Ke mana selepas SPM ? Mendalami Bidang Akademik ? Mendalami Bidang Kemahiran ? ..... Emmmm ada satu lagi bidang yang kelihatan dipinggirkan di dalam ruang pemikiran.... Bidang Agama. Pilihlah bidang yang merentasi ketiga-tiga bidang... Paling kurang Bidang Komputer dan bidang Pengajian Islam ( usuluddin / syariah / )... Jika pilih bidang ekonomi cuba lihat dan ambil bidang ekonomi Islam, Jika minat undang-undang... belajarlah undang-undang sivil dan undang-undang syariah..... belajar psikologi belajar sekali dengan bidang kaunseling Islam.... Kita biasa dengan di peringkat menengah rendah kelas intergerasi.... aliran biasa di tambah dengan belajar bahasa arab..... begitu juga di universiti...... apa penting ini semua ? Jika ditakdirkan Allah kita menjadi ir biarlah tahu hukum fekah..... jadi doktor perubatan.... doktor yang hafiz..... lihat sahaja di timur tengah... imam hafiz mereka juga seorang berkelulusan kejurteraan.... Bukankah kita sering membaca berita di dada akhbar.... indeks jenayah semakin bertambah.... mengapa ianya berlaku ?.... salah satu puncanya penghayatan ilmu hanya sebahagian semata-mata. Ilmu Agama ? Semacam terpinggir. Ada kelulusan dalam bidang kewangan ... tetapi kewangan konvensional sahaja tanpa pengetahuan di dalam bidang kewangan Islam...... Kitalah generasi masa depan. Biarlah ilmu dunia dan Ilmu akhirat didalami dan digali bersama. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang dapat memimpin hidup kita dari dunia sampailah ke akhirat. Bukankah selepas hidup di dunia kita akan mati. Itulah sunatullah. Kemudiannya akan dihidupkan pula di akhirat yang kekal abadi ? Kejar ilmu dunia jangan sampai lupa kepada ilmu-ilmu akhirat, nanti mengukur urusan kehidupan di dunia dengan ilmu dunia semata-mata. Kelak kita akan rugi ketika di akhirat sana. Barang siapa hendakkan dunia maka dengan ilmu. Barang siapa hendakkan akhirat maka dengan ilmu. Barang siapa inginkan keduanya maka sayugialah dengan ilmu. Jangan pula ada yang tersalah ..... hanya kejar ilmu akhirat semata-mata, tinggalkan ilmu dunia, buruk juga padah jadinya. Buatlah pilihan berpandukan agama. Insya Allah, kita pasti akan selamat.
MINGGU ini debaran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu pasti terungkai, sekali gus bakal menentukan perjalanan masa depan sama ada memperoleh keputusan cemerlang atau sebaliknya.
Pelajar yang mencapai keputusan cemerlang sudah tentu bercita-cita melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi sementara bagi keputusan sederhana pula mencari institusi setara kelayakan.
Pilihan apakah yang boleh dilakukan bagi memastikan setiap keputusan tidak sia-sia, sebaliknya menjamin kehidupan lebih sempurna?
Ketua Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Kamaliah Abu berkata, banyak pilihan yang boleh dibuat berdasarkan keputusan diperoleh.
Menurutnya, cemerlang atau tidak, pelajar seharusnya terus memandang ke depan dan bersedia merangka pelbagai perancangan.
“Sebaik saja memperoleh keputusan, bersikap optimis dan segera merancang langkah seterusnya bagi memulakan penghijrahan kehidupan baru.
“Berjaya atau tidak bukan persoalan kerana setiap pelajar mempunyai peluang dan pilihan sama tara untuk membina masa depan. Mungkin caranya saja berbeza.
“Paling penting, pemilihan peluang perlu tepat supaya dapat membantu pelajar membina masa depan lebih baik,” katanya.
Setiap pilihan perlu diberi pertimbangan wajar dengan menekankan segala aspek kemungkinan walaupun pelajar membuat keputusan sama ada ingin melanjutkan pengajian, menceburi bidang kerjaya atau menduduki semula peperiksaan.
Keputusan yang diambil juga mestilah selari dengan hasrat pelajar dan bukan disebabkan paksaan bagi mengelakkan masalah pada masa depan.
“Pelajar perlu tahu kehendak sebenar diri sendiri. Pilih pilihan yang benar-benar diingini supaya tidak menyesal atau menimbulkan masalah.
“Pertimbangan perlu dibuat secara rela dan bukan paksaan demi kebaikan bersama. Jangan buat keputusan terburu-buru atau mengikut kehendak orang lain.
“Buatlah keputusan bijak biar pun keputusan itu ada kalanya tidak menggembirakan orang lain,” katanya.
SPM diiktiraf sebagai penanda aras pencapaian akademik bagi menentukan hala tuju masa depan pelajar.
Mengakui SPM boleh membawa pelbagai definisi, beliau mengharapkan pelajar melihat konsep pendidikan dengan lebih terbuka di samping peluang yang sentiasa terbentang luas.
