Gambar hiasan.
Warkah ayah buat Adam
Kehadapan anakku Adam yang dikasihi,
Ketika
kau bersiap-siap untuk memulakan hari pertama persekolahan sesi petang,
ayah senang melihat dirimu yang begitu bersemangat sambil bertali leher
biru dengan mengenakan baju dan seluar sekolah baru.
Dan
tatkala, kau mengucup tangan kasar yang pernah hinggap di tubuhmu, luluh
dan tersiat-siat hati, melihat kau masih tersenyum biarpun di kakimu
tersarung kasut lusuh tahun lalu dan beg sekolah yang sedikit carik di
tepi.
Di benak, hanya mampu berdoa agar kau tidak mewarisi
segala kelemahan dan kekurangan ayah. Ayah sedar, segala impianmu, masih
tidak mampu dan belum ditunaikan. Bersabarlah Adam.
Malam
sebelumnya, saat kau lena, ayah sukar melelapkan mata. Sesekali
terdengar batuk kecilmu, ayah sedikit resah. Mula berkira-kira untuk ke
klinik atau sekadar ke kedai mencari ubat sementara mencairkan kahak.
Runsing,
ayah lalu menatap picisan berita. Semakin baca, ayah kurang mengerti
cerita ekonomi. Lebih-lebih lagi, guna istilah subsidi atau
rasionalisasi. Maaflah Adam, ayah tidak sekolah tinggi.
Tapi ayah
yang naif ini tersinggung hati, bila menatap kata-kata Menteri yang
cuba menyedapkan naluri atau mengajar cara hidup duniawi.
Ukur
baju di badan sendiri dan jimat cermat. Kalau naik harga, janganlah
makan ayam. Kalau tak nak bayar tol, ikut jalan lama. Harga minyak naik
20 sen saja, barang dan yang lain semua naik, sebab tidak dapat
dielakkan lagi. Tapi tidak harga kangkung, buat ramai yang termenung.
Buntu juga ayah, sekuat mana lagi mahu perut diikat batu.
Anakku Adam,
Mengurangkan
belanja dan tenaga, ayah pun menaiki bas selepas Subuh ke tempat kerja
di ibu kota. Jika tidak, tol pergi balik RM10.20, minyak RM20.00 dan
parkir kereta RM6.00 setiap hari, perlu diambil kira. Jadi, selepas
turun bas ayah lebih rela berjalan kaki untuk ke stesen LRT. Lepas turun
LRT, jalan kaki semula untuk sampai destinasi.
Ayah lakukan itu
selain senaman, dapat kurangkan beban. Paling tidak, ada duit lebihan
sekali sekala dapatlah ayah beli jajan. Bukan apa, tidak tergamak hati,
bila ayah balik tanpa buah tangan, kau dan adik-adikmu sudah menunggu di
balik pintu dengan harapan.
Tiap kali ke kedai runcit
berdekatan, kau, abang dan adikmu pasti mengekori ayah. Dan setiap kali
itulah, semuanya tidak pulang dengan hampa.
Ada saja, air kotak,
keropok, aiskrim atau paling sikit pun gula-gula sebagai habuan
walaupun adakala hati ayah berdebar di kaunter bayaran, bimbang-bimbang
baki tidak cukup di tangan.
Pernah sekali duit tidak cukup untuk
lebihan,lantas ayah 'paksa' kau, abang dan adikmu ke surau dekat rumah
untuk solat berjemaah. Dan waktu itu jugalah, ayah bergegas seorang diri
ke kedai, untuk beli keperluan rumah.
Kalau ikut ayah, pasti macam-macam. Dan ayah tidak sanggup melihat semua berputih mata dan pulang tanpa ada jajan untuk dijamah.
Adamku,
Sedikit
denyut di kepala bila abangmu, menyua kertas yuran RM120.00 termasuk
untuk kelas tambahan. Baru selesai membeli buku-buku sekolah kau dan
abang-abangmu berharga RM233.00, kemudian sepersalinan pakaian sekolah
semua dengan jumlah RM113.00, tiba pula surat kuning amaran pinta
jelaskan bil elektrik yang terlewat bayar, hanya RM36.00 sahaja.
Tetapi
lapang sedikit dada ayah, tidak perlu bayar yuran bas yang bakal
berganda kerana kau, dan abang-abangmu sudah mula berdikari berjalan
kaki ke sekolah. Itupun ditemani ibu.
Biarpun belum sejuk peluh
ibu menyiap masakan tengah hari di rumah, dengan sabar perlahan-lahan
memimpin adik-adikmu untuk mengiringi kau ke pintu pagar sekolah. Oleh
itu ingatlah, jika ibumu marah, janganlah kau menyanggah kerana tiap
saat, jasanya kau mamah.
Adam anakku,
Sebenarnya liku ini
bukan kisah ayah seorang atau cerita meraih simpati, tetapi lembaran
kisah ayah-ayah yang lain jua. Kisah ayahnya seorang penoreh getah,
peneroka Felda atau membajak sawah.Juga kisahnya ayah-ayah yang kononnya
dikatakan tidak terkesan dengan kenaikan harga sebab tidak mampu
memiliki kereta.
Mereka ini tidak pandai mereka-reka cerita dan
tidak tahu untuk menukilkan pedihnya rasa seperti ayah. Adakalanya
mereka cuba meluah tapi selalunya pasrah dengan apa-apa yang diarah atau
dikatakan pemerintah. Lebih hina, mereka yang membantah digelar pula
'Bughah' (penderhaka).
Adam,
Janganlah kau sebak,
bilamana ayahmu seolah-olah menjadi pekak. Sebenarnya ayah dengar dan
cuba menahan perasaan dengan aneka permintaan kau, abang dan adikmu,
yang cukup mentah untuk membezakan apa itu perlu, apa itu kehendak.
Hidup
kita mungkin sedikit baik Adam, berbanding ayah-ayah yang diberhentikan
kerja serta-merta atau tidak mempunyai kerjaya atau gajinya cukup-cukup
makan sahaja. Pasti, redup mata mereka untuk merenung sinar mata
anaknya.
Oleh itu bersabarlah, Adam anakku. Moga semua berubah,
paling tidak pun, di usia matangmu menjengah. Waktu itu, janganlah
sekali-sekali alpa perintah Allah dan lupa ibumu yang bersusah payah.
Anakku Adam,
Ayah
telah sedaya upaya berusaha namun apakan daya. Tetapi
sekurang-kurangnya, kau tidak alami seperti abang sulungmu ketika kecil,
ayah terpaksa isi botolnya dengan air suam, kerana tidak cukup wang
untuk membeli susu. Ayah tidak dapat melupakan dan memaafkan diri
sendiri, atas kesalahan dan kedaifan itu.
Adam bersabarlah, ayah
akan terus usaha membesarkanmu, ikhlas, sampai ke tulang putih ayah.
Dan ayah hanya mampu menadah dan sesekali basah di hujung sejadah
sumber
ibrah