hmetro 3-6-2011
MENURUT Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Malaya, Profesor Dr Suradi Salim, trauma yang berlaku berbeza mengikut setiap orang serta bergantung kepada perasaan, persepsi dan pemikiran terhadap sesuatu kejadian yang menimpa diri mereka.
“Jika kejadian yang berlaku boleh membuatkan kehidupan mereka hancur dan tidak boleh mengatasinya, maka bantuan sepatutnya diberikan bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk seperti masalah psikologi.
“Mereka memerlukan bantuan intervensi psikologi daripada mereka yang pernah mendapat latihan khusus bagi menghadapi masalah trauma yang dihadapi mangsa kejadian.
“Bagi mangsa yang masih boleh menghadapinya, sokongan harus diberi oleh ahli keluarga agar mereka tidak berputus asa dalam kehidupan. Pelbagai cara boleh dilakukan antaranya dengan mendengar luahan hatinya, melihat perasaan terhadap kejadian yang menimpa dan memberikan kata-kata seperti “Awak sudah lakukan terbaik dalam menghadapi situasi sekarang”.
“Bagi mangsa yang masih boleh menghadapinya, sokongan harus diberi oleh ahli keluarga agar mereka tidak berputus asa dalam kehidupan. Pelbagai cara boleh dilakukan antaranya dengan mendengar luahan hatinya, melihat perasaan terhadap kejadian yang menimpa dan memberikan kata-kata seperti “Awak sudah lakukan terbaik dalam menghadapi situasi sekarang”.
“Tetapi sebaiknya dapatkan bantuan daripada pakar di hospital, kaunselor atau ahli psikologi yang memang dilatih dalam intervensi psikologi agar perasaan takut mereka boleh diubah.
“Situasi sebegini seharusnya diatasi oleh mereka yang ada latihan dan kalau dibiarkan, kehidupannya akan terhalang dan takut untuk menghadapi atau melihat tempat kejadian.
“Bantuan segera daripada pakar dapat mengelakkan mereka daripada menghadapi masalah tekanan pasca trauma untuk jangka masa panjang yang akan mewujudkan masalah sakit mental seperti skizofrenia,” katanya.
Trauma biasanya berpunca daripada apa saja kejadian mengejutkan dan tidak disangka yang menyebabkan mereka terperanjat.
“Kejadian yang membuat�kan mereka tidak berupaya menghadapinya disebabkan tiada pengalaman lalu dan belum pernah berlaku yang mereka sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengatasinya.
“Kini, kehidupan kita semakin kompleks dan banyak kejadian berlaku seperti ragut, kemalangan dan jenayah yang kadangkala secara tidak langsung dapat menimbulkan perasaan trauma di kalangan sesiapa saja,” katanya.
Apa yang penting dalam menghadapi mangsa trauma adalah bantuan segera yang harus diberikan kepada mereka selepas kejadian sama ada dalam setengah jam atau lebih lama daripada tempoh itu mengikut kesan dan tahap serius mangsa.
“Mungkin pakar akan mengambil masa selama setengah jam sehari bagi mendengar segala luahan mangsa dan kadangkala kekerapan mengadakan sesi rawatan sehingga lima hingga enam minggu mengikut tahap trauma yang dihadapi. Ada juga yang boleh pulih hanya dalam masa sehari.
“Sesi rawatan akan diteruskan bagi membuat penilaian untuk melihat seberapa serius trauma mereka dan mengenal pasti kemahiran mereka secara rasional supaya dapat dibantu dengan segera,” jelasnya.
Bagi ibu bapa atau orang terdekat mangsa, bantuan daripada segi sokongan kata-kata harus diberikan dalam menyedarkan dan meyakinkan mereka untuk mewujudkan perasaan bahawa masih ada orang sekeliling yang sayang serta memberi bantuan.
“Jangan beri nasihat seperti awak perlu positif untuk hadapi semua ini sebaliknya cadangkan cara untuk menghadapi masalah misalnya suruh mereka amalkan ayat al-Quran dan jika masih berpanjangan, yakinkan mereka untuk berjumpa pakar,” nasihatnya.
Pendekatan yang biasa dilakukan oleh pakar dalam menangani trauma:
1. Mendengar luahan perasaan mangsa dan bantu mereka untuk memberi persepsi kejadian. Tujuannya untuk menganggar sejauh mana perasaan atau masalah dihadapi sama ada ia akan menyebabkan trauma atau masalah lebih serius.
2. Setelah anggaran dibuat, tindakan seterusnya akan diambil dan jika serius, mangsa akan dihantar ke hospital agar dapat menghalang kesan yang lebih buruk berlaku.
3. Jika trauma tidak serius, bincangkan strategi atau cara untuk dilakukan mangsa bagi menghilangkan rasa takut dan terkejut.
4. Menetapkan tempoh untuk mengadakan sesi rawatan sama ada setengah jam setiap hari atau dapat dipulihkan dalam masa sehari saja. Pelbagai cara akan dilakukan untuk menenangkan mereka dan mengurangkan rasa bingung.
5. Walaupun mereka sudah pulih, kaunseling masih lagi diberi jika diperlukan
No comments:
Post a Comment