SUMBER SH
PELAJAR suka pada guru yang mudah tersenyum. Lebih
menyenangkan lagi jika senyuman guru itu diselangi dengan sapaan 'Awak
apa khabar?'; 'Sakit perut dah ok?'; 'Kalau ada masalah, boleh datang
jumpa cikgu'; 'Mak ayah sihat ke? Lama cikgu tak jumpa diorang'.
Guru yang sering bertanya khabar dan suka berbual-bual dengan pelajar
dikatakan menjadi kesayangan murid dan pelajar. Ia akan menjadi 'guru
favourite' sekiranya guru itu tepati masa, komited dengan tugas,
kecindan (suka berjenaka), kurang membebel, ajar sampai faham, ambil
berat dan sebagainya.
Pakar Motivasi, Jumat Mat Salleh berkata, bukan mudah untuk memenangi
hati pelajar dan bukan sesuatu yang sukar untuk membuatkan mereka suka
pada kita.
"Saya melihat, seorang guru itu bukan sahaja perlu mempersiapkan diri
dari segi faktor luaran seperti penampilan diri, berkelakuan sopan dan
menjaga tingkah laku sahaja, sebaliknya guru juga perlu mempelajari
pedagogi alaf baru yang sesuai dengan keperluan pelajar masa kini,"
katanya.
Merupakan Pengarah Eksekutif Richmind Legacy Sdn Bhd, Jumat atau lebih
dikenali Cikgu Jumat berkata, warga guru perlu 'buang' beberapa sikap
yang menyebabkan mereka tidak disukai pelajar.
"Kikis sikap 'moody' anda, jangan membebel, suka merajuk, malas
mengajar, penting diri, selekeh, tak masuk kelas dan macam-macam ciri
buruk lain. Jika anda masih kekalkan sikap sebegini, pelajar tidak dapat
rasai keseronokan belajar dalam kelas," jelasnya.
Cikgu Jumat berkongsi lima tip untuk menjadi guru disukai pelajar di sekolah...
Tip 1 : Kenal pasti jenis pelajar
Sebagai seorang guru, kita seharusnya mengenal pasti jenis pelajar yang
terdapat dalam kelas kita. Kita perlu mengenali mereka agar mudah
merancang pedagogi pengajaran dalam kelas. Di samping itu, ia membantu
guru untuk lebih dekat dan memahami tingkah laku pelajar dalam kelas.
Bagaimana caranya?
Saya kongsikan anda dengan satu cara yang mudah untuk mengenal jenis pelajar menggunakan ‘Personaliti VAK’.
Bagaimana yang dimaksudkan dengan personaliti VAK? Seorang guru tidak
perlu meminta pelajar untuk mengisi borang ujian personaliti, cuma
melalui pemerhatian anda dalam kelas sahaja.
(V) merupakan kategori pelajar VISUAL
(A) merupakan kategori pelajar AUDITORI
(K) merupakan kategori pelajar KINESTETIK
Pelajar kategori VISUAL (V) ini adalah pelajar yang mudah tertarik
dengan perkara yang mampu dilihat misalnya bergambar, berwarna dan
paparan video. Ciri-ciri pelajar ini seperti memakai pakaian dengan
kemas, selalu ingin kelihatan cantik, sering menggunakan perkataan “Saya
Nampak, Saya Tengok, Saya Perhati”, dan suka perhatian.
Manakala, pelajar kategori AUDITORI (A) ini adalah pelajar sangat
sensitif dengan bunyi. Lazimnya merupakan pelajar pendiam dan pemalu.
Ciri-ciri pelajar ini seperti seorang yang tak banyak cakap, fokus
ketika cikgu sedang mengajar dan selalu menggunakan perkataan “Saya
dengar”.
Pelajar kategori KINESTETIK (K) pula merupakan pelajar paling aktif
dalam kelas, dan kebiasaannya sukar duduk di satu tempat sahaja.
Ciri-ciri pelajar ini seperti seorang yang suka menggerak-gerakkan kaki,
suka bermain dengan pen dan suka menggunakan perkataan “Saya rasa, saya
suka”.
Setiap pelajar mempunyai ketiga-tiga kategori di atas, namun pasti ada
kategori yang lebih dominan dan mampu anda kenal pasti berdasarkan
ciri-ciri yang saya jelaskan di atas.
