Tips
Pesan Ayah Jadi Azimat
Seremban: Pesanan ayah yang kini terlantar sakit akibat strok supaya
fokus dalam pelajaran menjadi azimat kepada seorang pelajar dari Sekolah
Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor, Ampangan, dekat sini, apabila
memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang
diumumkan, semalam.
Fatimah Basyirah Rosdi, 15, berkata, ayah mengingatkannya supaya
tidak leka setiap kali mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas jika
ingin berjaya dalam pelajaran.
“
Nasihat berguna ayah itu
saya sematkan dalam ingatan dan pembakar semangat untuk meraih keputusan
cemerlang dan Alhamdulillah saya mendapat 8A 1B dalam PMR.
“Kejayaan ini saya hadiahkan kepada ayah dan ibu yang banyak
memberi sokongan dan dorongan selain guru-guru yang gigih membimbing
kami,” katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini, semalam.
Anak kesepuluh daripada 12 adik beradik itu berkata, dia juga
mengamalkan bangun malam untuk mengulang kaji pelajaran selain tidak
lupa menunaikan solat hajat.
“
Saya sentiasa memberi tumpuan
dalam kelas dan hanya membuat ulang kaji dua hingga tiga jam di rumah
pada awal pagi kerana pada waktu itu otak kita segar dan mudah menerima
apa yang dibaca,” katanya yang memperoleh 4A 5B dalam peperiksaan
percubaan PMR lalu.
Seorang lagi pelajar, Nurul Atiqah Mohd Zubher,15, berkata,
kehidupan keluarganya yang sederhana menjadi pendorong untuk berjaya
dalam PMR bagi mengubah nasib keluarga suatu hari nanti.
“Kehidupan saya sekeluarga sederhana dan hanya keperluan tertentu saja
yang dipenuhi ayah serta tidak mampu menghantar ke kelas tuisyen.
Sebagai mekanik pendapatan ayah tidak menentu dan perlu berjimat untuk
menyara kami sekeluarga memandangkan ibu tidak bekerja.
“Saya tidak menyangka memperoleh keputusan 9A biarpun tidak
mengikuti sebarang program tuisyen dan hanya
memberi tumpuan sepenuhnya
di dalam kelas. Ibu, ayah serta adik beradik lain menjadi pembakar
semangat untuk saya berusaha mendapat 9A dalam PMR dan Alhamdulillah ia
menjadi kenyataan,” katanya yang
bercita-cita menjadi doktor.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20 HM
Hadiah untuk nenek
Ipoh:
Ketiadaan kasih sayang ibu bapa serta hidup serba kekurangan
tidak menghalang remaja yatim piatu, Intan Nurul Syafiqah Abdullah, 15,
mencatatkan keputusan cemerlang 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR)
tahun ini.
Menyifatkan dirinya berada dalam kelompok pelajar sederhana, murid
Sekolah Raja Perempuan Taayah, di sini, itu juga hampir putus asa
mengejar kejayaan sehingga mahu keluar dari sekolah itu selepas
mengalami kemerosotan dalam pembelajaran ketika berada di Tingkatan Satu
dan Dua.
“Beberapa minggu lalu, saya ada bermimpi memegang
slip peperiksaan yang mencatatkan keputusan 9A, namun slip berkenaan
adalah milik orang lain.
“Mimpi itu membuatkan saya takut untuk datang ke sekolah
sehinggalah dihubungi cikgu memujuk saya segera mengambil dan melihat
slip peperiksaan diterima,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Kehidupan Intan Nurul Syafiqah dilihat agak sukar selepas dia disara
oleh neneknya, Zabedah Saad, 64, dan datuknya, Samran Abdul Manaf, 63,
sejak dari kecil melalui pendapatan Samran RM260 sebulan sebagai
pemandu sambilan.
“Ini hadiah untuk mereka, sungguhpun tiada
ibu bapa tetapi saya ada mereka. Malah, saya turut memanggil nenek
sebagai `emak’ disebabkan dia menjaga saya sejak kecil lagi,” katanya.
