Kanak-kanak adalah insan yang amat memerlukan perhatian dan kasih
sayang daripada golongan dewasa. Malangnya, terdapat segelintir golongan
dewasa yang cetek akal yang memperlakukan kanak-kanak sebagai alat
untuk melepaskan nafsu.
Tindakan yang tidak bermoral ini akan mendatangkan banyak kesan
negatif terhadap diri kanak-kanak itu sendiri dan jika tidak dibendung,
ia dikhuatiri akan terus mengancam keselamatan golongan harapan negara
ini. Trend terkini penderaan seksual menunjukkan mangsa bukan hanya
didera secara seksual, bahkan mereka juga dibunuh dengan kejam
Pembunuhan dilakukan oleh pendera bagi menutup perbuatan mereka. Pada
2004 menyaksikan kes kekejaman ini. Pada 17 Januari 2004, mangsa, Nurul
Huda Ghani berumur 10 tahun dibunuh selepas dipercayai dirogol secara
bergilir-gilir oleh tiga lelaki di Gelang Patah, Johor.
Seterusnya, kes adik Siti Syazwani Ahmad Dusuki dari Sungai Petani, Kedah yang dirogol dan dibunuh. Mayat mangsa ditemui di dalam parit sedalam dua meter dengan seluruh badannya sudah dipenuhi serangga.
Seterusnya, kes adik Siti Syazwani Ahmad Dusuki dari Sungai Petani, Kedah yang dirogol dan dibunuh. Mayat mangsa ditemui di dalam parit sedalam dua meter dengan seluruh badannya sudah dipenuhi serangga.
Menurut Pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Dr Mariani Mohd Nor, gangguan seksual kanak-kanak didefinisikan sebagai satu perlakuan individu iaitu pemangsa memaksa atau cuba mempengaruhi serta mengugut mangsa sama ada melakukan hubungan seksual atau gangguan seksual dengan pelbagai cara termasuk memasukkan objek ke dalam mulut, tubuh, dubur dan kesakitan fizikal.
Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, dalam tempoh 2007 hingga 2008, kes penderaan kanak-kanak meningkat sehingga 21 peratus atau 501 kes daripada 2,279 (2007) kepada 2,780 (2008) dengan 56 peratus daripada keseluruhan 2,780 kes berlaku di kawasan padat di Lembah Klang, meliputi 949 kes di Selangor dan 595 di Wilayah Persekutuan.
Daripada jumlah itu, gangguan seksual mencatat bilangan tertinggi dengan 863 kes dan 95 peratus daripada mangsa adalah kanak-kanak perempuan. Penderaan seksual yang berlaku terdiri daripada dua kategori hubungan iaitu melalui hubungan tanpa membabitkan fizikal dan hubungan dalam bentuk fizikal.
Namun penderaan seksual yang dilakukan tanpa kontak fizikal sukar dibuktikan kerana ia tidak meninggalkan kesan yang nyata pada tubuh badan melainkan kesan emosi dan mental yang berkekalan (Ann Wan Seng & Khadijah, 1997).
Kebiasaannya, penderaan seksual kanak-kanak yang berlaku merujuk kepada aktiviti seksual yang tidak dikehendaki dan dipersetujui.
Penderaan seksual berlaku sama ada melalui sentuhan sehinggalah membabitkan hubungan seksual. Disamping itu, penderaan seksual juga berlaku secara lisan, visual, audio atau sebarang cara yang memaksa mangsa untuk terbabit dengan konteks seksual. Ini termasuklah rogol dan cubaan merogol, pencabulan (molestation), penyakit intai, exhibitionism dan sumbang mahram.
Menurut Crosson-Tower (2002) pula, penderaan seksual yang membabitkan penggunaan kanak-kanak adalah untuk kepuasan individu. Penderaan seksual terhadap kanak-kanak merujuk kepada segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan memenuhi nafsu seks orang dewasa melalui pornografi, gambar, perakam suara, filem, perakam video atau mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak.
Penderaan seksual membabitkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya, dirogol dan dipaksa melacur.
Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 mentakrifkan bahawa seseorang yang terbabit dalam kes penderaan seksual kanak-kanak adalah apabila dia mengambil bahagian sama ada sebagai peserta atau pemerhati dalam apa-apa aktiviti yang bersifat seks bagi maksud apa-apa bahan, fotograf, rakaman, filem, pita video atau persembahan yang bersifat pornografi, lucah atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu.
Kronologi kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak menunjukkan kes penderaan seksual perlu diberi perhatian serius.
Mangsa bukan hanya didera secara seksual, malah mereka juga dibunuh dengan kejam. Pembunuhan dilakukan oleh pendera bagi menutup perbuatan mereka.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh dikaitkan dengan terjadinya kes seperti ini. Penderaan seksual kanak-kanak berlaku apabila terdapat segelintir golongan dewasa yang tidak bertanggungjawab menyeksa kanak-kanak secara seksual tanpa belas kasihan. Kes penderaan kanak-kanak seperti ini semakin berleluasa di Malaysia.
Sejak akhir-akhir ini, kita sering terbaca tajuk utama di dada akhbar tempatan mengenai kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan kerana kes ini menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun.
Akibat perkembangan teknologi moden dan media terkini seperti televisyen, CD, video, sistem audio dan Internet mempunyai kesan yang besar terhadap masyarakat dan ia menjadi salah satu penyumbang terhadap faktor gangguan seks terhadap kanak-kanak.
Di Malaysia, berdasarkan data daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (2008), pengguna Internet di rumah saja sudahpun mencapai lebih 2.5 juta pengguna. Di samping itu, kecanggihan alat komunikasi seperti telefon yang memiliki kamera juga menjadi salah satu penyebab ketagihan seks boleh berlaku dan kebanyakan mangsa terhadap ketagihan ini adalah golongan kanak-kanak.
