sumber : hmetro 13062011
RESAH masyarakat terhadap masalah disiplin pelajar cukup berasas  apatah lagi pelbagai insiden luar jangkaan mampu disumbangkan mereka  meskipun umur hanya setahun jagung. 
  Peningkatan kadar jenayah atau disiplin ini bukan saja membimbangkan  institusi persekolahan malah masyarakat turut keliru serta tercari-cari  apakah mekanisme terbaik boleh diguna pakai bagi menanganinya.
Meskipun banyak lambakan kempen menerusi sesi ceramah dan pameran, ia masih belum ampuh untuk melembutkan hati pelajar.
Akibatnya,  masyarakat tertanya-tanya apakah pendekatan selama ini salah atau  pelajar semakin naik lemak hingga sukar dinasihati lagi.
Masih adakah lagi jalan penyelesaiannya?
Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan  dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd  Yatim, berkata cara didikan pelajar masa kini tidak boleh dilakukan  secara semberono tanpa disuntik elemen tertentu yang boleh ‘mematahkan’  sikap degil pelajar.
Beliau berkata, kemampuan pelajar hari ini  sukar dijangka hingga ada ketikanya mampu mencapai tahap tertinggi  dengan keberanian luar biasa.
“Melihat rentak sebilangan pelajar  hari ini, memang menakutkan kerana mereka sangat ekstrem hingga mampu  melahirkan keberanian tanpa batasan.
“Memang wajar masyarakat melahirkan kebimbangan namun jalan penyelesaian masih ada, jangan mudah berputus asa,” katanya.
Bukan hairan lagi apabila masyarakat menganggap pelajar hari ini terutama  peringkat menengah, penyumbang masalah disiplin.
Biarpun hanya segelintir, mereka yang melanggar disiplin bagaikan memberi persepsi buruk kepada pelajar lain.
Yang  bermasalah pula terus ‘bermaharajalela’ hingga menyebabkan masyarakat  semakin muak untuk membantu sebaliknya membiarkan guru dan sekolah  mengatasinya.
Beliau berkata, meskipun disiplin pelajar menjadi  antara isu hangat, tidak bermakna setiap pihak hanya mampu berdiam diri  atau melepaskannya kepada golongan minoriti.
Pelajar, katanya,  adalah kelompok yang memerlukan bimbingan berterusan selain pendekatan  sesuai untuk menyedarkan tindakan dilakukan adalah salah.
“Kebanyakan  hanya pandai menuding jari atau melepaskan tanggungjawab itu kepada  orang lain tanpa mahu duduk semeja mencari jalan penyelesaian.
“Pada  masa sama, menganggap pelajar bermasalah sudah tiada masa depan dan  terus memberi tekanan hingga menyebabkan nasib pelajar semakin  terumbang-ambing.
“Mencari penyelesaian dengan bertunjangkan  konflik akan memburukkan lagi keadaan dan pelajar melihat pertelingkahan  itu sebagai medium melepaskan diri” katanya.
“Ada kalanya,  masyarakat suka menyalahkan guru dan sekolah kerana tidak bertindak  namun kesalahan itu tidak wajar diletakkan pada bahu golongan terbabit  semata-mata.
“Masyarakat perlu akur, senario pendidikan sekarang  terlalu banyak ‘pantang larang’ hingga menyukarkan segala tugasan yang  ingin dibuat.
“Namun, itu bukan alasan mereka tidak mengambil  tindakan cuma caranya saja tidak bersesuaian dengan jiwa pelajar,”  katanya mengakui guru hari ini perlu belajar cara terbaik untuk menakluk  tentangan pelajar.
“Jika menggunakan pendekatan lama,  sudah  tidak sesuai kerana zaman ini  pelajar lebih bijak mencipta alasan.  Untuk itu, guru perlu ada ilmu psikologi yang hebat bagi menakluki emosi  mereka.
“Kebiasaannya, tindakan atau hukuman diselarikan dengan  pendekatan berbentuk fizikal seperti rotan dan denda namun terlupa  menyentuh emosi sedangkan ia aspek paling mudah untuk menjinakkan  pelajar.
“Pendekatan salah bukan saja tidak menyelesaikan masalah  malah mengundang lebih banyak konflik kedua pihak hingga mampu  mewujudkan jurang selain perasaan tidak puas hati,” katanya.
Beliau  berkata, guru perlu menunjukkan kasih sayang dan perhatian dengan  ikhlas tanpa niat menghukum atau sindiran supaya pelajar rasa lebih  selesa untuk meluahkan perasaan.
Menurutnya, ada guru  hanya tahu  mengajar namun tidak mendidik menyebabkan hasrat menjadikan pelajar  hari ini sebagai generasi berilmu, berdisiplin dan berperibadi mulia  sukar.
“Ini bukan tuduhan namun ada kalanya guru tidak pandai  berdiplomasi dan hanya mengajar berpandukan nota semata-mata sedangkan  matlamat sebenar adalah memberi pendidikan.
“Antara mengajar dan  mendidik memang jauh perbezaannya. Bayangkan jika guru pun boleh terasa  dan melenting jika ditegur, apatah lagi pelajar yang masih muda dan  teraba-raba mencari arah.
“Sebab itu penting guru bermuhasabah  dan mencari pendekatan sesuai sebelum mengenakan hukuman supaya pelajar  memahami apa dilakukan itu bukan disebabkan benci namun peringatan  menjadikan mereka lebih baik,” katanya.
Ditanya adakah cara itu  seolah-olah membuatkan pelajar seperti besar kepala dan semakin manja,  beliau menafikannya kerana pelajar pasti faham yang dilakukan itu  sekadar hukuman membetulkan kesilapan.
“Malangnya, ramai guru  terlupa hingga menyebabkan pelajar melihat  hukuman itu seolah-olah misi  ‘balas dendam’ dan melepaskan perasan benci hingga menjadikan mereka  terus memberontak. 
“Berdasarkan pengalaman dan kajian, saya  percaya jika guru pandai menggunakan budi bicara, pelajar boleh menerima  dan mampu diubah. Cuma tidak boleh mengharapkan keajaiban berlaku  sekelip mata sebaliknya perlu berterusan dan disertai doa,” katanya.  
Faktor penyumbang masalah disiplin pelajar:
  Kurangnya perhatian dan kasih sayang ibu bapa pada era globalisasi  kerana lebih mengutamakan kerjaya hingga lupa tanggungjawab mendidik  anak.
 Kemunculan media massa serta sumber bacaan tanpa batasan hingga menyebab�kan pelajar ingin meniru dan mencuba.
  Pengaruh rakan sebaya kerana menganggap rakan sebagai rakan sebenar  lantaran ibu bapa sukar meluangkan masa untuk mendengar atau  berdampi�ngan dengan anak.
 Kegagalan pihak sekolah untuk bertindak pantas dan telus kerana ada sebilangan cuba merahsiakan masalah disiplin yang berlaku.
  Ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai atau menarik hingga  pelajar lebih gemar menghabiskan masa di tempat tidak berfaedah.