Tahniah di atas mereka yang menempa kejayaan. Banyakkan sabar di atas kegagalan buat mereka yang berusaha gigih. Kita perlu mempelajari kegigihan rakan-rakan kita yang berjaya. Ada dalam kalangan kita semacam tidak mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di sekeliling mereka. Bukankah apa yang berlaku di sekeliling kita dapat membantu kita memehami strategi untuk menggengam kejayaan ? Bagaimana pula dengan kegagalan. Sebagai seorang pelajar kita juga sering didedahkan dengan maklumat berkaitan faktor-faktor kegagalan. Apakah sikap kita terhadap isu ini. Memanglah kecemerlangan dalam akademik bukan satu-satunya penentu kejayaan seseorang tetapi sikap kita akan menentukan pencapaian kita di masa depan di dalam bidang yang bakal kita ceburi nanti dengan izin Allah. Ya, apabila kita dewasa kelak. Apa pilihan kerjaya kita ? Tidak semua kerjaya bergantung sepenuhnya kepada akademik. Jika kita telah memaklumi bahawa kita seorang yang agak rendah pencapaian dalam akademik, dan lebih berminat kepada bidang berkaitan teknikal, atau bidang lain, jangan ada keraguan lagi, beri tumpuan kepada bidang tersebut. Itulah tujuan antara lain kita membuat kajian terhadap kecenderungan diri kita. Adakah kecenderungan kita menjurus kepada bidang akademi, agama, teknikal atau sukan ? Semuanya ini penting untuk difikirkan. Selepas PMR kita masih ada masa lagi untuk menentukan hala tuju kita. Mintalah kepada Allah S.W.T untuk kita memilih hala tuju kita selepas PMR. Agar keputusan yang kita pilih tidak dari hawa nafsu kita semata-mata.
(dalam gambar di atas) Muhammad Hadi Darus, 15, seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) yang tidak mempunyai tangan dan hanya menulis menggunakan kaki, tidak memerlukan masa tambahan untuk menjawab soalan ketika peperiksaan PMR lalu dan mendapat keputusan cemerlang 9A. Tahniah buat adik Hadi.
PENDANG: “Saya tidak berasa sebarang kekurangan pada diri dan saya tahu saya boleh berjaya,” kata Muhammad Hadi Darus, 15, pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam, walaupun dilahirkan tanpa kedua-dua tangan selain terpaksa menulis dengan kaki.
Muhammad Hadi, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang, di sini, memperoleh A dalam sembilan mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Geografi, Sains, Kemahiran Hidup, Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekali gus menjadikannya antara pelajar terbaik di sekolah berkenaan dan Kedah.
Selain tidak memiliki tangan, Muhammad Hadi juga tidak boleh berjalan dan hanya bergerak menggunakan kerusi roda sepanjang masa. Pelajar istimewa dari Felda Sungai Tiang, di sini, itu juga diberi ‘keistimewaan’ di sekolah berkenaan apabila menggunakan meja khas yang diubah suai selain hanya boleh memasuki kelas di tingkat paling bawah sekolah berkenaan.
Muhammad Hadi ketika ditemui, berkata dia tidak mempunyai sebarang formula dalam mengulang kaji pelajaran sebaliknya lebih gemar mengulang kaji pelajaran bersendirian pada waktu malam selain menghadiri tuisyen setiap hari di sekolahnya.
“Saya lebih selesa mengulang kaji seorang diri dan selalunya saya memperuntukkan kira-kira dua jam sehari untuk belajar. Selain itu, ibu bapa dan guru juga banyak membantu,” katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini, semalam.
Katanya, kekurangan pada dirinya juga menjadi pendorong untuk dia mencatat kejayaan cemerlang.
Sekali pandang, kekurangan fizikal yang dialami anak pasangan Darus Dariman, 51, dan Halimah Che Pa, 49, ini memang menyukarkannya, namun ia bukanlah penghalang buat Muhammad Hadi untuk berjaya terutama dalam mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pensyarah.
CEMERLANG…
Pelajar Sekoleh Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek yang juga
merupakan seorang autisme, Muhammad Danial Zainuddin,16, membandingkan
keputusan PMR dengan adik perempuannya, Nurul Diana, 15. Mereka mendapat
keputusan cemerlang 9A pada peperiksaan tersebut dan Muhammad Danial
turut diumumkan sebagai pelajar terbaik ‘pendidikan khas’ Terengganu.
No comments:
Post a Comment