Punca Kenakalan Anak
Posted on Februari 21, 2014 by albakriah
1. Faktor keluargaAkhlak anak bermula di rumah. Anak sejak kecil dan sebahagian besar masanya berada dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental, fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga. Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar maka kemungkinan besar puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri. Isu pembawaan keluarga itu ialah;
a. Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan daif di mana anak membesar dalam keadaan terbiar.
b. Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.
c. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan keluarga.
d. Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai berai.
e. Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.
2. Faktor Peribadi Yang Kotor
Peribadi yang kotor adalah merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya atau mempunyai sifat-sifat yang keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak, dengki, pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah dan seumpamanya. Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh naluri agresif dan tidak rasional (nafsu kehaiwanan), hasil daripada pengalaman yang diterima sejak kecil dan kemudian diperkukuh pula bila anak itu melalui zaman remaja. Dengan lain perkataan peribadi fitrah anak telah terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.
3. Faktor sekolah
Sekolah merupakan tempat memberi pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak selepas ibu bapa. Akhir-akhir ini ini dunia pendidikan kita pula tercabar melihat keadaan pelajar di sekolah-sekolah yang melakukan pelbagai aktiviti yang tidak mencerminkan keperibadian yang baik. Dahulu, sekolah dianggap satu tempat yang mulia di mana pelajar bersungguh-sungguh menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan pada masa depan. Guru adalah pengganti orang tua yang terkadang dihormati melebihi hormat seorang anak kepada ayahnya. Akan tetapi hari ini sekolah yang mulia itu ada yang mula dibakar oleh pelajarnya, guru yang semestinya dicontohi kini diburu. Daripada hati kecil kita timbul persoalan kenapa terjadi perubahan yang besar di kalangan pelajar kita hari ini?
Mengikut kajian, faktor sekolah yang boleh mempengaruhi anak ialah:
a. Disiplin sekolah yang longgar.
b. Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.
c. Guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh murid-murid.
4. Faktor Persekitaran
Dalam Islam, persekitaran memiliki peranan yang penting dalam pendidikan anak sehingga wajarlah apabila kita dianjurkan untuk melihat jiran di kawasan yang akan diduduki. Anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh persekitarannya. Oleh sebab itu, tinggal di suatu tempat dengan persekitaran yang baik adalah modal penting membentuk sahsiah anak untuk menjadi generasi yang baik. Persekitaran yang baik ini bermakna bukan hanya baik dari segi keadaan fizikal tapi juga baik dari segi mental dan kehidupan beragama.
1 comment:
Likes
Post a Comment