Menurutnya, bagi yang berjaya, boleh meneruskan hasrat melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi pilihan dalam pelbagai peringkat seperti matrikulasi, diploma atau ijazah.
Sementara yang gagal atau kurang berjaya pula masih boleh memilih institusi berasaskan kemahiran yang juga banyak menawarkan program berprestasi tinggi di pasaran.
“Hari ini, negara mempunyai banyak institusi yang mampu membuka peluang melanjutkan pengajian dengan rangkaian menyeluruh sama ada awam atau swasta juga tempatan dan antarabangsa.
“Ada pelbagai pilihan boleh dilakukan termasuk berdasarkan minat dan cita-cita yang boleh memenuhi keinginan pelajar. Pilih saja dan tentukan hala tuju masa depan yang diingini.
“Justeru, tidak timbul isu tidak berpeluang melanjutkan pelajaran disebabkan faktor seperti tidak layak atau tidak pandai,” katanya.
Biar apa pun pilihan itu, penting pelajar komited melaksanakannya dan menanam kukuh keinginan untuk lebih berjaya selain positif setiap pilihan adalah yang terbaik.
“Sememangnya pilihan itu disediakan bagi membantu mengikut keperluan semasa dan individu. Pilihan yang betul boleh memberi banyak kelebihan.
“Jangan terpengaruh atau susah hati dengan tanggapan negatif sedia ada. Setiap individu ada cara masing-masing untuk memacu dan membina kejayaan,” katanya.
Antara pilihan adalah melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi, diploma, persediaan ke luar negara, politeknik, institusi pendidikan guru, tingkatan enam, kemahiran khusus dengan syarikat perkapalan atau penerbangan, akademi, keusahawanan atau melangkah ke alam pekerjaan.
Pelajar yang ingin melanjutkan pengajian peringkat matrikulasi, umpamanya perlu mempunyai persediaan mental dan fizikal kuat bagi melalui tempoh pengajian singkat sementara diploma pula bagi tujuan pasaran kerjaya atau melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda.
“Setiap pilihan ada pro dan kontra. Jika memilih matrikulasi, pelajar perlu sentiasa cemerlang sementara diploma pula mempersiapkan mereka untuk meneroka pasaran kerjaya atau menyambung pengajian.
“Semuanya ada cabaran tersendiri yang memerlukan usaha gigih untuk menikmati kejayaan,” katanya menolak tanggapan pandangan pelajar gagal atau kurang cemerlang tiada masa depan.
“Tidak berjaya dalam akademik bukan bermakna kegagalan sepenuhnya dalam hidup. Bidang kemahiran masih ada dan semakin mendapat perhatian luar biasa industri.
“Banyak institusi menawarkan program latihan berbentuk kemahiran dengan kemudahan sokongan kewangan. Pelajar boleh menggunakan platfom ini untuk mempertingkatkan kemahiran diri.
“Mungkin tidak gah seperti belajar di universiti namun penghasilannya juga lumayan. Tidak perlu berputus asa atau kecewa kerana tidak dapat memasuki universiti, sebaliknya realistik menghadapi situasi,” katanya.
Pelajar yang memilih institusi kemahiran disaran mengikuti program teknologi maklumat, pendawaian, automotif, perkhidmatan dan keusahawanan kerana prospek masa depan cerah.
“Pasaran kerjaya bidang ini cukup luas kerana tidak ramai mempunyai kemahiran aspek teknikal. Ini juga satu jaminan kerjaya biarpun tanpa kelulusan tinggi dan tidak rugi mengikutinya,” katanya.
Pelajar yang mahu melanjutkan pengajian juga perlu bijak memilih kursus bagi mengelakkan digelar penganggur terhormat kelak.
“Jangan pilih kursus yang tidak diminati atau kurang permintaan majikan. Sebaiknya ikuti perkembangan semasa industri supaya selalu mendapat maklumat terkini.
“Bagaimanapun, antara faktor pelajar menganggur kerana sikap memilih pekerjaan selain paksaan belajar kursus tidak disukai.
“Justeru, cuba dapatkan maklumat menyeluruh mengenai program dan bandingkan sama ada ia memenuhi kriteria minat atau sebaliknya,” katanya.
Pelajar juga boleh menduduki semula peperiksaan bagi memperbaiki keputusan atau bekerja bagi mencari pengalaman.
“Dunia semakin maju, bidang kerjaya juga sudah meluas dan mencabar. Sama ada akademik atau kemahiran, setiap satu mempunyai kelebihan masing-masing.
“Sentiasa optimis mengharungi kehidupan, itulah sebenarnya resipi kejayaan hidup,” katanya.
Sekitar Pengumuman SPM 2011
‘Tiga Abdul’ cemerlang
Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
MANTAP...(dari kanan) Abdullah Romli, Abdul Rahim dan Abdul Razak.
