Terima keputusan depan jenazah ibu
BHarian 21.11.2009
SEREMBAN: Tidak seperti murid Tahun Enam lain yang kegirangan ketika menerima keputusan cemerlang 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Amynur Ain Putri Rosdy kesedihan
menerima keputusan itu di hadapan jenazah ibunya.Apabila keputusan UPSR diumumkan di pejabat Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior kelmarin, Siti Amynur ada di surau rumah rakyat Taman Dusun Nyior untuk membantu keluarga menguruskan jenazah ibunya, Rusmah Abdullah, 47, yang meninggal dunia akibat tekanan darah rendah pada tengah malam Rabu selepas terlantar di wad hospital selama dua minggu.Berderai air mata Siti Amynur dan ahli keluarga apabila guru
besar sekolah itu, Noreha Adam menyampaikan keputusan ke tangan pelajar itu sendiri di hadapan tubuh kaku ibunya beberapa minit sebelum solat jenazah dimulakan pada pukul 11.30 pagi kelmarin."Saya sedih sangat, ibu tidak dapat melihat keputusan ini. Ibu selalu berpesan ketika hayatnya bahawa saya ini harapan dia, ayah pula sudah meninggal dunia empat tahun lalu," kata Siti Amynur yang kini hidup yatim piatu bersama abangnya yang berusia 14 tahun.Selepas ayahnya meninggal dunia akibat sakit tibi, ibu Siti Amynur bekerja sebagai pencuci di sebuah hotel bajet rendah di Seremban dengan pendapatan RM500 sebulan.Pada April lalu, ibunya terpaksa berhenti kerja apabila pelajar itu mengalami kemalangan sehingga patah kaki dan keluarga itu terpaksa hidup dengan bantuan kewangan RM400 sebulan.Setiap hari selepas berhenti kerja, ibunya akan berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk menghantar nasi bungkus kepada Siti Amynur kerana pelajar itu tidak balik rumah untuk menunggu kelas bimbingan UPSR.Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior, yang terkejut ketika dimaklumkan ibu Siti Amynur meninggal dunia, berkata: "Siti adalah ketua murid di sekolah kami. Kami tahu dia akan mendapat keputusan cemerlang. Pagi-pagi saya sudah ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk mengambil keputusan (UPSR) seawal mungkin."Saya nekad untuk mendapat keputusan cepat dan sampaikan sendiri ke tangan Siti sebelum jenazah ibunya dikebumikan di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said," katanya.Beliau dengan ditemani seorang guru hampir saja terlewat dan Noreha tidak putus-putus berdoa supaya Siti Amynur menerima berita baik di sebalik ujian berat yang menimpa pelajar itu.Ketika menyampaikan keputusan itu ke tangan Siti Amynur, Noreha berkata suasana sangat hiba dan puluhan orang termasuk ahli surau terdiam tetapi beliau mengumpul semangat untuk memberitahu kepada murid itu: "Ibu tentu tahu Siti mendapat keputusan cemerlang".Noreha kini berusaha untuk membantu Siti Amynur mendapat tempat di sekolah berasrama penuh."Siti ini tabah orangnya, kami tidak tahu pun ibunya dimasukkan ke wad selama dua minggu sebelum meninggal dunia. Ketika Siti patah kaki April lalu, dia mendapat cuti sakit selama dua bulan tetapi masuk bulan kedua, dia berazam untuk datang ke sekolah," katanya.Katanya, Siti Amynur mahu mengubah kemiskinan keluarganya dan bercita-cita menjadi seorang pensyarah. - Bernama
No comments:
Post a Comment