Calon OKU tekad capai kecemerlangan
|
|
JOHOR BAHRU 11 Nov. - Lima calon orang kurang upaya (OKU) yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Maktab Sultan Abu Bakar di sini, bermula hari ini, bertekad memperoleh kejayaan cemerlang.
Tiga daripada mereka mengalami cacat penglihatan, manakala dua lagi rabun.
Biarpun mengakui kekurangan diri, mereka seperti calon-calon normal yang lain turut berhasrat menghadiahkan kejayaan kepada ibu bapa dan guru-guru yang banyak memberi dorongan dan sokongan selama ini.
Seorang calon yang cacat penglihatan, Mohd. Nazri Yacob, 18, berkata, dia sering berdoa semoga dorongan dan sokongan keluarga, guru-guru serta usaha gigihnya selama ini membuahkan hasil yang terbaik.
Menurutnya, kejayaan yang diimpikan itu kelak akan digunakan sebagai pembakar semangat untuk mencapai cita-cita menjadi seorang peguam.
"Semoga doa saya dimakbulkan. Peperiksaan hari ini merupakan langkah pertama untuk mencapai cita-cita berkenaan," katanya yang mengalami cacat penglihatan ketika berusia lima tahun akibat pembedahan membuang ketumbuhan di dalam otak.
Mohd. Nazri berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk mengulang kaji pelajaran kerana sudah biasa menggunakan sistem braille, malah dia akan mengulang kaji selama empat jam sehari.
Bagaimanapun, anak ketiga daripada empat beradik itu lebih selesa mengulang kaji bersendirian kerana baginya adalah mudah merangka jadual sendiri.
Bagi N. Tanamala, 18, yang mengalami rabun tahap B2, dia menghadapi masalah ketika belajar di dalam kelas kerana tidak begitu nampak apa yang ditulis oleh guru di papan hitam.
Bagaimanapun, atas bantuan rakan-rakan, dia berjaya memahami apa yang diajar selain mengulang kaji pada waktu malam.
"Dalam banyak-banyak subjek, saya paling suka Sejarah biarpun ia sedikit susah," katanya yang berhasrat menjadi guru Sejarah suatu hari nanti.
Kelima-lima sahabat ini merupakan antara 229 calon yang menduduki SPM di sekolah berkenaan pada tahun ini.
SLE bukan halangan
|
|
BUKIT MERTAJAM 11 Nov. - Keinginan mengejar kejayaan tidak akan terhenti walaupun diduga dengan pelbagai cubaan dan rintangan.
Itulah kata-kata yang menggambarkan kecekalan hati calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nur Hafiza Basri, 18, dalam usahanya mencapai kejayaan walaupun menderita penyakit kronik, Systemik Lupus Erythematosus (SLE).
SLE adalah gangguan pada sistem imunisasi atau pertahanan dalam badan manusia sehingga mewujudkan keadaan tubuh mengeluarkan antibodi berlebihan dan menyerang organnya sendiri seperti kulit, jantung atau otak.
Penyakit itu juga boleh menyerang dan merebak ke beberapa bahagian tubuh seperti sendi, buah pinggang, paru-paru dan saluran darah.
Kegagalan menduduki SPM tahun lalu kerana keadaan kesihatan yang membimbangkan termasuk sakit sendi dan kencing manis tidak mematahkan semangat Nor Hafiza untuk menduduki peperiksaan itu di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini hari ini.
Walaupun dinasihatkan supaya berhenti sekolah bagi menumpukan usaha merawat penyakitnya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Onn itu bertekad meneruskan pelajaran demi mengejar cita-cita menjadi seorang guru.
Derita anak kedua dari tiga beradik itu bermula selepas disahkan menghidap SLE sewaktu berusia 12 tahun ketika dalam persiapan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Kecekalan Nur Hafiza terbukti apabila berjaya memperoleh 3A dan 2B dalam UPSR walaupun hanya bersekolah selama 20 hari dalam tahun enam kerana menghabiskan banyak masa di wad hospital.
''Saya masih kuat dan saya yakin boleh berjaya dan balas jasa keluarga yang menyokong saya selama sakit begini," katanya ketika ditemui selepas menduduki peperiksaan kertas 1 Bahasa Melayu di HSJ.
