Satu kehilangan besar bagi dunia Islam
KUALA LUMPUR 10 Mac - Pemergian ulama terkenal yang juga Sheikh Al-Azhar, Sheikh Mohammed Sayed Tantawi di Riyadh, Arab Saudi hari ini disifatkan sebagai satu kehilangan besar bagi dunia Islam.Penasihat Agama Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, semasa hayat beliau, Tantawi merupakan antara pemimpin Islam yang terunggul di dunia.
"Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar bagi dunia Islam.
"Sebagai anak didiknya, saya berasa sangat sedih dengan pemergiannya,'' kata Nooh yang pernah mengikuti kursus Pengurusan Fatwa di Darul Al-Iftak, Kementerian Keadilan Mesir di bawah seliaan Tantawi, lebih 10 tahun lalu.
"Allahyarham adalah seorang ulama yang terkenal dengan sikap pemurah. Hampir semua kos bagi mengendalikan kursus tersebut ditanggung olehnya,'' kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Nooh lagi, Tantawi adalah seorang yang begitu istimewa dan terkenal dengan sikap warak dan tinggi ilmunya.
Malah katanya, Allahyarham turut dianggap sebagai sumber rujukan bagi dunia Islam.
Semasa hayatnya, Tantawi telah menghasilkan beberapa kitab yang menjadi sumber rujukan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Antaranya termasuklah tafsir al-Quran setebal 7,000 muka surat yang dikenali sebagai Al-tafser al-waset yang dihasilkannya dalam tempoh 10 tahun.
Dua buku lain yang turut terkenal ialah Bano Israel yang mengisahkan perjalanan hidup kanak-kanak di Israel serta buku Muamalat al-Bank yang menceritakan tentang urus niaga bank.
Ilmu agama Tantawi turut diiktiraf kerajaan Malaysia apabila Allahyarham pernah beberapa kali dijemput ke negara ini untuk menyampaikan ceramah pada seminar dan majlis ilmiah Islam.
"Sehubungan itu, saya berharap umat Islam di negara ini untuk menyedekahkan al-Fatihah dan mengadakan solat sunat kepada Allahyarham kerana ini adalah satu kehilangan yang besar bagi kita," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz turut menyifatkan pemergian Tantawi sebagai kehilangan yang amat besar kepada ketamadunan Islam.
"Allahyarham banyak memberi sumbangan dalam dunia keilmuan Islam," katanya.
"Jakim juga telah banyak merujuk pendapat Allahyarham dalam banyak perkara berkaitan penyelidikan Islam.
"Allahyarham juga banyak menabur jasa khususnya membantu Malaysia dengan memberi banyak ruang dan peluang pendidikan kepada pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar," ujarnya
No comments:
Post a Comment