Nur Madihah terima biasiswa Bank Negara
BH 16 April 2009
KUALA LUMPUR: “Selepas melakukan solat istikharah, gerak hati saya terarah untuk menerima tawaran biasiswa Bank Negara Malaysia dan saya yakin ia adalah keputusan tepat,” kata pelajar cemerlang yang memperoleh 20A termasuk satu A2 dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal.
Nik Nur Madihah adalah antara lima pelajar cemerlang SPM tahun lalu yang terpilih menerima Anugerah Biasiswa Kijang Emas, biasiswa berprestij ditawarkan bank berkenaan kepada pelajar cemerlang.
Empat penerima lain Mohd Zulikhwan Ayub yang meraih 10 A1, Alifah Arina Md Khambari (10 A1), Ho Ming Chuen (12 A1) dan Muneswaran a/l Ganesan (15 A1).
Masing-masing menerima tawaran biasiswa itu yang disampaikan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada satu majlis di sini, semalam.
“Kini saya berdepan dengan cabaran untuk meneruskan pengajian dan berazam melengkapkan diri dengan segala pengetahuan dan kemahiran sebagai bekalan untuk menabur bakti kepada negara dan agama,” katanya.
Sambil melahirkan rasa syukur terpilih penerima berprestij itu, Nik Nur Madihah berazam memanfaatkan sebaik mungkin biasiswa itu untuk terus mencapai kecemerlangan pada masa depan.
“Saya gembira dan akan menggunakan wang diperoleh untuk menampung perbelanjaan pengajian di peringkat universiti nanti,” katanya.
Sementara itu, Zeti ketika berucap pada majlis itu, berkata anugerah berkenaan selaras wawasan Bank Negara untuk meningkatkan pembangunan modal insan, selain penghargaan kepada pelajar cemerlang berkenaan.
“Ini komitmen kita untuk terus memupuk serta membangunkan tenaga mahir negara, tahniah diucapkan dan saya yakin lebih banyak kejayaan besar boleh dicapai selepas ini,” katanya.
Setakat ini, 22 pelajar sudah menerima anugerah dan kini sedang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di universiti terkemuka luar negara.
Ke mana selepas SPM?
ALHAMDULILLAH penantian terhadap pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) telahpun berakhir, dan kini kalangan remaja lepasan peperiksaan tersebut sudahpun mengetahui keputusan peperiksaan masing-masing.
Bagi yang berjaya, tahniah diucapkan kepada mereka. Kejayaan anda pastinya turut menjadi kebanggaan keluarga. Anak yang dididik, diasuh kini menjadi harapan keluarga untuk terus berjaya dan menjadi insan yang berbakti.
Kita juga amat berasa berbangga kerana terdapat adik-adik kita yang mencatatkan kejayaan yang amat luar biasa, umpamanya Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal yang berjaya mendapat 19 A1 dan 1 A2. Kejayaan beliau merupakan inspirasi untuk kita mencapai kecemerlangan mengatasi kekurangan yang ada. Tahniah kepada beliau.
Bagi yang kurang berjaya pula, jadikanlah kehidupan pasca SPM ini sebagai lembaran baru ke arah mencipta kejayaan baru dalam bidang yang bakal diceburi. Masih tersedia pelbagai peluang melanjutkan pelajaran yang bersesuaian dengan kelayakan yang dimiliki.
Pemilihan Kursus Pengajian
Kini tibalah masanya untuk para lepasan SPM dan STPM memilih jalan kehidupan yang seterusnya. Perbincangan kali ini memfokuskan kepada proses pemilihan kursus pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Objektif akhir kepada proses membuat keputusan ini ialah satu keputusan untuk mengikuti kursus yang diharap paling bersesuaian dengan pelajar, mendapat restu dan sokongan daripada penjaga pelajar khasnya ibu bapa.
Pemilihan kursus bagi pengajian di peringkat yang lebih tinggi perlu dilakukan dengan berhati-hati. Ia perlu mengambil kira pandangan pihak lain umpamanya ibu bapa, para guru, ataupun tokoh yang telah berjaya dalam bidang berkaitan.
Di samping itu, pelajar perlu bersikap proaktif dalam usaha mendapatkan maklumat berkenaan kursus, institusi pengajian dan potensi kerjaya berkaitan. Hal ini membantu pelajar membuat keputusan terbaik berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh.
Terdapat pelbagai sumber maklumat yang boleh diteroka oleh pelajar, umpamanya melalui laman web rasmi sesebuah institusi pengajian itu, forum maya, karnival pengajian tinggi, hari terbuka kampus, risalah, majalah serta sumber-sumber yang lain.
Kebiasaannya, persoalan pertama yang bakal timbul ialah apakah kursus yang ingin diikuti? Adakah ia kejuruteraan, perubatan, perakaunan, ekonomi, sains kemanusiaan atau sebagainya? Secara umumnya jawapan kepada persoalan ini merujuk kepada minat serta kecenderungan yang dimiliki oleh seseorang pelajar itu.