Bagi Nur Mastura Khairul Anuar, 15, pula, kejayaan memperoleh 9A
dalam PMR itu dianggap hadiah kepada ibunya, Isyati Radjak, 45, yang
berniaga kuih kecil-kecilan di Pengkalan Pegoh di sini, bagi menyara
mereka dua beradik selepas kematian bapa awal tahun lalu.
Pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah itu tidak menyangka dapat
memperoleh keputusan cemerlang itu kerana ketika peperiksaan percubaan
hanya memperoleh 6A 2B 1C.
“
Cara pembelajaran saya ialah sentiasa berusaha membantu rakan
menyiapkan tugasan diberikan guru kerana dengan cara itu saya dapat
belajar dan mengingati setiap pelajaran diajar di sekolah,” katanya yang
bercita-cita menjadi pensyarah.
Sementara itu, Pengetua
Sekolah Raja Perempuan Taaayah, Noor Aini Zainal Abidin, berkata 73
daripada 140 pelajar sekolah itu yang menduduki PMR tahun ini memperoleh
keputusan 9A iaitu pencapaian terbaik pernah dicatatkan sekolah
berkenaan sejak ditubuhkan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20 HM
Buta Mata Sebelah Bukan Penghalang
Ipoh: Biarpun buta, pelajar Sekolah Menengah Agama Kerian, Ahmad
Mahfudz Mahayudin, 15, menjadi satu-satunya calon berkeperluan khas di
Perak yang mendapat keputusan semua A dalam peperiksaan Penilaian
Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
Keadaan Ahmad Mahfudz yang
dilahirkan buta mata sebelah kiri sejak
kecil tidak menjadi penghalang buatnya untuk belajar bersungguh-sungguh
sekali gus mendapat keputusan cemerlang 9A dalam PMR diambil.
Menurutnya, berdasarkan keputusan percubaan lalu, dia hanya mendapat
keputusan sederhana menyebabkan dia tidak meletakkan sebarang harapan
tinggi.
“Bagaimanapun,
keputusan percubaan itu tidak langsung mempengaruhi
emosi saya sebaliknya saya terus memperbaiki keputusan pada peperiksaan
sebenar. Saya memang terkejut namun bersyukur dengan rezeki diberi,”
katanya.
Katanya,
banyak cabaran dihadapinya sebelum
menempuh peperiksaan kerana matanya mempunyai masalah bertahan lama
hingga menimbulkan keadaan tidak selesa ketika belajar.
“Mata sebelah kiri memang tidak nampak sejak kecil, mata kanan pula cepat letih jika membaca buku terlalu lama,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20 HM
PUTRAJAYA 19 Dis. - Kehilangan ayah tersayang dan
kemudian terpaksa memasuki kelas pemulihan di Sekolah Berasrama Penuh
(SBP) tidak mematahkan semangat seorang calon Penilaian Menengah Rendah
(PMR) Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Khairul Afhan Zawawi
memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.
Khairul Afhan, 15, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata,
pada mulanya dia tidak berkeyakinan untuk memperoleh keputusan cemerlang
apabila mendapat keputusan kurang memberangsangkan dalam peperiksaan
percubaan.
Namun, katanya,
berkat doa keluarga dan usaha berterusan tanpa jemu akhirnya berjaya membuahkan hasil.
"Saya bersyukur dengan keputusan ini kerana
dapat menghadiahkan
kejayaan kepada ibu yang bersusah-payah membesarkan saya menerusi
pendapatan menjahit sejak ayah sakit dan meninggal dunia akibat kanser
usus pada tahun lepas.
"
Kehilangan ayah memberikan sumber kekuatan kepada saya untuk berjaya
kerana ketika di akhir hayat arwah, dia sudah tidak mampu bercakap dan
hanya terbaring menyebabkan saya menanam tekad untuk berjaya dan menjadi
doktor," katanya kepada
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi calon cemerlang sekolah itu, Mohamad
Izzuddin Abd. Ghafar, 15, mengucapkan terima kasih tidak terhingga
kepada semua, terutama keluarga dan guru yang memberikan tunjuk ajar
tanpa jemu.
