Kanak-kanak adalah insan yang amat memerlukan perhatian dan kasih
sayang daripada golongan dewasa. Malangnya, terdapat segelintir golongan
dewasa yang cetek akal yang memperlakukan kanak-kanak sebagai alat
untuk melepaskan nafsu.
Tindakan yang tidak bermoral ini akan mendatangkan banyak kesan
negatif terhadap diri kanak-kanak itu sendiri dan jika tidak dibendung,
ia dikhuatiri akan terus mengancam keselamatan golongan harapan negara
ini. Trend terkini penderaan seksual menunjukkan mangsa bukan hanya
didera secara seksual, bahkan mereka juga dibunuh dengan kejam
Pembunuhan dilakukan oleh pendera bagi menutup perbuatan mereka. Pada
2004 menyaksikan kes kekejaman ini. Pada 17 Januari 2004, mangsa, Nurul
Huda Ghani berumur 10 tahun dibunuh selepas dipercayai dirogol secara
bergilir-gilir oleh tiga lelaki di Gelang Patah, Johor.
Seterusnya,
kes adik Siti Syazwani Ahmad Dusuki dari Sungai Petani, Kedah yang
dirogol dan dibunuh. Mayat mangsa ditemui di dalam parit sedalam dua
meter dengan seluruh badannya sudah dipenuhi serangga.
Menurut Pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling
Universiti Malaya (UM), Dr Mariani Mohd Nor, gangguan seksual
kanak-kanak didefinisikan sebagai satu perlakuan individu iaitu pemangsa
memaksa atau cuba mempengaruhi serta mengugut mangsa sama ada melakukan
hubungan seksual atau gangguan seksual dengan pelbagai cara termasuk
memasukkan objek ke dalam mulut, tubuh, dubur dan kesakitan fizikal.
Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, dalam tempoh 2007
hingga 2008, kes penderaan kanak-kanak meningkat sehingga 21 peratus
atau 501 kes daripada 2,279 (2007) kepada 2,780 (2008) dengan 56 peratus
daripada keseluruhan 2,780 kes berlaku di kawasan padat di Lembah
Klang, meliputi 949 kes di Selangor dan 595 di Wilayah Persekutuan.
Daripada
jumlah itu, gangguan seksual mencatat bilangan tertinggi dengan 863 kes
dan 95 peratus daripada mangsa adalah kanak-kanak perempuan. Penderaan
seksual yang berlaku terdiri daripada dua kategori hubungan iaitu
melalui hubungan tanpa membabitkan fizikal dan hubungan dalam bentuk
fizikal.
Namun penderaan seksual yang dilakukan tanpa kontak
fizikal sukar dibuktikan kerana ia tidak meninggalkan kesan yang nyata
pada tubuh badan melainkan kesan emosi dan mental yang berkekalan (Ann
Wan Seng & Khadijah, 1997).
Kebiasaannya, penderaan seksual
kanak-kanak yang berlaku merujuk kepada aktiviti seksual yang tidak
dikehendaki dan dipersetujui.
Penderaan seksual berlaku sama ada
melalui sentuhan sehinggalah membabitkan hubungan seksual. Disamping
itu, penderaan seksual juga berlaku secara lisan, visual, audio atau
sebarang cara yang memaksa mangsa untuk terbabit dengan konteks seksual.
Ini termasuklah rogol dan cubaan merogol, pencabulan (molestation),
penyakit intai, exhibitionism dan sumbang mahram.
Menurut
Crosson-Tower (2002) pula, penderaan seksual yang membabitkan penggunaan
kanak-kanak adalah untuk kepuasan individu. Penderaan seksual terhadap
kanak-kanak merujuk kepada segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai
tujuan memenuhi nafsu seks orang dewasa melalui pornografi, gambar,
perakam suara, filem, perakam video atau mengeksploitasi bahagian sulit
kanak-kanak.
Penderaan seksual membabitkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya, dirogol dan dipaksa melacur.