Antara faktor yang menyebabkan berlakunya kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak ialah terdapat segelintir masyarakat yang kurang didikan agama. Masyarakat yang kurang didikan agama akan kerap melakukan perkara yang zalim dan keji di sisi agama.
Selain itu, kegagalan mengawal nafsu seks oleh orang dewasa mengakibatkan kanak-kanak menjadi mangsa melepaskan nafsu mereka.
Menurut Abdullah (1990), yang menyatakan peminggiran terhadap pendidikan agama menyebabkan ibu bapa hilang panduan dalam mengurus keluarga.
Faktor ayah tiri yang menganggap kanak-kanak sebagai stimulasi seksual juga menjadi penyumbang terhadap kes seperti ini. Selain itu, masalah ketagihan dadah dan arak menjadikan golongan dewasa bertindak di luar batasan kemanusiaan.
Pengaruh kisah silam seseorang yang pernah mengalami penderaan seksual yang menyebabkan mindanya telah meninggalkan kenangan silam yang tidak baik, maka kanak-kanak lain pula menjadi mangsa mereka yang ingin mengulangi perkara itu.
Selain itu, dalam sesetengah kes kanak-kanak menjadi mangsa penderaan seksual di dalam keluarga seperti sumbang mahram atau bagi upacara ritual tertentu. Faktor lain yang perlu diberi perhatian mengenai penderaan seksual adalah umur pelaku, bentuk perlakuan atau kejadian, sama ada mangsa mengizinkan perlakuan itu, umur mangsa, jantina dan hubungan mangsa dengan pelaku dan akibat perlakuan itu atau kejadian terhadap kanak-kanak berkenaan.
Beberapa ahli psikologi berpendapat, bentuk penderaan ini akan membawa implikasi buruk kepada perkembangan emosi seseorang kanak-kanak. Mangsa juga akan berasa kemerosotan dalam harga diri, reaksi emosi seperti marah, rasa bersalah, sedih atau tiada sebarang perasaan, kemurungan, masalah cemas, rasa terpinggir, rasa tidak selesa untuk rawatan perubatan, gangguan fizikal dan banyak lagi.
Penderaan serta gangguan seksual juga menyebabkan kesan trauma kepada perkembangan kanak-kanak. Dapatan kajian menunjukkan, kanak-kanak mangsa dera tidak mempunyai rakan yang ramai, kurang bercita-cita dan rendah penghargaan kendiri dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak mengalami penderaan yang sama umur, jantina, kumpulan etnik, sekolah dan kelas sosial.
Masalah penderaan seksual terhadap kanak-kanak haruslah dibendung kerana gejala seumpama ini akan meruntuhkan institusi sesebuah masyarakat. Pelbagai langkah yang perlu diambil seperti mengadakan pelbagai kempen kesedaran pentingnya institusi kekeluargaan.
Kempen seperti ini penting bagi golongan yang sudah berkeluarga mahupun yang belum berkeluarga. Kempen seperti ini akan mengajar ibu bapa betapa pentingnya anak-anak kepada mereka kerana anak-anaklah yang akan menjaga kita pada hari tua. Kempen ini juga penting kepada masyarakat supaya penderaan seksual terhadap kanak-kanak tidak terus meningkat.
Program seperti ini penting kepada sesebuah negara kerana perancangan seperti ini mampu membuka mata rakyat sedunia tentang kesan yang akan berlaku sekiranya kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak terus meningkat dan kesan yang ketara adalah pelancong akan berasa negara yang dikunjungi tidak selamat untuk dikunjungi bersama keluarga.
Pihak yang berkaitan seperti pertubuhan sukarela dan khidmat masyarakat serta Kementerian Pendidikan, sekolah dan universiti haruslah memainkan peranan yang penting. Program keselamatan diri serta mendidik masyarakat mengenai kesedaran dan kaedah menangani kes penderaan perlu diadakan.
Selain itu, pihak berwajib juga perlu menyediakan pusat perlindungan untuk kanak-kanak mendapat perlindungan daripada kes penderaan seksual ini. Pelbagai kursus juga disediakan seperti kursus praperkahwinan untuk memberikan kesedaran kepada golongan muda yang bakal mendirikan rumah tangga.
Mereka akan lebih jelas mengenai cara mengatasi tekanan serta cara melayan pasangan dengan baik. Hal seperti ini sudah semestinya akan mengurangkan kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Selain itu, masyarakat haruslah menanamkan nilai murni dalam kehidupan seharian serta mengamalkan gaya hidup sihat.
Masyarakat juga haruslah mempunyai kesedaran yang tinggi tentang natijahnya jika terbabit dengan gejala negatif seperti penderaan seksual terhadap kanak-kanak ini. Sebaiknya, masyarakat haruslah membabitkan diri dengan aktiviti yang berfaedah yang dianjurkan oleh pihak tertentu.
Kesimpulannya, setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama, fahaman, bangsa dan budaya perlu membantu menangani isu penderaan ini. Isu penderaan seksual terhadap kanak-kanak adalah perbuatan yang cukup keji terutama di sisi agama Islam.
Hal ini seolah-olah ingin merosakkan warisan sebuah negara kerana anak-anaklah yang akan mewarisi negara ini. Anak-anak juga adalah anugerah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, kita sebagai ibu bapa haruslah memainkan peranan dalam menjaga amanah Allah ini. Anak-anak seumpama kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan mereka sehingga mereka meningkat dewasa.
No comments:
Post a Comment