dan mula menjadi orang dewasa dengan ingin berkongsi dengan semua orang.
“Ini membuktikan, bermain dapat mendedahkan mereka kepada kemahiran berkomunikasi serta perhubungan sosial,” jelasnya.
Tegasnya, bermain juga adalah ruang untuk mencipta imaginasi mereka. Misalnya menerusi sesuatu permainan kanak-kanak membayangkan mereka memandu kereta atau membawa kapal terbang.
“Malah imaginasi ini jika dibentuk mengikut kaedah yang betul adalah lebih baik daripada pembelajaran di sekolah.
Paling penting bermain dapat mendedahkan kanak-kanak dengan bahasa. Menerusi permainan, ibu bapa akan menyebut beberapa perkataan dan ini akan diserap dalam minda kanak-kanak. Setiap hari �mereka akan belajar perkataan baru misalnya bola, lari, kejar dan ini akan bertambah setiap hari.
“Justeru, sangat penting ibu bapa mencari alat permainan yang sesuai dengan peringkat usia anak. Dengan bantuan serta sokongan yang betul ketika bermain anak akan menjadi lebih bijak, aktif dan menunjukkan perkembangan yang sihat bukan saja ketika masih bayi tetapi dalam proses peralihan usia menjadi remaja dan dewasa,” jelasnya.
Carrie juga menerangkan mengenai lima peringkat perkembangan kanak-kanak iaitu:
1. Rangsangan - Sifar bulan
Bayi baru lahir suka melihat dan mendengar. Oleh kerana �mereka belajar menerusi rangsangan, justeru alat permainan yang berbentuk berwarna, boleh disentuh dan didengar sangat sesuai dengan usia mereka.
Mereka juga belajar meneroka menggunakan mulut dan akan cuba untuk menyentuhnya dan lama-kelamaan mereka akan mula duduk.
2. Pergerakan badan - Enam bulan
Apabila bayi sudah mempunyai keyakinan diri, mereka akan mula meneroka dunia dengan cara tersendiri. Pada masa ini, mereka mula belajar merangkak dan berjalan. Alat permainan yang sesuai adalah yang dapat membantu mereka untuk mempelajari kemahiran baru.
3. Perkembangan bahasa - Sembilan bulan
Apabila bayi mula mengeluarkan bunyi suara, ibu bapa seharusnya sedar untuk memberi rangsangan menerusi komunikasi kerana ini sangat penting walaupun pada masa ini bayi masih belum memahami sebarang bahasa.
Kanak-kanak akan suka meniru setiap perkataan yang keluar daripada mulut ibu bapa. Jadi inilah tugas anda untuk memperkayakan bahasa kanak-kanak. Cari permainan yang membantu perkembangan bahasa mereka.
4. Membesar - 12 bulan
Pada usia ini bayi sudah mengenali fungsi badan mereka. Mereka akan mula berjalan, duduk atau berlari. Pergerakan tangan juga menjadi lebih kuat. Pilih permainan yang dapat membantu mereka berfikir serta bergerak.
5. Berjalan dan meneroka - 18 bulan
Bayi anda sudah menjadi kanak-kanak cergas. Mereka mula memahami banyak perkara dan menyebutnya.
Mereka mempunyai banyak tenaga untuk berjalan, memanjat dan berlari. Justeru, pastikan anda sentiasa bersama mereka untuk memberi tunjuk ajar dan bermain bersama-sama anak-anak.
Permainan yang bagus untuk perkembangan kanak-kanak bukan sekadar pada warna dan bentuknya yang menarik, tetapi mengikut kesesuaian usia dan bahan digunakan untuk membuatnya.
Bahan digunakan perlu selamat untuk kanak-kanak dan mainan itu juga tidak sepatutnya mudah patah atau pecah jika terjatuh.