![]()  | 
| PRESIDEN PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM), MUSA AWANG | 
 ISU hukum hudud bukanlah perkara baru. Ia sudah 
mendapat liputan meluas di negara ini. Pelbagai reaksi dan pandangan 
telah diberikan pelbagai pihak mengenainya sehingga mengundang pelbagai 
kontroversi. Meskipun begitu, bagaimana dan bila hudud mampu 
dikuatkuasakan di negara ini masih terus menjadi teka-teki pelbagai 
pihak.
Wartawan Muhamad Adzhar Tajuddin dan Nina Farzuin Md Sharom bersama 
juruvideo Yusrizal Yusuf Ahmad serta jurufoto Sharifudin Abdul Rahim 
menemu ramah PRESIDEN PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM), MUSA 
AWANG bagi mendapatkan penjelasan yang lebih tepat mengenai perkara ini. (SH 16 Dicember 2013)
 Apakah hukum hudud itu yang sebenarnya dan mengapa di Malaysia masih sukar untuk dilaksanakan?
 Musa Awang: Hukum hudud ertinya hukuman yang telah 
ditetapkan ALLAH dalam al-Quran dan hadis. Manusia dilarang mengubah, 
menokok atau mengurangkannya. Hukum hudud terdiri daripada pelbagai 
jenis kesalahan. Dalam perbahasan ulama, hudud dikatakan mempunyai enam 
atau tujuh kesalahan. Antaranya zina, qazaf, minum arak, merompak dan 
murtad. Kesalahan-kesalah yang disebutkan itu bukan sahaja telah 
termaktub di dalam al-Quran, malah hukumannya juga telah ditetapkan 
ALLAH. Sebagai contoh, sesiapa yang mencuri, baik lelaki atau perempuan,
 hukumnya ialah potong tangan.
 Berbalik pada sejarah, pada tahun 1511, Kesultanan Melayu Melaka 
difahamkan sudah pun melaksanakan hukum hudud. Bagaimanapun, kedatangan 
British pada 1874 menyebabkan hukum itu terhakis. Memburukkan lagi 
keadaan, fungsi mahkamah syariah sudah dikecilkan sebagaimana yang kita 
lihat pada hari ini. Mahkamah syariah pada waktu itu diletakkan di bawah
 mahkamah sivil dan sebarang keputusan mahkamah syariah boleh dipinda 
oleh mahkamah sivil.
 Selepas tahun 1988, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan 121 (1A)  
telah mengasingkan kedua-dua mahkamah itu, namun bidang kuasa mahkamah 
syariah masih lagi rendah. Sebagai contoh, mahkamah syariah hanya boleh 
menjatuhkan hukuman dalam kadar yang agak ringan di mana pesalah hanya 
boleh dijatuhkan hukuman maksimum penjara 3 tahun, denda tidak melebih 
RM5,000 dan sebat tidak lebih  daripada enam kali. Secara total, itu 
sahaja kuasa yang tertakluk di bawah mahkamah seperti mana yang 
diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka sukar melaksanakan hudud 
sekiranya bidang kuasa mahkamah syariah masih lagi kecil dan rendah.
 Mengapa Brunei mampu laksanakan? Adakah kerana jumlah penduduk di 
negara itu lebih kecil dan tidak berbilang kaum seperti di Malaysia?
 Sistem di Brunei berbeza dengan Malaysia di mana kuasa tertinggi 
terletak pada sultan sendiri dan negara tersebut mengamalkan 
pemerintahan secara monarki. Oleh yang demikian, sultan berhak 
menitahkan sebarang arahan kepada kerajaannya sama ada mahu dilaksanakan
 undang-undang Islam atau sebaliknya. Perkara ini tidak berlaku di 
negara kita, Walaupun ada di kalangan sultan Melayu yang menitahkan 
hukum hudud untuk dijalankan, namun ia tidak mengikat pihak Parlimen 
untuk melaksanakannya.
 Jika Malaysia mahu laksanakan apakah perkara utama yang mesti dibuat?
 MUSA AWANG: Perkara pokok yang perlu dibuat adalah 
meminda Perlembagaan Persekutuan dengan kelulusan 2/3 ahli Parlimen 
daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Keduanya, kerajaan perlu meminda
 akta bidang kuasa mahkamah syariah 1984 yang membataskan bidang kuasa 
mahkamah syariah selama ini. Kedua-dua perkara tersebut merupakan 
batasan atau kekangan yang menjadikan Malaysia tidak boleh melaksanakan 
hukum hudud.
 Untuk melaksanakan hudud memerlukan kelulusan 2/3 ahli Parlimen
 di Dewan Rakyat. Adakah 2/3 kelulusan itu datangnya dari ahli Parlimen 
beragama Islam sahaja?
 MUSA AWANG: Tidak, 2/3 kelulusan yang dimaksudkan 
turut melibat ahli-ahli Parlimen yang bukan beragama Islam juga. 
Walaupun hukum hudud hanya tertakluk kepada individu beragama Islam, 
namun persetujuan daripada ahli Parlimen bukan Islam juga diwajibkan.
 Mengapa Kelantan masih tidak mampu laksanakannya? Adakah Parlimen penting dalam proses untuk laksana hudud?