Akta
Perlindungan Kanak-kanak 1991 mentakrifkan bahawa seseorang yang
terbabit dalam kes penderaan seksual kanak-kanak adalah apabila dia
mengambil bahagian sama ada sebagai peserta atau pemerhati dalam apa-apa
aktiviti yang bersifat seks bagi maksud apa-apa bahan, fotograf,
rakaman, filem, pita video atau persembahan yang bersifat pornografi,
lucah atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu
seks orang itu.
Kronologi kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak menunjukkan kes penderaan seksual perlu diberi perhatian serius.
Mangsa
bukan hanya didera secara seksual, malah mereka juga dibunuh dengan
kejam. Pembunuhan dilakukan oleh pendera bagi menutup perbuatan mereka.
Terdapat
pelbagai faktor yang boleh dikaitkan dengan terjadinya kes seperti ini.
Penderaan seksual kanak-kanak berlaku apabila terdapat segelintir
golongan dewasa yang tidak bertanggungjawab menyeksa kanak-kanak secara
seksual tanpa belas kasihan. Kes penderaan kanak-kanak seperti ini
semakin berleluasa di Malaysia.
Sejak akhir-akhir ini, kita
sering terbaca tajuk utama di dada akhbar tempatan mengenai kes
penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Kes penderaan seksual terhadap
kanak-kanak semakin membimbangkan kerana kes ini menunjukkan peningkatan
dari setahun ke setahun.
Akibat perkembangan teknologi moden dan
media terkini seperti televisyen, CD, video, sistem audio dan Internet
mempunyai kesan yang besar terhadap masyarakat dan ia menjadi salah satu
penyumbang terhadap faktor gangguan seks terhadap kanak-kanak.
Di
Malaysia, berdasarkan data daripada Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia (2008), pengguna Internet di rumah saja sudahpun mencapai
lebih 2.5 juta pengguna. Di samping itu, kecanggihan alat komunikasi
seperti telefon yang memiliki kamera juga menjadi salah satu penyebab
ketagihan seks boleh berlaku dan kebanyakan mangsa terhadap ketagihan
ini adalah golongan kanak-kanak.
Antara faktor yang menyebabkan
berlakunya kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak ialah terdapat
segelintir masyarakat yang kurang didikan agama. Masyarakat yang kurang
didikan agama akan kerap melakukan perkara yang zalim dan keji di sisi
agama.
Selain itu, kegagalan mengawal nafsu seks oleh orang dewasa mengakibatkan kanak-kanak menjadi mangsa melepaskan nafsu mereka.
Menurut
Abdullah (1990), yang menyatakan peminggiran terhadap pendidikan agama
menyebabkan ibu bapa hilang panduan dalam mengurus keluarga.
Faktor
ayah tiri yang menganggap kanak-kanak sebagai stimulasi seksual juga
menjadi penyumbang terhadap kes seperti ini. Selain itu, masalah
ketagihan dadah dan arak menjadikan golongan dewasa bertindak di luar
batasan kemanusiaan.
Pengaruh kisah silam seseorang yang pernah
mengalami penderaan seksual yang menyebabkan mindanya telah meninggalkan
kenangan silam yang tidak baik, maka kanak-kanak lain pula menjadi
mangsa mereka yang ingin mengulangi perkara itu.
Selain itu,
dalam sesetengah kes kanak-kanak menjadi mangsa penderaan seksual di
dalam keluarga seperti sumbang mahram atau bagi upacara ritual tertentu.
Faktor lain yang perlu diberi perhatian mengenai penderaan seksual
adalah umur pelaku, bentuk perlakuan atau kejadian, sama ada mangsa
mengizinkan perlakuan itu, umur mangsa, jantina dan hubungan mangsa
dengan pelaku dan akibat perlakuan itu atau kejadian terhadap
kanak-kanak berkenaan.