Dengan mengenal pasti jenis pelajar, ia memudahkan cikgu untuk tackle
atau menarik minat mereka berdasarkan cara pendekatan sesuai mengikut
jenis pelajar. Pengaruh anda sebagai guru akan lebih terserlah apabila
mampu menarik minat kesemua pelajar itu nanti.
Tip 2 : Guna alat bantu mengajar sesuai
Zaman persekolahan zaman dahulu berbeza dengan masa kini. Zaman dulu,
guru hanya baca buku dan pelajar salin semula apa yang guru baca, dalam
erti kata lain guru tidak menggunakan alat bantu mengajar selain buku
teks.
Namun hari ini, zaman pemodenan telah menghakis minat pelajar untuk
belajar kerana belajar tidak seseronok bermain video games atau menonton
televisyen dan melayari Internet.
Justeru, guru harus berusaha keras mengajar secara kreatif, misalnya
membawa alat bantu mengajar sesuai ketika sesi pembelajaran dalam kelas
bagi menarik minat mereka.
Pada tip pertama tadi saya telah menjelaskan bagaimana mengenal pasti
jenis pelajar anda. Ini akan memudahkan kerja anda sebagai guru dengan
memilih alat bantu mengajar yang sesuai mengikut jenis pelajar
masing-masing.
Pelajar VISUAL (V), alat bantu yang sesuai adalah sesuatu yang boleh
dilihat misalnya kadbod bergambar, tayangan video dan pembelajaran di
luar kelas.
Manakala pelajar AUDITORI (A) lebih tertarik kepada muzik latar yang
boleh dimainkan untuk menarik minat mereka. Namun perlu berhati-hati
kerana pelajar ini tidak suka suasana yang terlalu bising.
Seterusnya, pelajar KINESTETIK (K), pelajar jenis ini sukakan
pergerakan jadi anda kena berikan tugasan kepada mereka agar mereka
sendiri yang selesaikan misalnya minta pelajar lukiskan, lakarkan,
bentuk kumpulan, membuat pembentangan atau membina menara.
Alat-alat bantu ini sangat sesuai untuk meningkatkan pengaruh anda
kerana ia memang menarik minat pelajar untuk mendalami apa yang mereka
belajar. Pedagogi ini sangat sesuai dengan sistem pembelajaran abad
ke-21 (Teacher Centered to Student Centered Learning).
Namun, ini bukan bermakna anda kena buat semua perkara di atas setiap
kali mengajar. Saya cadangkan, sebaik-baiknya sebulan sekali mesti ada
aktiviti yang menarik minat pelajar dengan alat bantuan mengajar tadi.
Tip 3 : Masukkan elemen mengajar yang unik
Pelajar mempunyai satu sifat umum iaitu sukakan perkara yang baru.
Justeru itu, setiap guru haruslah sentiasa cuba membawa benda-benda baru
yang unik dalam sesi pembelajaran.
Saya berikan contoh, mungkin kalau anda ingin mengajar tentang sejarah
Hang Tuah di Melaka, maka mungkin anda boleh berpakaian seperti seorang
pendekar yang lengkap dengan tengkolok ataupun replika keris.
Jika anda hendak mengajar tentang Sains, mungkin anda boleh bawa kiub
ais dalam bekas untuk pelajar rasai, dan perhatikan bagaimana ais
tersebut boleh mencair (Learning Experience).
Dalam erti kata lain, jangan mengajar hanya bergantung kepada satu
sumber sahaja iaitu buku teks, kerana apa yang ada dalam buku teks
adalah sesuatu yang pegun, tak boleh dilihat atau dirasai.
Dengan adanya elemen-elemen unik yang guru masukkan dalam kelas, pasti
akan lebih menarik minat pelajar untuk sentiasa ternanti-nantikan kelas
akan datang kerana mereka akan tertunggu-tunggu keunikan yang bakal anda
bawa. Pada ketika itu, sebenarnya rasa suka pelajar terhadap guru
sudah berada pada tahap yang cukup tinggi.
Jadi guru yang disukai
Variasi sikap guru menjadikan sekolah itu 'cantik', harmoni
Tip 4: Komunikasi Dua Hala
Ilmu komunikasi adalah salah satu elemen penting untuk menjadi guru
yang disukai pelajar. Komunikasi tidak terbatas kepada apa yang kita
tuturkan sahaja, ia termasuklah cara berpakaian, tingkah laku atau
bahasa badan, eye contact, lantunan suara, bahasa isyarat dan kesediaan
kita mendengar.
