Konsep al Fallah menurut islam
Al – Quran menjelaskan bahawa hidup manusia akan bersambung ke alam
akhirat dan kesejahteraan manusia yang hakiki pula ialah keadaan yang
memenuhi dua syarat ; ia mestilah memenuhi tuntutan – tuntutan kesatuan
rohani – jasmani di dunia dan sekaligus mengakibatkan ke bahagian di
akhirat. Ini bererti bahawa Islam mengenakan kaedah yang sama – bukan
kaedah yang berbeza – untuk mencapai hasanah fi’d –dunya (kebaikan di
dunia) dan seterusnya hasanah fi’l – akhirah (kebaikan di akhirat)
Konsep ini berbeza sekali dengan sebarang anggapan bahawa kesejahteraan
manusia di dunia tunduk kepada peraturan – peraturan dunia yang lahir
dari pengalaman dan kebijaksanaan manusia manakala kesejahteraan manusia
di di akhirat tunduk kepada tuntutan-tuntutan rohani yang dipisahkan
daripada tuntutan-tuntutan jasmani. Anggapan ini pada dasarnya, menolak
kesepaduan dan kesatuan nilai – nilai moral– rohani dan nilai – nilai
kebendaan. Dalam pemikiran tentang pembangunan atau modenisasi, anggapan
ini membuka jalan seluas-luasnya kepada proses sekularasi yang
bercanggah dengan konsep dan kaedah kesatuan rohani – jasmani dan kesatuan nilai-nilai duniawi dan ukhrawi.
Keadaan yang memenuhi tuntutan-tuntutan kesatuan rohani dan jasmani di
dunia dan sekaligus mengakibatkan kebahagian di akhirat di dalam Al –
Quran disebut sebagai Al – Falah. Ia membawa erti kepada kejayaan,
keuntungan, kesejahteraan dan kemakmuran. Menurut pengarang kamus Arabic
– English Lexicon yang terkenal, iaitu Stanley Lane, ‘ Tidak ada satu
perkataan dalam bahasa orang Arab yang merangkumi pengertian tentang apa
yang baik dalam kehidupan dunia dan kehidupan akhirat daripada al –
Falah. Untuk menjelaskan nilai al – Falah ini, di bawah ini diberikan
maksud sebahagian daripada ayat – ayat Al – Quran yang menunjukkan
keluasan ruang lingkup nilai tersebut.
1. “ Maka berikanlah kepada kerabat yang terdekat akan haknya, demikian
(pula) kepada fakir dan miskin dan orang – orang yang dalam perjalanan.
Itulah lebih baik bagi orang – orang yang mencari keredhaan Allah dan
mereka orang – orang yang mendapat kejayaan dan kesejahteraan “.
(surah Ar – Rum : 38)
2.. “ Apabila selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan
carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak – banyak supaya kamu
beroleh kejayaan dan kesejahteraan. “ (Surah Al – Jumu’ ah : 10)
Syarat – syarat utama untuk mencapai nilai al – falah berasaskan kepada
ayat –ayat di atas dan beberapa ayat lain di dalam Al-Quran ialah :
i. Iman kepada Allahlah yang membuahkan perbuatan yang bermanfaat kepada diri dan masyarakat.
ii. Taqwa kepada Allah, iaitu sikap sentiasa mentaati suruhan – suruhan Allah dan berwaspada terhadap setiap larangannya.
iii. Menunaikan kewajipan Allah dan kepada sesama manusia.
iv. Menjaga diri daripada menghabiskan masa dengan sia – sia.
v. Menjauhkan diri dari perbuatan – perbuatan yang diharamkan oleh
Allah, seperti minum minuman yang memabukkan, berjudi makan riba dan
menaruh kepercayaan kepada selain daripada Allah.
vi. Membersihkan hati nurani dan mendisplinkan diri daripada diganggu oleh nafsu syahwat.
vii. Bekerja untuk mencari rezeki tanpa melupai Allah.
viii. Mengorbankan harta benda dan masa pada jalan Allah.
i. Setiap insan mesti mengakui bahawa ia adalah seorang hamba Allah SWT.