 MUSA AWANG: Kelantan tidak boleh melaksanakan hudud 
disebabkan keterbatasan akta bidang kuasa mahkamah Syariah 1984 untuk 
menjatuhkan hukuman seperti yang dijelaskan dalam hukum hudud. Kuasa 
yang diberikan oleh Parlimen kepada kerajaan negeri merujuk jadual 9 
senarai 2, khusus melibat jenayah-jenayah bersifat individual sahaja.
 Selain itu, sebarang undang-undang yang hendak dibuat dan dijalankan 
oleh kerajaan negeri mesti selari dengan perlembagaan. Hal ini 
bermaksud, sebarang hukuman yang hendak dibuat oleh kerajaan negeri 
mesti tidak boleh mendahului daripada segala yang termaktub di dalam 
perlembagaan. Perkara tersebut yang menyebabkan sehingga ke hari ini 
Kelantan tidak dapat laksanakan undang-undang Islam itu.
 Pada pendapat tuan wajarkan Malaysia laksana hudud? adakah ia sesuai di negara majmuk seperti Malaysia ini?
 MUSA AWANG: Pada pendapat saya kita kena tengok 
keadaan semasa. Di sini, kita bukan mempersoalkan hukum hudud itu tidak 
boleh dilaksanakan memandangkan perkara itu sememangnya sudah termaktub 
dalam al-Quran. Cepat atau lambat kita tetap wajib menjalankan. Cuma 
yang kita mesti lihat adalah berkenaan masa, sama ada sesuai atau pun 
tidak, malah pihak terlibat perlu juga melihat kekangan-kekangan yang 
mampu menidakkan hukum hudud itu dilaksanakan.  
 Malaysia mempunyai dua sistem iaitu mahkamah sivil dan syariah. Jadi, 
sekiranya kita hendak melaksanakan hudud di mahkamah syariah misalnya, 
ia juga secara tidak langsung akan melibatkan beberapa peruntukan 
undang-undang yang sekarang tertakluk di bawah mahkamah sivil. Sebagai 
contoh, kesalahan mencuri; perkara tersebut sudah ada di bawah kanun 
keseksaan. Di bawah kanun keseksaan pencuri mungkin dipenjarakan tetapi 
sekiranya mengikut hudud, pesalah wajib dikenakan hukuman potong tangan.
 Perkara sama turut berlaku terhadap kesalahan zina di mana ia tertakluk
 pada enakmen jenayah syariah. Di bawah kesalahan itu, pesalah hanya 
boleh dipenjarakan tak melebihi 3 tahun atau didenda lebih dari RM5,000 
atau kedua-duanya sekali. Secara total, kesemua kesalahan yang boleh 
didakwa di bawah hukuman hudud sama sekali bercanggah dengan kuasa 
hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah.
 Berbalik kepada hukuman hudud, saya berasa sudah ada kewajaran untuk 
pihak terbabit melaksanakan hukuman itu. Hal ini berdasarkan pada 
statistik kesalahan atau jenayah yang makin ketara di negara ini.
 Namun, apabila kita sudah bersedia melaksanakannya nanti, pastinya akan
 terhasil satu perubahan yang besar dan ketara. Antara yang boleh 
dilihat jelas adalah pelbagai kesalahan di bawah mahkamah sivil akan 
dipindahkan ke mahkamah syariah.
 Pelaksanaan hudud bukan melibatkan soal majmuk atau tidak sesebuah 
masyarakat itu (jika nak dilaksanakan hudud). Hal ini kerana hudud hanya
 melibatkan orang Islam. Orang bukan Islam mempunyai pilihan sama ada 
mahu memilih undang-undang sivil yang sedia ada atau hukum hudud.  Jadi,
 soal majmuk bukan merupakan kekangan atau masalah yang membuatkan 
Malaysia sehingga ke hari ini tidak mampu melaksanakan hudud.
 Apakah langkah yang perlu diambil supaya hudud dapat diterima seluruh masyarakat di negara ini?
 MUSA AWANG: Pada pendapat saya, ini sebenarnya adalah 
tugas orang-orang dakwah atau pun pihak jabatan agama serta kerajaan. 
Pihak-pihak ini perlu memberi penjelasan lebih terperinci mengenai apa 
itu hudud dan bagaimana ia dilaksanakan.
 Sebenarnya hukuman hudud itu ada tahapnya dan bergantung kepada 
kesalahan yang dilakukan. Contohnya seperti berzina, secara umumnya, 
masyarakat hanya tahu hukuman bagi kesalahan itu adalah sebat 100 kali 
bagi yang belum berkahwin dan rejam sampai mati bagi yang telah 
berkahwin. Tapi sebenarnya, pembuktian zina itu terlalu ketat sebab 
kes-kes zaman Nabi pun yang pernah dihukum, semuanya berdasarkan 
pengakuan orang yang melakukan kesalahan dan bukannya berdasarkan 
keterangan saksi.
 Maksudnya, mahu membuktikan zina itu perkara yang amat sukar sekali. 
Berkemungkinan pada zaman ini hukuman hudud untuk kesalahan berzina ini 
tidak akan berlaku kerana sukar untuk dibuktikan. Jadi jika perkara ini 
dijelaskan kepada masyarakat, mereka tidak akan risau dan menentang 
perlaksanaan hukum hudud ini.







1 comment:
Tahniah
Post a Comment