Petikan dari Buku Menjana Aspirasi Diri ms4: Penulis: nurabadi (Pengasas Pogram Menjana Aspirasi Diri )
Aspirasi merupakan ungkapan yang difahami sebagai keinginan yang tinggi untuk mendapatkan sesuatu. Aspirasi diri bermaksud keinginan yang tinggi untuk mendapatkan sesuatu yang ada di dalam diri seseorang murid. Tanpa aspirasi diri seseorang murid itu diumpamakan seperti sedang sesat di dalam hutan. Kita dapat membayangkan bagaimana seorang yang telah tersesat di hutan. Seseorang yang pergi berburu tanpa disedari tiba-tiba pemburu itu telah kehilangan “jejak mula” ketika berada di dalam hutan itu. Tanpa mengetahui destinasi yang betul, pemburu sedaya upaya cuba untuk mencari jalan keluar bagi menyelamatkan diri dari hutan tersebut.
Fikiran menjadi buntu dan bercelaru. Matlamat untuk berburu telah bertukar kepada matlamat untuk menyelamatkan diri. Pelbagai ikhtar telah dibuat. Timbul banyak idea. Namun adakah idea itu adalah semata-mata tanggapan dan sangkaan atau sebagai satu yang berkaitan dengan ilmu di hutan?. Sekiranya penyelesaian yang diambil hanya berdasarkan tanggapan dan sangkaan, mungkin kesannya tidak dapat dipastikan malahan bakal berhadapan dengan risiko kegagalan. Gagal untuk mencari jalan pulang.
Sepatutnya seseorang yang ingin berburu di hutan perlulah mempunyai aspirasi diri diikuti dengan persiapan dari sudut pengetahuan dan kemahiran selok-belok berkaitan dengan aktiviti memburu di hutan. Selain membuat latihan menembak, pemburu juga perlu mempelajari beberapa kemahiran berkaitan memburu di hutan. Jika matlamat memburu ada tetapi kemahiran untuk memburu diabaikan, natijahnya sesuatu yang sia-sia sedang berlaku. Ada aspirasi diri tetapi tidak tahu cara untuk mendapatkannya.
Begitu jugalah sebagai seorang yang masih menuntut, masih belajar. Aspirasi diri amat perlu. Lebih-lebih lagi sekiranya seseorang murid itu sedang berada di dalam “zon peperiksaan”. Aspirasi diri untuk cemerlang ada, namun kemahiran untuk mengatur langkah diabaikan tentulah keputusan yang bakal diperolehi tidak memuaskan. Adakah kita merelakan diri kita untuk gagal. Gagal untuk mendapatkan sesuatu akan mempengaruhi psikologi diri seseorang. Perasaan kecewa, rendah diri, malu, prajudis, hilang keceriaan, hilang semangat, hilang tumpuan, menjadi pendiam, murung, stress adalah risiko yang terpaksa ditanggung.
Adakah kita dilahirkan untuk gagal ? Jawapannya tidak. Kejayaan dan kegagalan dalam hidup adalah natijah daripada apa yang kita lakukan sekarang. Kita gagal kerana tidak mempunyai aspirasi diri. Persoalannya, bagaimanakah untuk mencapai aspirasi diri ? Aspirasi diri perlu dijana. Menjana aspirasi diri memerlukan kesedaran yang diiringi dengan kefahaman. Kesedaran hanya berdasarkan emosi hanya bersifat sementara. Seorang murid yang menangis kerana sedar masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, jika dengan menangis itu, murid itu ingin berubah, maka jika berlaku perubahan, perubahan itu hanya bersifat sementara kerana kesedarannya itu bersandarkan kepada emosi. Emosi sifatnya sentiasa berubah-ubah.
Kesimpulannya aspirasi diri ialah matlamat yang hendak dicapai oleh seorang murid di dalam bidang yang menjadi sasaran di dalam hidupnya.
No comments:
Post a Comment