Allah menjadikan kita supaya kita dapat beribadat padaNya. Kita sebagai
seorang Islam sepatutnya kuat mengerjakan amal ibadah, mengerjakan yang
baik dan menjauhi yang mungkar agar kita tergolong di kalangan orang –
orang beriman dan bertaqwa. Sebagai orang Islam kita mempunyai
tanggungjawab yang besar iaitu menegakkan Islam sebagai cara hidup. Kita
perlu menegakkan Islam sebagai cara hidup berkeluarga dan
bermasyarakat. Kita boleh berjuang atau berjihad “fiisabilillah” dengan
berbagai cara. Sekurang – kurangnya kita berdakwah kepada orang
sekeliling kita seperti ahli keluarga kita, rakan – rakan dan
masyarakat.
ii. Kita sebagai umat Islam hendaklah mentaati segala suruhan Allah SWT.
Iaitu dengan berpegang kepada agama Allah. Oleh itu kita sebagai orang
Islam hendaklah memahami ajaran Islam yang telah dibawa dan telah
disebar oleh Rasulullah menerusi Al – Quran dan sunnah Rasulullah. Kita
mesti faham dan menghayati dan mengamalkan segala ajaran dengan
keikhlasan hati agar segala amalan dan perbuatan kita mendapat keredhaa
Allah. Kita hendaklah meninggal segala larangan yang diperintah oleh
Allah agar kita menjadi hamba yang taat kepadaNya.
iii. Kita sebagai hamba hendaklah menunaikan kewajipan sebagai umat
Islam seperti sembahyang. Sembahyang merupakan rukun Islam yang paling
utama selepas syahadah. Ia diibaratkan sebagai tiang agama Tanpanya
runtuh agama. Kita juga hendaklah menunaikan zakat. Seorang mukmin yang
berjaya hendaklah menunaikan zakat agar dapat membantu masyarakat Islam.
Oleh itu ia dapat membebaskan diri daripada sikap mementingkan diri
sendiri. Kita sebaga orang Islam hendaklah menunaikan janji. Bak kata
pepatah Melayu “kerbau dipegang pada talinya, manusia berpegang pada
janjinya. Maka jika kita hendak berjaya kita hendaklah berpegang pada
janji.
iv. Apabila mempunyai masa lapang kita perlu menggunakan dengan baik
seperti beribadat kepada Allah. Kita boleh membaca Al – Quran.
sembahyang sunat, atau apa saja yang boleh mendapat keredhaan dari
Allah. Kita perlu menjauhi perkara seperti mengumpat, memfitnah, menipu
dan merosakkan kemudahan awam. Orang yang beriman pastinya tidak
mempunyai masa untuk melakukan perkara yang tidak berfeadah kerana
perkara tersebut tidak akan memberi apa – apa feadah untuk kejayaan di
dunia mahupun di akhirat.
v. Untuk mencapai kejayaan di dunia kita perlu menjauhi dari perbuatan –
perbuatan seperti menzalimi anak yatim, minum arak, berjudi dan
mempercayai sesuatu selain Allah SWT. Banyak hadis yang menjelaskan
tentang kebaikan memelihara anak – anak yatim seperti :
Barang siapa yang menanggung anak yatim Islam di rumahnya yakni ia
diberi makan dan minum (sama dengan makan dan minumnya), maka Allah akan
masukkannya dalam syurga, kecuali jika ia melakukan dosa yang tidak
dapat diampuni. (H. R Tarmizi, 300 hadis Drs. Moh Rafai 1973).
vi. Syaitan merupakan musuh utama. Selagi ada hayat dikandung badan dan
an selama iman masih bertakhta di dada selama itu ia tetap merasuk.
