En Zainal b Samsudin (GB), En Sabtu b Marhaban (YDP PIBG) |
Kluang : Seramai 17 Orang calon UPSR 2012, SK Seri Taman Kluang Barat telah berjaya mendapat 5A. Ketika mengumumkan keputusan UPSR 2012 di Anjung Bestari Sekolah, En Zainal bin Samsudin selaku Guru Besar, mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah berusaha bagi memperolehi keputusan tersebut. Di dalam majlis itu juga YDP PIBG En Sabtu bin Marhaban telah menyampaikan hadiah tanda penghargaan. Setiap murid yang mendapat 5A dan 4A telah diberikan hadiah berbentuk wang tunai berjumlah RM100 dan RM50. Norwahidah "Tokoh Murid 2012" ketika ditemubual menyatakan " Saya berasa amat gembira di atas kejayaan ini, ucapan terima kasih saya tujukan kepada ibu bapa saya, juga kepada guru-guru saya yang telah berusaha mendidik saya sehingga saya memperoleh 5A. Beliau juga berharap agar adik-adik tahun 5 sekarang ini berusaha bersungguh-sungguh bagi menghadapi UPSR 2013.
Sumber Lain : HM 20-11-2012
SHAH ALAM: “Ini hadiah paling bermakna kepada pengorbanan ayah dan ibu,” kata Adam Muqrish Azlisham, 12, anak bekas penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Azlisham Ibrahim, 39, dan pelakon serta model, Wan Khadijah Wan Othman, 36, yang memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9 di sini itu, berkata ibunya kini berada di Paris kerana urusan perniagaan.
“Ibu dan ayah mendorong kejayaan ini kerana mereka kerap menghantar saya ke sekolah dan kelas tambahan selain memastikan saya mengulang kaji pelajaran setiap hari. “Walaupun masing-masing sibuk dengan kerja, pengorbanan masa diberikan mereka adalah kekuatan sehingga saya berjaya hari ini,” kata anak sulung daripada empat beradik ini. Adam Muqrish yang mahu mengikut jejak bapanya sebagai pemain bola sepak profesional berkata, pengorbanan ayah dan ibunya yang mencuri masa memantau pelajarannya walaupun sibuk, mendorongnya menanam azam untuk menghadiahkan kejayaan kepada mereka.
“Sebagai jurulatih pasukan bola sepak Selangor bawah 21 tahun, bapa sentiasa sibuk manakala ibu pula menguruskan perniagaan. Namun mereka tetap memastikan kerja sekolah saya siap dan jika ada waktu terluang, menjadi guru di rumah,” katanya. Adam Muqrish memperoleh A bagi Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Azlisham ketika ditemui berkata amat berbangga dengan kejayaan anak sulungnya dan sentiasa memberikan perhatian penuh kepada pelajaran anak-anaknya.
“Saya tidak bercadang menghantarnya ke sekolah berasrama kerana mahu melihat dia membesar di depan mata. Saya akan pastikan Adam belajar lebih tekun dan terus berjaya,” katanya.
KUALA TERENGGANU: “Keputusan cemerlang ini lebih bermakna jika dapat dikongsi dengan ibu dan ayah, tetapi apa boleh buat mereka sudah pergi untuk selama-lamanya,” kata anak yatim piatu, Wan Muhammad Wan Lokman, 12, dari Kampung Bukit Tunggal, di sini, yang memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 diumumkan, semalam.
Murid Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal itu kematian bapa, Wan Lokman Wan Abas ketika berusia tiga tahun akibat barah usus dan ibu, Lailah Harun pada 2010 akibat barah payudara.
Menurutnya, di sebalik kegembiraan itu, dia tetap sedih kerana tidak sempat berkongsi kejayaan itu dengan insan yang disayangi.
“Siapa tidak sedih melihat rakan lain gembira untuk berkongsi kejayaan dengan ibu bapa masing-masing sedangkan saya berseorangan dan cuma mempunyai abang serta ibu saudara untuk berkongsi kegembiraan.
“Ketiadaan ibu bapa menyebabkan saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk menempa kejayaan seterusnya berjaya dalam hidup.
“Saya tidak mempunyai tempat bergantung selain adik-beradik dan ibu saudara, justeru saya perlu berdikari dan memastikan berjaya dalam pelajaran bagi mencapai cita-cita sebagai ahli perniagaan,” kata anak bongsu daripada lapan beradik itu.Mengenai rahsia kejayaannya, Wan Muhammad berkata, dia tidak mempunyai petua khusus selain memberi sepenuh perhatian ketika pembelajaran dalam kelas.
Pesan Arwah Pembakar Semangat
PADANG BESAR: Biarpun terpaksa menjadi ‘pembantu rumah’ selepas kehilangan ibu kandung akibat penyakit kencing manis dua tahun lalu, ia tidak menghalang Nuradalia Mustafa, 12, memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan, semalam.
Selain memberi tumpuan di dalam kelas dan mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan bersama rakan, Nuradalia tidak pernah ponteng kelas dan itu adalah pesanan arwah ibunya, Sarimah Ali, 46, sebelum meninggal dunia.