Bagaimana untuk mengetahui minat atau kecenderungan diri? Secara ringkas, jawapan tersebut terkait pada aktiviti bermanfaat apakah yang berhasil membuahkan kepuasan kepada diri pelajar setelah berjaya melaksanakannya.
Tetapi jika pelajar ingin mengkaji minat serta personaliti diri secara mendalam, pelajar boleh mengambil ujian personaliti diri daripada guru kaunseling ataupun Internet. Keputusan ujian tersebut mungkin dapat mengaitkan personaliti sesuatu kerjaya itu dengan personaliti diri pelajar.
Namun, dua kaedah tersebut hanyalah sebahagian daripada kaedah dalam proses mengenali diri dan ia tidak semestinya memberi jawapan mutlak kepada kerjaya yang menyamai minat diri.
Proses penerokaan minat diri berlaku secara berterusan dan kadang kala pelajar akan menemuinya dalam fasa kehidupan di kampus mahupun setelah bekerja kelak. Namun, kursus pengajian yang bakal diikuti selepas persekolahan menengah merupakan asas pengetahuan kepada apa jua kerjaya yang bakal diceburi kelak.
Seperkara juga yang perlu dikaji tentang sesuatu kursus itu ialah adakah ia diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau tidak. Hal ini penting agar sijil yang diterima setelah menamatkan kursus dapat diiktiraf oleh bakal majikan berdasarkan penarafan MQA.
Pemilihan Tempat Pengajian
Persoalan keduanya, institusi apakah yang menawarkan kursus yang berkaitan? Di dalam negara atau di luar negara? Kolej atau universiti? Kemudiannya, adakah kelayakan minimum untuk memohon kursus tersebut bersesuaian dengan kelayakan yang dimiliki?
Faktor suasana tempat pengajian perlu turut diambil kira memandangkan ia akan turut mempengaruhi prestasi pembelajaran kita. Adakah suasana tempat pengajian bersifat kondusif serta mempunyai kemudahan secukupnya atau tidak?
Bagaimana pula dengan corak budaya kehidupan kampus, sistem sokongan, persatuan pelajarnya, dan lain-lain lagi. Semestinya pelajar tidak akan dapat mengenali sepenuhnya persekitaran bakal kampus melainkan setelah menjadi pelajar kampus tersebut kelak.
Namun gambaran awal yang diperoleh dapat membantu pelajar dalam mempertimbangkan kesesuaian tempat pengajian tersebut. Ataupun seandainya pelajar telah bertekad memilih tempat pengajian tersebut, sekurang-kurangnya pelajar dapat bersedia dari segi mental untuk menghadapi serta mengadaptasi suasana baru kelak.
Faktor Kewangan
Sesuatu kursus yang ingin diikuti itu tentunya berserta kadar yuran tertentu yang perlu dibayar. Di samping itu, terdapat juga kos sara hidup sebagai seorang pelajar, kos alat perkakasan serta buku dan sebagainya.
Justeru, faktor kewangan juga merupakan satu aspek penting dalam proses pemilihan kursus pengajian. Persoalan tentang sejauh mana kemampuan pelajar dan keluarga untuk menanggung kos pengajian perlu dikaji serta dicari penyelesaiannya.
Yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mungkin jauh lebih murah berbanding di institut pengajian tinggi swasta (IPTS). Kos pengajian di luar negara tentunya lebih tinggi berbanding di dalam negara.
Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dapat membantu memberi pinjaman pendidikan kepada mereka yang layak. Namun adakah pinjaman yang disediakan mencukupi untuk menanggung kos pengajian keseluruhannya?
Alternatif lain adalah dengan memohon penajaan atau biasiswa daripada mana-mana badan berkanun atau syarikat swasta untuk menaja program pengajian yang bakal diikuti.
Namun keutamaan biasanya diberikan kepada mereka yang cemerlang dalam SPM serta aktif dalam kegiatan kokurikulum.
Walaubagaimanapun, terdapat juga tawaran biasiswa yang bakal dibuka setelah pelajar memasuki semester kedua tahun pertama. Pemilihan calon yang layak ketika ini pula berdasarkan kepada keputusan cemerlang yang diperoleh bagi semester pertama.
Akhir Kata
Dalam pada pelajar berusaha membuat perbandingan tentang kursus pengajian, ayuh amalkan juga solat istikharah serta sentiasa berdoa semoga Allah memberikan ilham untuk kita membuat keputusan terbaik yang diharapkan dapat membawa kebaikan kepada kehidupan kita di duni ini dan juga di akhirat kelak.
Selain itu, tanamkan niat dalam diri untuk menjadikan kerjaya yang bakal dibina sebagai satu perjuangan dalam usaha memenuhi tuntutan fardu kifayah terhadap umat Islam.
Umat Islam masa kini sememangnya memerlukan ramai pakar dalam segenap bidang untuk maju ke hadapan demi mencapai khaira ummah. Insya-Allah, kita sebagai generasi belia Islam hari ini dapat memenuhi aspirasi ummah dengan mencipta kecemerlangan dalam bidang yang diceburiKeputusan perlu tepat dan bersesuaian ..... nurabadi..