Iblis, ketua segala syaitan telah bersumpah sebagaimana di ceritakan
oleh Allah di dalam Firman-Nya : Demi kemulian-Mu (Allah) akan aku
perdaya mereka (anak Adam) semuanya kecuali para hamba – Mu yang ikhlas
dikalangan mereka. (Surah Shaad 38:82, 83)
Oleh kerana sumpah bapa segala syaitan ini, maka mukmin hendaklah
berwaspada terhadap syaitan dari musuh – musuh yang lain sebab syaitan
musuh yang bukan yang paling bahaya. Firman Allah SWT : “ Sesungguhnya
syaitan itu musuh bagi kamu maka anggaplah ia benar – benar musuh.
Sesungguhnya sekutu – kutunya menyeru supaya mereka dan kamu menjadi
ahli neraka “. (Surah Fathir 35:6). Selain syaitan untuk membersihkan
hati nurani kita hendaklah menjauhi daripada kebejatan dan keliaran
nafsu yang tertanam di dalam diri sendiri. Orang yang tewas di medan
pertempuran dengan nafsu sendiri tidak akan berjaya di dalam medan yang
lain sebagaimana ditegaskan firman Allah SWT. yang bermaksud : ”Adapun
orang yang yang takut akan Makam Tuhannya dan mencegah dirinya dari
menurut nafsu, maka syurgalah tempat kembalinya “. (Surah An –Nazi ‘:
79:40:41). Jadi orang yang mendisiplinkan diri hendaklah memenangkan
dirinya dalam peperangan dengan nafsu.
vi. Kita perlu menilai kita yang memberi kita rezeki untuk menampung
keperluan diri, dan lain – lain. Kita perlu tentukan bahawa sumber
rezeki dari hasil yang halal. Apayang penting dalam pekerjaan kita
adalah untuk mendapat keredhaan Allah iatu kerja yang bermanfaat dan
bukan kerja yang bersubahat dengan kemungkaran. Jauhkan riba, rasuah.
perjudian dan lain – lain hasil haram. Makan dan memberi makan keluarga
dengan hasil atau rezeki yang haram makan menumbuhkan tubuh, darah dan
daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Tentang rezeki yang
diberikan oleh Allah, kita mesti ingat bahawa hanya sebahagian
daripadanya adalah untuk menampung kehidupan kita dan keluarga dari segi
makanan, pakaian dan tempat berteduh, dan sebahagiannya kita perlu
simpan untuk masa hadapan, untuk perlindungan kita serta keluarga.
sebahagian lain untuk keperluan modal bagi perusahaan pertanian atau
perindustrian manakala sebahagian yang lain lagi bagi menanggung dan
menolong orang – orang yang sakit, fakir miskin anak – anak yatim, orang
– orang yang memerlukan bantuan akibat menanggung hutang. kita perlu
membantu mereka yang berjuang untuk menegakkan Islam, iaitu untuk
berjihad “ fiisabilillah”. Melaksanakan tanggungjawab untuk berzakat dan
bersedekah adalah penting dalam Islam. Kita mesti agihkan serta
menguruskan kewangan kita dengan bijak supaya mendapat keredhaan Allah.
vii. Apabila berjaya dalam pekerjaan dan kehidupan kita hendaklah
mengorbankan segala harta pada jalan Allah. Dengan harta yang banyak
kita boleh menolong orang yang memerlukan pertolongan. Ini dapat
mendidik diri kita menjadi orang yang bertaqwa dan beriman kepada Allah
SWT.
Dalam ayat Al – Quran menunjukkan bahawa perbuatan – perbuatan zalim,
kufur nikmat, mermpersekutukan kuasa – kuasa lain dengan kuasa Allah
(syirik) takabbur, melanggar perintah – perintah Allah, tidak percaya
kepada kekuasaan Allah, memilih jalan yang disukai oleh syaitan,
melakukan segala macam kerosakan di darat, laut, dan udara dan lupa
kepada Allah – semua perbuatan ini tidak akan membawa kepada Al-Falah.
Sebaliknya ia akan membawa kepada khusran (kerugian yang hakiki). (Lihat
surah al-Baqarah : 64; al-An’am : 21, 21 ; Yunus : 17 ; al – Mu ‘minum :
117).