Nuradalia yang juga murid Sekolah Kebangsaan Guar Nangka, Mata Ayer, di sini, berkata arwah ibunya sering menasihatinya tidak ponteng kelas dan belajar bersungguh-sungguh memandangkan mereka bukan keluarga senang.
“Saya sendiri terkejut dan tidak menduga memperoleh keputusan 5A dalam UPSR kerana dalam ujian percubaan lalu hanya memperoleh 4B 1C saja,” katanya.
Contohi kakak
PEKAN: Ingin mengikut jejak kakak yang berjaya dalam pelajaran menjadi pendorong kepada pelajar Orang Asli, Eliena Jonit, 12, dari Sekolah Kebangsaan Temai, dekat sini, belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 yang diumumkan, semalam.
Bangkit selepas mendapat keputusan 4A dan 1B dalam peperiksaan percubaan berjaya meletakkan dia antara dua pelajar Orang Asli di daerah ini yang mendapat keputusan cemerlang.
Eliena, anak kedua daripada empat beradik berkata, sokongan guru dan keluarga menjadi pembakar semangatnya belajar bersungguh-sungguh bagi membuktikan Orang Asli boleh berjaya dalam pelajaran sama seperti masyarakat lain.
Menurutnya, untuk mencapai impian itu, setiap hari dia meluangkan masa sekurang-kurangnya empat jam mengulang kaji pelajaran dan sokongan kakak, Naimah, 15, menambah lagi keyakinan mencapai kejayaan.
“Kesungguhan pihak sekolah mengadakan pelbagai program termasuk kelas tambahan sejak awal tahun memberi lebih peluang kepada saya melengkapkan pengetahuan akademik seterusnya kemahiran menjawab soalan. “Menambahkan lagi semangat untuk berjaya seperti kakak yang mendapat 4A dan 1B pada UPSR sebelum ini apabila mendapat sokongan ayah dan mak, mereka sentiasa menasihatkan saya belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang bercita-cita menjadi guru.
Dia yang tinggal di Kampung Permatang Siput, dekat sini berkata, biasiswa Yayasan Pahang RM250 setahun diterima sejak tiga tahun lalu turut memberi kemudahan kepadanya membeli buku rujukan dan latihan seperti dicadangkan guru.
Eliena berkata, selepas berjaya mendapat keputusan cemerlang UPSR, dia kini berharap diterima belajar di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dengan impiannya di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah.
JOHOR BAHRU: Menyangka dia gagal memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 apabila namanya tidak dipanggil guru, seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bandar Uda (2), di sini, melarikan diri sebelum bersembunyi dalam dewan kira-kira satu kilometer dari sekolah itu, semalam.
Hafeq Shakirin Abd Halim, 12, bersembunyi di dewan itu dua jam sebelum ditemui menangis oleh bapanya, Abdul Halim Abdul Manaf, 40, dan ibunya, Norlida Mohd Yusof, 37, yang sebelum itu menghubungi polis apabila mendapati anaknya hilang.
Ketika ditemui, Hafeq Shakirin berkata, dia nekad melarikan diri dari kawasan sekolah pada jam 1 tengah hari ketika menunggu giliran mengambil slip keputusan UPSR selepas mendapati namanya tidak disebut dalam senarai calon yang memperoleh 5A.
“Saya sangka gagal memperoleh 5A. Ketika itu, saya cukup tertekan dan berasa seperti anak tidak berguna kerana menghampakan harapan ibu bapa.
“Saya sangka gagal memperoleh 5A. Ketika itu, saya cukup tertekan dan berasa seperti anak tidak berguna kerana menghampakan harapan ibu bapa.
“Saya begitu teringin menyambung pelajaran di sekolah berkenaan yang dianggap begitu unik,” katanya.
Syukur Ibu bapa banyak marah
KOTA KINABALU: “Saya akui sebelum ini saya memang nakal, kurang menumpukan pelajaran sebelum Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan keputusan peperiksaan percubaan di sekolah juga tidak memuaskan.
“Namun, atas nasihat dan dorongan ibu bapa, saya berubah untuk berjaya kerana jika kita nakal pasti kita tidak akan berjaya dan akhirnya kini saya memperoleh keputusan luar jangkaan,” kata Muhammad Jacquim Irsyad Irwan, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru 1 yang mencapai keputusan cemerlang dalam keputusan UPSR yang diumumkan, semalam.
Muhammad Jacquim Irsyad mendapat 5A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
Katanya, sebelum menjawab soalan, dia memperbanyakkan doa demi mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Saya bersyukur dan gembira mendapat keputusan cemerlang ini dan terima kasih buat ibu bapa saya yang banyak ‘marah’ saya.
“Marah mereka itu dijadikan azimat untuk mencapai keputusan cemerlang. Kejayaan ini akan diteruskan sehingga menara gading,” katanya.
Bapanya, Irwan Ibrahim berkata, pengurusan masa dan jadual pembelajaran harian anaknya sentiasa dipantau bagi memastikan kejayaan dapat dicapai.
Katanya, setiap kali pemantauan pembelajaran anaknya dilakukan, dia menegur anaknya kerana mahu melihat Muhammad Jacquim Irsyad memperoleh keputusan cemerlang.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20
No comments:
Post a Comment