Beberapa ahli psikologi berpendapat,
bentuk penderaan ini akan membawa implikasi buruk kepada perkembangan
emosi seseorang kanak-kanak. Mangsa juga akan berasa kemerosotan dalam
harga diri, reaksi emosi seperti marah, rasa bersalah, sedih atau tiada
sebarang perasaan, kemurungan, masalah cemas, rasa terpinggir, rasa
tidak selesa untuk rawatan perubatan, gangguan fizikal dan banyak lagi.
Penderaan
serta gangguan seksual juga menyebabkan kesan trauma kepada
perkembangan kanak-kanak. Dapatan kajian menunjukkan, kanak-kanak mangsa
dera tidak mempunyai rakan yang ramai, kurang bercita-cita dan rendah
penghargaan kendiri dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak mengalami
penderaan yang sama umur, jantina, kumpulan etnik, sekolah dan kelas
sosial.
Masalah penderaan seksual terhadap kanak-kanak haruslah
dibendung kerana gejala seumpama ini akan meruntuhkan institusi sesebuah
masyarakat. Pelbagai langkah yang perlu diambil seperti mengadakan
pelbagai kempen kesedaran pentingnya institusi kekeluargaan.
Kempen
seperti ini penting bagi golongan yang sudah berkeluarga mahupun yang
belum berkeluarga. Kempen seperti ini akan mengajar ibu bapa betapa
pentingnya anak-anak kepada mereka kerana anak-anaklah yang akan menjaga
kita pada hari tua. Kempen ini juga penting kepada masyarakat supaya
penderaan seksual terhadap kanak-kanak tidak terus meningkat.
Program
seperti ini penting kepada sesebuah negara kerana perancangan seperti
ini mampu membuka mata rakyat sedunia tentang kesan yang akan berlaku
sekiranya kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak terus meningkat dan
kesan yang ketara adalah pelancong akan berasa negara yang dikunjungi
tidak selamat untuk dikunjungi bersama keluarga.
Pihak yang
berkaitan seperti pertubuhan sukarela dan khidmat masyarakat serta
Kementerian Pendidikan, sekolah dan universiti haruslah memainkan
peranan yang penting. Program keselamatan diri serta mendidik masyarakat
mengenai kesedaran dan kaedah menangani kes penderaan perlu diadakan.
Selain
itu, pihak berwajib juga perlu menyediakan pusat perlindungan untuk
kanak-kanak mendapat perlindungan daripada kes penderaan seksual ini.
Pelbagai kursus juga disediakan seperti kursus praperkahwinan untuk
memberikan kesedaran kepada golongan muda yang bakal mendirikan rumah
tangga.
Mereka akan lebih jelas mengenai cara mengatasi tekanan
serta cara melayan pasangan dengan baik. Hal seperti ini sudah
semestinya akan mengurangkan kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak.
Selain itu, masyarakat haruslah menanamkan nilai murni dalam kehidupan
seharian serta mengamalkan gaya hidup sihat.
Masyarakat juga
haruslah mempunyai kesedaran yang tinggi tentang natijahnya jika
terbabit dengan gejala negatif seperti penderaan seksual terhadap
kanak-kanak ini. Sebaiknya, masyarakat haruslah membabitkan diri dengan
aktiviti yang berfaedah yang dianjurkan oleh pihak tertentu.
Kesimpulannya,
setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama, fahaman, bangsa dan budaya
perlu membantu menangani isu penderaan ini. Isu penderaan seksual
terhadap kanak-kanak adalah perbuatan yang cukup keji terutama di sisi
agama Islam.
Hal ini seolah-olah ingin merosakkan warisan sebuah
negara kerana anak-anaklah yang akan mewarisi negara ini. Anak-anak juga
adalah anugerah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, kita
sebagai ibu bapa haruslah memainkan peranan dalam menjaga amanah Allah
ini. Anak-anak seumpama kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkan
kehidupan mereka sehingga mereka meningkat dewasa.