nurabadi : Kajilah faktor-faktor kejayaan. Meniru cara pelajar yang telah berjaya adalah salah satu kaedah untuk mencipta kejayaan.
Anak tukang sapu memperoleh 5A
Utusan.
PASIR MAS 21 Feb. - Sedih melihat ibunya yang  terpaksa bekerja sebagai tukang sapu di sekolahnya, Sekolah Menengah  Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di sini, telah mendorong Attarmizi  Ramli, 19, mencapai kejayaan cemerlang 5A dalam STPM yang diumumkan  hari ini.
Kejayaan itu membolehkannya muncul pelajar tunggal di negeri ini mendapat 5A dalam peperiksaan tersebut.
Menurut anak keempat dari tujuh beradik itu, dia sungguh terharu  apabila saban hari melihat ibunya, Nor Aizan Mohd. Nor, 46, 'mengusung'  penyapu membersihkan kawasan sekolahnya yang terletak kira-kira enam  kilometer dari rumahnya di Kampung Kelar Tok Pukang dekat sini.
Jelasnya, ibunya bekerja sebagai tukang sapu di sekolah berkenaan  sejak 2003 lagi dengan pendapatan kira-kira RM450 sebulan untuk menambah  pendapatan keluarga bagi membolehkan dia dan tiga lagi adiknya berusia  antara 17 hingga 12 tahun bersekolah.
"Saya sungguh terharu kerana ibu sanggup bekerja untuk menyenangkan  kami bersekolah dan semangat ibu itu amat dihargai," katanya ketika  ditemui di sini hari ini.
Menurut Attarmizi, kejayaan cemerlang tersebut merupakan hadiah  istimewa untuk ibu dan bapanya, Ramli Che Hussin, 51, seorang peniaga  yang turut mengerah kudrat mencari rezeki bagi mereka sekeluarga. 
Jelasnya, kejayaan tersebut turut didorong oleh kejayaan dua abangnya  yang kini bertugas sebagai guru dan kakak, seorang jururawat.
Mengenai kaedah pembelajaran yang diamalkannya selama ini, Attarmizi  yang tinggal di asrama memberitahu, dia sering mengulang kaji pelajaran  secara berkumpulan sejak awal tahun bersama 15 lagi rakannya.
Jelasnya, dia bertindak sebagai 'seorang guru' kepada kepada  rakan-rakannya itu semasa proses mengulang kaji mata pelajaran Geografi,  Sejarah, Pengajian Am, Sastera dan Bahasa Malaysia.
"Kebiasaannya kami membaca antara pukul 9 hingga 11 malam, seterusnya  menyertai perbincangan 'berguru' sehingga 2 pagi," katanya.
Attarmizi berkata, berkat usaha yang mereka lakukan itu turut  menyaksikan 10 daripada rakannya itu memperoleh sekurang-kurangnya 3A  dalam peperiksaan tersebut.
Katanya, dia tidak menyangka mampu memperoleh keputusan cemerlang  tersebut kerana hanya memperoleh 3A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran  Malaysia (SPM) yang lalu.
Jelasnya, walaupun ada menerima tawaran ke matrikulasi ketika itu,  tetapi dia telah membulatkan tekad untuk menjadi seorang guru dan mahu  meneruskan pelajaran ke tingkatan enam seterusnya memasuki pusat  pengajian tinggi.
"Harapan saya sekarang adalah untuk memasuki Universiti Pendidikan  Sultan Idris, Tanjung Malim bagi meneruskan pengajian dalam bidang  pendidikan," katanya.
'Buta mata, bukan buta hati'
 JOHOR BAHRU 21 Feb. - Cacat penglihatan tidak  menghalang pelajar Maktab Sultan Abu Bakar di sini, Muhamad Nadhir Abdul  Nasir mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi  Persekolahan Malaysia (STPM).
Anak ketiga daripada enam beradik itu mendapat 3A 1B iaitu memperoleh  A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah dan B  bagi Pengajian Perniagaan dan bercita-cita menjadi seorang usahawan  berjaya suatu hari nanti.
Beliau yang bersekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Maktab Sultan Abu  Bakar, Johor Bahru menjadi pelajar cemerlang negeri Johor bagi kategori  calon istimewa - cacat penglihatan. 
Dia nyata gembira dengan kejayaan tersebut, namun cukup merendah diri apabila ditanya tentang resipi kejayaannya.
"Saya bukan seorang yang bijak, genius dan tak berbakat, maka saya  perlu berusaha lebih gigih daripada orang lain dan keputusan ini jawapan  kepada usaha itu," katanya yang ingin menyambung pengajian dalam bidang  perniagaan.
Muhamad Nadhir menetap di Taman Seri Lembah, Kluang merupakan antara  pelajar cemerlang STPM yang diumumkan oleh Pengarah Pelajaran negeri,  Markom Giran di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini hari ini.  
Beliau yang cacat penglihatan tahap dua sejak berusia sembilan tahun  memberitahu, Sejarah satu-satunya subjek yang dipelajari menggunakan  tulisan Braile manakala yang lain belajar seperti biasa. 
Dalam pada itu, ibunya, Noormah Abu Bakar, 50, gembira pencapaian  anaknya itu yang meneruskan keputusan membanggakan Sijil Pelajaran  Malaysia (SPM) dicapai sebelum ini iaitu 7A 1B.
"Saya bangga dengan Muhamad Nadhir kerana dia tidak pernah menggunakan kekurangan yang ada sebagai alasan," ujarnya.