Nilai al-Falah yang lebih banyak menekankan perlakuan moral manusia ini
tidak menafikan sama sekali kepentingan keperluan – keperluan manusia
dalam aspek kebendaan. Ajaran Islam yang terkandung di dalam Al – Quran,
hadis, dan riwayat hidup sahabat – sahabat Nabi Muhammad SAW memberi
tempat yang wajar kepada keperluan – keperluan asas yang bersifat
kebendaan dan fizikal. Tetapi Islam tidak menjadikan keperluan –
keperluan itu sebagai tujuan terakhir bagi perlakuan perseorangan dan
kolektif. Dari perspektif sistem nilai Islam adalah sangat keliru bila
orang memperkatakan tentang kesejahteraan dan mutu hidup hanya merujuk
kepada faktor – faktor pendapatan percapita, peralatan dalam rumah dan
lain – lain. Islam mengakui perkara-perkara tersebut mustahak, tetapi ia
tidak memisahkannya daripada persoalan – persoalan moral – kerohanian
yng ditimbulkan oleh manusia.
Dari perspektif Islam, pengabdian nilai – nilai moral – rohani yang
tertentu dalam persoalan – persoalan ekonomi atau politik akan
mengundang akibat – akibat yang buruk dalam kehidupan manusia baik
secara individu atau masyarakat kerana perbuatan itu bertentangan dengan
ketentuan – ketentuan Ilahi (sunnahtullah) yang mengatur kehidupan
manusia dalam semua keadaan. (Lihat pada surah al –Ahzab (33) : 62 ;
Fathir (35) : Al-Falah (48) : 23). Perspektif Islam dalam hal ini hampir
sama dengan pandangan Professor Jeffreys dalam bukunya Personel Values
in the Modern World yang berbunyi :
“Our World is full of contradiction. If your problems were technical
problems, there would be some reason for believing the millienun to are
fundamentally moral problems – and moral problems of which we can for
the most part see no clear solution – that life in this age is so
puzzling. Material standards of living were never worse. Housing,
however imperfect, has never been better ; yet for many people the home
has never meant less. We have unprecedented control over our material
environment, and at the same time unprecedentedanxiety about the
possiblitty of rationally governing human behaviour. ”
Menurut Islam, hidup manusia di dunia ialah satu masa ujian daripada
Allah. Maka Allah telah menetapkan formula yang tertentu untuk mencapai
Al – Falah dan mengelakkan daripada al-Khusran dalam kehidupan, di dunia
dan di akhirat. Formula itu secara ringkas ialah integrasi – integrasi
nilai – nilai iman, taqwa, amal salih, bersyukur, ibadah, dan
meninggalkan segala larangan Allah. Di dalam Al – Quran terdapat banyak
sekali ayat – ayat yang menunjukkan kesan – kesan positif dari keredhaan
Allah (ridwan Allah) dan kesan – kesan negatif dari kemurkaan Allah
(ghadab Allah) di dalam kehidupan dunia. Esensi daripada peranan Allah
itu dilihat daripada tiga ayat yang bermaksud seperti berikut :
1) “ Jikalau sekiranya penduduk kota – kota itu beriman dan bertaqwa,
pastilah Kami akanlimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan
bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat – ayat Kami) itu, maka Kami seksa
mereka kerana apa yang telah lakukan. ” (Al-A’raf) (7) : 96)
2) “ Dan (ingatilah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan : ‘Sesungguhnya
jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika
kamu mengingkari (nikmat – mu), maka sesungguhnya azab – Ku sangat
pedih. ” (Ibrahim (14) : 7)
3) “ Dan barang siapa berpaling dari peringatan –mu maka sesungguhnya
baginya penghidupan yang sempit (menyulitkan), dan Kami akan
menghimpunkan pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Taha (20) : 124)
Maka untuk mendapat keredhaan Allah, marilah kita mengamalkan konsep
al-Falah dalam kehidupan seharian agar matlamat dan visi kita tercapai.
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA
H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com
No comments:
Post a Comment