Pakar sosial yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran menggesa agar badan berwajib yang menjalankan kempen kesedaran HIV dan Aids tidak malu mendedahkan kebenaran.
Menurutnya, dalam konteks penyakit bahaya ini mereka sekadar mendedahkan jangkitan berpunca daripada perkongsian jarum dadah sedangkan faktor utama ialah transmisi seksual sama ada heteroseksual atau homoseksual.
“Dedahkan kepada masyarakat, penyebaran penyakit ini melalui hubungan seks, jika hanya diceritakan secara dasar mereka tidak faham. Paparkan secara terperinci bagaimana hubungan seks rambang dan hubungan sejenis dapat memindahkan virus ini kepada pasangannya. Sebaiknya, kongsi kaedah, langkah pencegahan dan kesan jangkitan ini di media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan medium lain.
“Selari peredaran teknologi, umum maklum golongan muda kurang gemar membaca bahan cetakan seperti risalah, surat khabar, buku yang mendedahkan bahana HIV dan Aids, jadi maklumat itu tidak sampai kepada golongan sasaran,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menyarankan agar kempen kesedaran di media sosial berkongsi maklumat secara visual dengan memaparkan contoh fizikal dan impak masa depan kesan hubungan seks rambang dan homoseksual agar masyarakat mendapat maklumat lengkap dan tepat.
[ARTIKEL BERKAITAN: AIDS, HIV golongan remaja semakin teruk?]
“Apabila melihat sendiri gambar dan bukti fizikal ini akan membuatkan kesedaran meningkat. Memandangkan masyarakat hari ini 24 jam membelek media sosial jadi ia merupakan medium terbaik memberi pendedahan dan kesedaran,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai jalinan hubungan seks sejenis, Mohammad Shatar berkata, berdasarkan situasi biasanya seseorang lelaki hanya percayakan lelaki berdasarkan pengalaman silamnya dengan perempuan.
“Contohnya seorang lelaki pernah dikecewakan oleh seorang perempuan membuatkan dia trauma untuk mengenali perempuan lain. Susulan daripada kekecewaan itu dia mempunyai senarai panjang kriteria pasangan idaman kerana orang begini mencintai dengan penuh komitmen kerana harapannya sebelum ini tidak kesampaian.
“Sampai satu tahap, dia tidak percayakan sesiapa lagi terutamanya perempuan. Jadi hanya lelaki memahami lelaki kerana antara lelaki dan perempuan tidak akan faham sampai kiamat jika tiada toleransi dan tolak ansur. Apabila situasi ini berlaku, individu itu akan lebih selesa bergaul sesama jantina. Keakraban yang terjalin itu sehinggakan beranggapan tiada jurang pemisah antara mereka dan hal ini terjadi kepada sesetengah lelaki dan wanita,” katanya.
Bukan itu sahaja, Mohammad Shatar juga mengupas isu lelaki lembut dan sopan santun yang digelar pondan atau mak nyah. Golongan minoriti ini sering dihakimi masyarakat menyebabkan mereka tersisih dan berada dalam kelompok yang sama.
“Keadaan pengasingan ini tidak sepatutnya wujud, mereka perlukan sokongan dan penerimaan masyarakat. Beri mereka tunjuk ajar dan peluang untuk berubah,”katanya.
No comments:
Post a Comment