Sementara itu, pelajar cemerlang keseluruhan negeri, Low Chea Yee,  19, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar, Muar dekat  sini memberitahu, rahsia kejayaannya adalah belajar setiap hari terutama  pada waktu pagi.
Dia yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan mendapat 5A  memilih untuk belajar pada awal pagi kerana ketenangan yang dinikmati  pada waktu itu amat sesuai untuk mengulang kaji pelajaran.
"Saya berhasrat untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan dan  Universiti Malaya merupakan pilihan utama saya," katanya yang merupakan  anak seorang pekerja kilang dan ibunya seorang suri rumah.
Pasangan kembar, Goh Guo Dong dan Goh Guo Liang daripada Maktab  Sultan Abu Bakar di sini yang turut mencatat keputusan cemerlang STPM  kali ini berkata, setiap hari mereka memperuntukkan sekurang-kurangnya  dua jam untuk mengulang kaji pelajaran.
Mereka yang berkongsi buku teks untuk mengulang kaji pelajaran juga  mempunyai cita-cita yang sama iaitu ingin menjadi jurutera dan berhasrat  meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia.
Pelajar buktikan cacat, miskin bukan penghalang kejayaan
Utusan 22-02-2011
KUALA LUMPUR 21 Feb. - Walaupun tergolong dalam  kumpulan orang kurang upaya (OKU), dua pelajar ini membuktikan bahawa  kecacatan bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan.
Atas semangat dan daya juang yang tinggi, Low Hong Ping, 21, serta  Mohd. Rifaat Hussin, 19, kedua-duanya dari Sekolah Menengah Kebangsaan  (SMK) St. John, Kuala Lumpur tidak pernah mengeluh atau merasakan  kekurangan yang ada sebagai 'jalan mati' untuk menempuh hidup.
Untuk itu, mereka harus berbangga apabila penat lelah menjalani alam  persekolahan akhirnya berbayar setelah diumumkan sebagai penerima  Anugerah Pelajar Istimewa Cemerlang bagi kategori masing-masing untuk  keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010.
Hong Ping menerima anugerah tersebut bagi kategori spastik manakala Mohd. Rifaat pula untuk kategori buta.
Bagi Mohd. Rifaat, formula kejayaannya cuma satu iaitu  melipatgandakan usaha dan ulang kaji berbanding apa yang dilakukan oleh  rakan seperjuangan yang bukan senasib dengannya.
"Hidup sebagai OKU tidak boleh dijadikan halangan untuk berjaya. Syukur kerana keluarga dan rakan-rakan sekelas banyak membantu.
"Saya menetap di asrama dan rakan-rakanlah yang menjadi 'mata' saya  untuk membantu dalam pembelajaran. Dalam kelas pula, kita kena  memberikan fokus yang lebih,'' katanya ketika ditemui pada majlis  pengumuman STPM di Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang  dekat sini hari ini.
Mohd. Rifaat yang berasal dari Seremban memperoleh dua A bagi mata  pelajaran Pengajian Am dan Kesusasteraan Melayu manakala Bahasa Malaysia  (A-); Pengajian Perniagaan (A-) dan Syariah (B-).
Selepas ini beliau merancang untuk melanjutkan pelajaran ke  Universiti Malaya (UM) atau Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  demi mengejar cita-cita menjadi seorang pendidik.
Bagi Hong Ping pula, meski serba kekurangan dan terpaksa ditemani  ibu, Cheong Yee Yee, 50, untuk melakukan apa jua kerja, kejayaan  bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dikecapi.
"Selepas ini saya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di  mana-mana universiti tempatan. Tetapi kalau boleh, saya mahu belajar di  UM kerana dekat dengan rumah,'' katanya.
Beliau memperoleh dua A dalam mata pelajaran Ekonomi dan Pengajian  Perniagaan manakala dua A- iaitu Pengajian Am serta Matematik S.
Sementara itu, Syivero Patrick, 19, yang diumum sebagai pelajar  cemerlang bagi kategori luar bandar berkata, di sebalik kehidupan  keluarga yang serba kekurangan, pelajaran baginya perlu menjadi  keutamaan untuk membawa keluarganya keluar daripada kepompong  kemiskinan.
"Semasa menduduki STPM, memang banyak dugaannya. Selain bersekolah, saya terpaksa mencari kerja untuk menampung perbelanjaan.
"Sebahagian upah kerja sampingan yang saya perolehi, dapat juga saya gunakan untuk beli buku dan membayar yuran peperiksaan.
"Saya pun tidak menyangka diumum sebagai pelajar cemerlang. Sudah  tentu saya mahu teruskan pengajian ke universiti selepas ini,'' ujar  bekas pelajar SMK Kota Marudu, Kota Marudu, Sabah itu.
Berlainan pula bagi pasangan kembar Charlotte Teong Chuin Yi dan  Aimee Teong Chuin Ai, 20, dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan  Katholik, Petaling Jaya.
Bagi mereka, diumum sebagai pelajar cemerlang STPM 2010 merupakan  saat paling manis dalam hidup dan ia sudah tentu atas disiplin yang  ditekankan oleh keluarganya ketika belajar.
"Walaupun kembar, kami memiliki cita-cita yang berlainan. Saya  sendiri mahu melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan manakala  kakak, Aimee, pula lebih meminati bidang perubatan,'' kata Charlotte  yang menjadikan Aimee sebagai 'rakan kongsi' untuk bersama mencipta  kejayaan.

 
 





 Labels:
 Labels:  19.5.12 |
 19.5.12 |  Entry  by nurabadi
 Entry  by nurabadi 
 




