BUKAN sedikit ibu bapa yang mengidamkan anak seperti Sufiah Yusof, 24, yang memasuki universiti pada usia 13 tahun dan Adi Putra Abdul Ghani yang mengejutkan ramai pihak kerana kemampuan menyelesaikan masalah matematik. Tidak kurang juga yang mengidamkan anak seperti Muhammad Ahmad Zahid yang bergelar hafiz muda pada usia 13 tahun.
Semua pasti mahukan zuriat yang pintar kerana inilah ‘tiket’ kepada masa depan lebih cerah. Penat lelah membesarkan mereka seakan berbaloi apabila si anak membawa pulang kejayaan. Namun, apakah mereka ini pintar, berbakat, genius atau pun prodigy? Jangan keliru kerana inilah takrifan sebenar keupayaan mereka berdasarkan istilah psikologi.
Seperti kata-kata ‘serupa tapi tak sama,’ pakar linguistik dan Pengasas PTS Publications and Distributors Sdn Bhd, Ainon Mohd, berkata masih ramai yang tidak dapat membezakan istilah sebenar ini. “Aspek berbakat, pintar dan genius adalah antara perkataan yang kerap digunakan untuk menggambarkan kebolehan seseorang anak kecil mengatasi usia tanpa menyedari ia sebenarnya merujuk kepada makna yang kurang tepat.