JITRA: Tiga beradik kembar yang lebih dikenali dengan nama ‘Tiga
Abdul’ mencatat sejarah bagi Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim
(SMSAH), di sini, apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan, semalam.
Abdullah Romli, Abdul Rahim dan Abdul Razak masing-masing berusia
18 tahun menganggap kejayaan mereka sebagai hadiah kepada ibu bapa yang
banyak berkorban serta memberi semangat kepada mereka.
Abdullah memperoleh keputusan 7A 2B; Abdul Rahim meraih 9A manakala
Abdul Razak mendapat 8A 1B. Abdullah berkata, dia dan adik-adiknya
tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu
kerana ketika peperiksaan percubaan, mereka mendapat keputusan kurang
baik.
Menurutnya, rahsia kejayaan mereka mendapat keputusan cemerlang
dengan sentiasa memberi tumpuan ketika guru mengajar dan mengulang kaji
pelajaran cara mereka.
“Kami bertiga selalu mengadakan
perbincangan setiap malam dan akan merujuk kepada rakan lain seterusnya
kepada guru jika tidak dapat menyelesaikan masalah.
“Selain
itu, kami sering membaca al-Quran dan melakukan solat hajat terutama
ketika menghadapi peperiksaan bagi mencari ketenangan.
“Kami juga mengamalkan makan kismis tujuh biji sebelum masuk ke
bilik peperiksaan,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor bersama dua
lagi adik kembarnya.
Abdul Rahim juga berterima kasih
kepada guru SMSAH yang banyak membantu mereka bersaudara, malah tidak
jemu memberi tunjuk ajar serta sanggup datang pada waktu malam untuk
mengajar terutama ketika menjelang hari peperiksaan.
“Memandangkan tinggal di asrama, kami menganggap guru seperti ibu
bapa juga yang sentiasa mengambil berat sama ada pelajaran mahupun
kehidupan seharian di asrama,” katanya yang menjadikan mantan Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai idola.
Sementara
itu, Abdul Razak pula berkata, walaupun gembira dengan pencapaian
mereka, namun terkilan kerana seorang lagi kembar mereka, Abdul Rahman
tidak dapat meraikan kejayaan itu bersama apabila meninggal dunia akibat
komplikasi buah pinggang ketika berusia lima tahun.
Lagi Kisah Kecemerlangan
AMPANG: Menjadikan amalan belajar secara
berkumpulan membuahkan hasil apabila tujuh sekawan memperoleh keputusan
cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan
semalam.
Kecuali Izzat Amir Ihwan, dan Haizer Khaizy, memperoleh 5A+, empat
dari mereka, Muhammad Amirul Mustaqim Mohamed Umar, Nur Adirah Ismail,
Yap Shing Yee, Qistina Zainudin memperoleh 9A, manakala Jennifer Shalini
Peter mencatat keputusan luar biasa dengan 10A+.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Indah itu turut mempunyai cita-cita sama, iaitu menjadi jurutera.
Semua mereka yang berusia 18 tahun itu turut tidak menduga
memperoleh keputusan cemerlang memandangkan ketika peperiksaan
percubaan, mereka memperoleh keputusan ‘cukup makan’ saja.
Qistina ketika ditemui berkata, selain memberi tumpuan sepenuhnya
dalam kelas dan membuat latihan berulang kali, ahli kumpulannya turut
belajar berkumpulan pada waktu petang.
“Sebenarnya kami tidak menetapkan waktu tertentu untuk belajar, terpulang kepada masa yang terluang.
“Memandangkan kami tinggal di taman perumahan di sini, ia memudahkan kami belajar bersama,” katanya di sini, semalam.
Semua pelajar itu turut mengucapkan terima kasih kepada guru yang banyak memberi sokongan moral.
Yap berkata, semua rakannya turut meminati mata pelajaran Matematik
dan lebih membanggakan mereka memperoleh A+ dalam Matematik dan
Matematik Tambahan.
“Saya belajar bersungguh-sungguh beberapa bulan sebelum peperiksaan bermula,” katanya.
Lagi Berita......
SPM: Pesakit kanser teruja
ALOR SETAR 21 Mac - Di sebalik penderitaan akibat kanser ovari dan
hati, seorang remaja tidak mahu melepaskan peluang untuk ke sekolahnya
bagi mendapatkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti
rakan-rakannya lain.
Malah Cheaw Sier Han, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Tunku Abdul Rahman, Mergong di sini sangat teruja apabila mengetahui dia
lulus sembilan daripada 10 mata pelajaran dalam peperiksaan yang
didudukinya di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini tahun lalu.
Menurut Sier Han yang disahkan menghidap kanser tahap empat kira-kira
empat bulan lalu, dia nekad mengambil sendiri keputusan SPM kerana
ingin merasai pengalaman tersebut.
"Walaupun tidak boleh berjalan lama kerana boleh pengsan, namun saya
terlalu teringin untuk ke sekolah dan mendapatkan sendiri keputusan SPM.