Sebab itu seorang guru yang mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi
sangat digemari pelajar, kerana mereka selesa berinteraksi dengan guru
tersebut.
Tip 5 : Berhenti saat mereka ingin tahu
Apabila pelajar tidak minat dengan subjek yang mereka belajar, mereka
sering lewat masuk kelas, selalu nak ke tandas dan tidur dalam kelas.
Jadi, jika anda mahu mereka sentiasa datang awal ke kelas, anda perlu
masukkan tip kelima ini. Berhenti saat mereka ingin tahu.
Misalnya lima minit terakhir ketika anda mengajar, masukkan sedikit
previu topik yang anda ingin ajar di kelas akan datang. Jadi, selepas
anda ceritakan sedikit mukadimah yang menarik minat mereka, sila
berhenti saat itu. Katakan kepada mereka, 'kalau nak tahu apa yang
berlaku dan apakah proses seterusnya, datang awal ke kelas akan datang'.
Kaedah ini sangat berkesan untuk melatih pelajar agar terus bersemangat
datang kelas pada awal waktu sebab anda tinggalkan mereka dengan
persoalan. Ini kerana, secara semula jadinya pelajar mempunyai sifat
ingin tahu yang sangat tinggi.
Konklusinya, seorang guru yang komited dalam melaksanakan tanggungjawab
mendidik anak bangsa pasti berusaha agar disukai pelajar. Ia bukanlah
untuk meraih populariti mahupun didorong oleh dasar lain, melainkan
hendak melihat generasi ini menjadi insan cerdik pandai dan bersahsiah
murni.
'Cikgu jangan garang'
Sisipan GPSBestari.com berpeluang menemu bual pelajar tingkatan 6 dari
Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Selangor, Muhammad
Syukri Abdullah, 18, mengenai topik kali ini.
Muhammad Syukri berkata, guru-guru Malaysia perlu sporting dan bijak mengendalikan kelas ketika pembelajaran berlangsung.
"Kalau cikgu bijak kawal kelas, student nak belajar pun semangat. Ini
tidak...asyik-asyik masuk kelas nak marah, denda itu, denda ini,
boringlah.
"Lagi satu, penampilan seorang guru juga penting. Bila tengok baju
cikgu cantik, beg tangan dan kasut pun cantik...barulah sedap mata
memandang. Belajar best, pelajar pun senang hati," ujarnya.
Untuk bakal guru, Muhammad Syukri mengharapkan mereka membuat persediaan terlebih dahulu sebelum memulakan sesi pembelajaran.
"Ada juga cikgu yang masuk kelas, minta student buka buku teks, lepas
itu salin apa yang cikgu cakap. Cara ini dah ketinggalan zaman dan agak
membosankan. Saya rasa cikgu dan bakal cikgu kena kreatif dan cari
'sesuatu' untuk ceriakan kelas. Barulah best," katanya yang cukup
mengagumi Cikgu Nor Hidayah Lukman yang dianggap guru sporting, kelakar
dan terbaik pernah ditemui.
Sementara itu, Cikgu Nor Hidayah ketika ditemui berkata, dia memang
seorang guru yang suka buat lawak. Lawaknya bukan lawak 'bodoh' tetapi
lawak yang ada isi.
"Pelajar sekarang dah lain. Mereka dah semakin bijak dalam segala
aspek. Sebab itu setiap guru perlu selalu berinovasi dan kreatif dalam
menarik minat pelajar untuk belajar.
"Jika cikgu blur, jangan malu untuk tuntut ilmu dengan yang senior.
Sedia untuk terima teguran dan bersedia untuk berubah, insya-ALLAH cikgu
itu akan disegani ramai," katanya.
Mengajar subjek Bahasa Melayu, Cikgu Nor Hidayah berkata, memang
pelajar lebih suka dan sayang kepada cikgu yang sporting, baik, peramah
dan mudah senyum. Namun, dalam sesebuah sekolah, karakter seorang guru
perlu pelbagai.
"Dalam satu sekolah, tak boleh semua guru sporting. Kena ada guru
bersifat keibuan, tegas, garang, lemah-lembut dan sebagainya. Variasi
ini tentunya akan menjadikan sebuah sekolah itu 'cantik', cemerlang dan
harmoni," jelasnya.
No comments:
Post a Comment