Anak bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud itu
berkata, dia agak terkejut dengan keputusan cemerlang tersebut kerana
ketika peperiksaan percubaan hanya memperoleh 1A sahaja.
"Tekanan sebagai anak kepada Ketua Pengarah Pelajaran di samping
perlu mendapat keputusan yang cemerlang memang memberi kesan kepada saya
sehingga terpaksa berjumpa dengan kaunselor untuk mendapatkan nasihat.
"Mujur saya mempunyai ibu bapa yang memahami, di samping mendapat
tunjuk ajar daripada guru yang tidak memberikan sebarang tekanan untuk
mencatatkan keputusan cemerlang," katanya.
20-12-13 © Utusan Melayu (M) Bhd
Sebahagian pelajar yang mendapat
keputusan cemerlang 8A dan 9A dalam peperiksaan PMR di Sekolah Tinggi
Islam As Sofa, Rembau, Negeri Sembilan, semalam.
SEREMBAN 19 Dis. - Mengulang kaji pelajaran
secara sistematik selain menyemak kertas soalan peperiksaan menjadi
resipi kejayaan anak seorang mekanik untuk mendapat keputusan cemerlang
dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.
Calon Sekolah Menengah Agama Dato' Kelana Petra Maamor Ampangan,
Nurul Atiqah Mohd. Zubher,
15, berkata kejayaan yang diperoleh pada hari ini merupakan hadiah
terbaik untuk keluarganya selama ini memberi rangsangan kepadanya untuk
terus berusaha dengan lebih gigih.
''Jangan belajar di saat akhir, tidak perlu berjaga malam atau
belajar secara tertekan sebaliknya belajar dengan bijak dengan nota dan
menyemak kertas peperiksaan tahun lepas serta berdoa kepada Allah adalah
cara terbaik jika calon itu mahu berjaya dalam PMR," katanya di sini
hari ini.
Jelasnya, keputusan cemerlang ini akan dihadiahkan kepada bapanya
Mohd. Zubher Abdullah, 45, yang bekerja sebagai mekanik di Taman Tasik
Jaya dekat sini
Sekolah Menengah Agama Dato' Kelana Petra Maamor hari ini turut
menjadi salah sebuah sekolah terbaik di negeri ini apabila 16 orang
calon daripada sekolah berkenaan memperoleh keputusan 8A dan 9A dalam
PMR tahun ini.
Berbeza pula dengan
Ameer Iqbal Harunrrasheed, 15, yang turut
memperoleh 9A memberitahu, dia hanya banyak menolong rakan-rakannya
untuk mengulang kaji pelajaran kerana beliau percaya kaedah berkenaan
mampu memberikan kefahaman yang lebih buat dirinya menghadapi
peperiksaan.
''Lain orang lain kaedahnya, seperti saya banyak menolong kawan-kawan
mengajar subjek yang kurang difahami sekali gus memudahkan ilmu itu
'melekat' di fikiran saya ketika hendak menjawab soalan yang
dikemukakan," katanya.
Manakala seorang lagi pelajar cemerlang yang memperolehi 9A,
Nur Syahirah Hasbullah,
15, pula teknik bercerita pula diguna pakai untuk membolehkan dia
berjaya mengatasi ketakutan apabila berdepan dengan kertas Sejarah.
''Saya memang suka berangan dan sebab itulah saya minta kawan
ceritakan kepada saya mengenai Sejarah ketika saya sedang duduk dan mula
membayangkan apa yang terjadi pada ketika itu agar lebih memahami apa
yang terjadi.
''Alhamdulillah teknik berkenaan berjaya membuahkan hasil sekali gus
membolehkan saya turut bersama-sama meraikan kejayaan bersama
kawan-kawan," katanya.
20-12-13© Utusan Melayu (M) Bhd