Hasil kecekalan pelajar rabun kronik
KOTA BHARU 12 Mac - Ahmad Zairi Zaidi, 18, tidak dapat melihat apa yang ditulis guru-gurunya di depan kelas untuk disalin dan terpaksa bergantung kepada nota rakan-rakannya.Baginya, ia suatu keadaan yang sukar untuk dilalui setiap hari tetapi tidak sama sekali menjadi penghalang kerana semangatnya ingin berjaya sentiasa membara.
Remaja tinggi lampai ini menghadapi masalah rabun yang kronik namun hasil kecekalan melalui 'kekurangan' itu mencatat kecemerlangan buat dirinya apabila memperoleh 9A dan 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.
Pelajar Maktab Sultan Ismail, Jalan Telipot dekat sini itu mendapat A+ bagi Bahasa Melayu, Pendidikan Islam dan Matematik; A bagi Bahasa Inggeris, Sejarah dan Fizik; A- bagi Kimia, Biologi dan English for Science and Technology (EST).
Dia hanya mencatatkan satu-satunya gred B untuk Matematik Tambahan dan apa yang dicapainya adalah kesinambungan daripada kejayaannya mendapat 8A dua tahun lalu dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Slip keputusan peperiksaan itu diserahkan sendiri Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Gazali Abdul Rahman di sekolahnya semalam.
Ketika ditemui di rumahnya di Jalan Long Yunus dekat sini, Ahmad Zairi memberitahu, selain kaedah belajar secara bijak dia terhutang budi dengan rakan-rakan yang membantunya semasa sesi pembelajaran dalam kelas.
"Perit sebenarnya belajar dengan mata yang rabun. Saya tidak nampak apa yang ditulis atas papan putih. Saya bergantung kepada nota yang disalin rakan untuk memahami apa yang dicatat oleh guru saya.
"Mujurlah mereka tidak jemu membantu dan memahami keadaan diri saya," katanya yang terpaksa menggunakan pelbagai jenis kanta untuk membantunya semasa membaca dan menelaah pelajaran.
Anak bongsu daripada lima adik beradik ini berkata, dia tidak mahu dianggap seorang yang cacat penglihatan dan lemah malah dia bersedia memikul tanggungjawab dengan menjadi Pengerusi Persatuan Pengakap sekolah.
Ahmad Zairi yang mempunyai minat yang tinggi dalam teknologi maklumat bercita-cita menjadi seorang jurutera kimia dan ahli perniagaan berjaya satu hari kelak.
Sementara itu, ibunya, Rabiah Che Din, 52, seorang suri rumah pula berkata, dia dan suaminya, Zaidi Ahmad, 57, pesara pengurus bank, amat bersyukur dengan kejayaan Ahmad Zairi dan berterima kasih dengan para pendidik.
Katanya, sejak dulu lagi dia percaya Ahmad Zairi boleh bersaing dengan pelajar normal lain dan atas faktor itu dia tidak bimbang menghantarnya ke sekolah harian biasa.
"Kecacatan pada mata Ahmad Zairi hanya dapat dikesan ketika umurnya 6 tahun.
"Pada usia 7 tahun dia menjalani pembedahan rawatan laser pada matanya dan sehingga hari ini dia menerima rawatan susulan di hospital berdekatan," katanya.
No comments:
Post a Comment