Nur Hafiza yang terpaksa menelan 30 biji ubat setiap hari bagi mengurangkan kesan penyakitnya berkata, kesempatan berada di wad hospital digunakan untuk mengulangkaji pelajaran selain menelefon rakan sekelas jika tidak memahami sesuatu tajuk.
Selain itu katanya, pihak sekolah turut membantu sepanjang dia tidak hadir mengikuti pelajaran dengan menghantar soalan-soalan latihan peperiksaan.
''Selain keluarga, mereka (rakan-rakan dan guru) nampaknya mahu tengok saya berjaya dan ia membuat saya lebih bersemangat," katanya.
Sementara itu, bapanya, Basri Yaakop, 58, menyifatkan anaknya itu memiliki kesungguhan yang luar biasa walaupun menderita pelbagai penyakit seperti kencing manis, sakit sendi, darah tinggi dan gastrik gara-gara SLE.
''Kami pernah tanya kalau dia mahu berhenti (sekolah) kerana sakitnya amat membimbangkan tetapi dia masih mahu meneruskan pelajarannya," katanya sebak menceritakan kesungguhan Nur Hafiza.
Basri berkata, akibat banyak bergantung kepada pemakanan banyak ubat setiap hari, keadaan fizikal anaknya banyak berubah terutamanya muka yang membengkak dan pembesaran yang jelas terbantu442,936 duduki SPM hari ini
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Seramai 442,936 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula esok.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, daripada jumlah itu, seramai 10,331 calon adalah dari sekolah swasta dan 28,507 lagi merupakan calon persendirian perseorangan.
Menurut beliau, seramai 388,079 atau 87.6 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran dan sekolah kerajaan negeri manakala 16,019 calon (3.6 peratus) lagi terdiri daripada calon tajaan badan tertentu.
''Sebanyak 3,939 pusat peperiksaan telah disediakan di seluruh negara untuk calon-calon menduduki peperiksaan SPM tahun ini," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Tambah beliau, segala maklumat mengenai masa peperiksaan, peringatan kepada calon dan arahan serta amaran yang perlu dipatuhi semasa menduduki peperiksaan telah pun diedarkan melalui jadual waktu peperiksaan kepada setiap calon.
Beliau mengingatkan calon-calon supaya membawa bersama kad pengenalan masing-masing pada setiap masa peperiksaan dijalankan untuk memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar.
''Semua calon seharusnya membuat persediaan awal untuk mengelakkan berlaku keadaan atau kejadian yang tidak diingini sehingga boleh menghalang mereka sampai ke pusat peperiksaan mengikut jadual," katanya.
''Di sini saya juga ingin mengingatkan para pelajar supaya tidak terpedaya dengan penyebaran soalan bocor yang dihebahkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),'' tambahnya.
Katanya, sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir atau kebakaran, sebarang pindaan kepada jadual waktu peperiksaan dan perubahan pusat peperiksaan akan berlaku melalui hebahan media massa.
53,633 calon duduki STPM mulai 12 Nov.
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Seramai 53,633 orang calon akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di 751 buah pusat peperiksaan di seluruh negara mulai 12 November hingga 4 Disember 2008.
Pegawai Perhubungan Awam Majlis Peperiksaan Malaysia, Khawari Idris berkata, daripada jumlah tersebut, 46,325 orang adalah calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta (1,723 orang), calon persendirian individu (5,123 orang) dan calon sekolah kerajaan negeri (462 orang).
Beliau menasihatkan supaya calon-calon sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC) sepanjang peperiksaan berlangsung.
Menurutnya, jika berlaku sebarang bencana alam seperti banjir dan calon sukar untuk sampai ke pusat peperiksaan, calon dinasihati supaya pergi ke pusat peperiksaan yang berdekatan dan melaporkan diri kepada Ketua Pengawas di pusat peperiksaan yang berkenaan bagi menduduki kertas peperiksaan pada hari tersebut.
Katanya, calon yang masih tidak menerima, kehilangan atau ada sebarang kesulitan tentang LPKC boleh melayari laman web MPM http://mpm.edu.my
No comments:
Post a Comment