PELAJAR dengan pakaian seragam sekolah asyik melayari internet di sebuah pusat siber di Jalan Meru.
Sentral: Markas ponteng
Oleh Nor Hatina Shuib
bhnews@bharian.com.my
KLANG: Kehadiran 15 pelajar sebuah sekolah menengah yang menjadikan pusat siber di sebuah bangunan di Jalan Meru di sini sebagai markas ponteng sekolah mengundang seribu persoalan.
Sebaik melangkah masuk ke pusat siber yang tidak sampai 500 meter dari sebuah sekolah menengah berhampiran, wakil Sentral tertanya-tanya apakah aktiviti ditawarkan premis itu sehingga pelajar terbabit memerap berjam-jam lamanya di situ
Tinjauan Sentral mendapati pelajar terbabit ponteng sekolah kerana mahu melayari internet yang ditawarkan pusat siber berkenaan.
Suasana di situ riuh rendah dengan suara dan jeritan pelajar ketika bermain permainan video, melayari Facebook dan Yahoo Massenger yang mengasyikkan sehingga tidak sedar wajah mereka sempat dirakamkan wakil Sentral.
Beberapa pelajar turut dilihat menggantungkan pakaian seragam sekolah di kerusi dan ada sekadar menyarungkan pakaian sekolah dengan baju sejuk, mungkin sebagai langkah awal bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa atau guru disiplin.
PUSAT siber yang menjadi markas pelajar ponteng. |
Penduduk, Zainab Amir, 54, ketika ditemui berharap pihak berkuasa dapat memantau pusat siber yang sengaja membenarkan pelajar beruniform sekolah memasukinya.
“Saya tidak setuju pelajar terbabit bermain internet di pusat siber kerana ia membuang masa dan wang. Sudahlah buang duit, masa belajar juga hilang begitu saja kerana ia melalaikan,” katanya.
Peniaga, Adelyn Khong, 28, menggesa pihak berkuasa menjalankan operasi di premis yang sering dijadikan lokasi untuk pelajar ponteng sekolah sambil menghisap rokok dan mengambil pil khayal.
“Pihak berkuasa tidak boleh memejam sebelah mata kerana ia gejala sosial yang membimbangkan,” katanya sambil menambah pelajar juga menjadikan kawasan belakang bangunan premis perniagaan itu sebagai lokasi ponteng.
Seorang lagi peniaga, Shahrizal Osman, 26, berkata pasukan Rela sudah banyak kali melakukan serbuan di pusat siber itu tetapi sehingga kini ia terus beroperasi.
“Rela sudah turun padang membuat serbuan tetapi masalah ini tetap sama. Malah, semakin ramai remaja ponteng sekolah di situ,” katanya.
Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Shahrin, bersetuju dengan pandangan Shahrizal dan mahu tindakan tegas disegerakan bagi membasmi gejala ponteng sekolah.
“Saya sedih melihat bangsa kita sendiri khayal dengan alam siber yang disalahgunakan. Ia kerana pelajar melayari laman web seperti permainan video yang tidak mendatangkan faedah dan bukannya hendak mencari ilmu.
“Jangan biarkan anak muda kita menyalahgunakan teknologi. Saya takut pelajaran mereka terabai akibat berfantasi dalam dunia siber permainan video,” katanya.
No comments:
Post a Comment