Dengan nama Allah, segala
puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu
'alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
APABILA berlaku
kematian, ada orang yang boleh menghadapinya dengan sabar dan tabah,
namun ada juga orang yang tidak dapat menghadapinya sehingga menangis,
meratap atau meraung. Perkara sebegini tidak dinafikan berlaku kerana
perasaan sayang kepada si mati membuatkan perasaan sedih itu timbul,
kerana hidup bersama dalam masa yang panjang semasa si mati masih hidup,
kini dia kembali ke hadrat Ilahi buat selama-lamanya. Tentu perkara ini
memberikan kesan terhadap semua yang mengenali si mati kadang-kadang
tidak dapat menerima hakikat kematiannya. Tambahan lagi orang yang telah
pergi selama-lamanya itu keluarga yang dekat seperti ibu atau bapa atau
anak sendiri. Mengenai hukum menangisi jenazah ini akan dihuraikan
selanjutnya selepas ini.
Hukum menangisi jenazah
Hukum menangisi jenazah adalah harus
sama ada sebelum berlakunya kematian iaitu ketika dalam keadaan nazak
ataupun selepas berlakunya kematian. Walau bagaimanapun menangisi
jenazah sebelum berlakunya kematian adalah lebih utama berbanding
menangisinya selepas kematian. Menangisi jenazah selepas berlakunya
kematian adalah khilaf al-awla iaitu menyalahi yang utama kerana ia
merupakan penyesalan dari perkara yang telah lalu.
Menangisi jenazah kerana sayang dan
sedih di atas pemergiannya adalah merupakan perasaan semula jadi
manusia. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam juga pernah menangis
ketika menghadapi kematian anak Baginda Ibrahim ‘alaihissalam. Perkara
ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin
Malik Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya : “Kami masuk bersama
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam mendatangi Abu Saif Al-Qaiyn
(iaitu suami perempuan) yang mengasuh dan menyusui Ibrahim ‘alaihissalam
(putera Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam). Rasulullah Shallallahu
'alaihi wasallam mengambil Ibrahim lalu memeluk dan menciumnya. Kemudian
kami menjumpainya lagi selepas (peristiwa) itu dan Ibrahim hampir
menghembuskan nafasnya sehingga menyebabkan kedua mata Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wasallam berlinang air mata. Lalu ‘Abdurrahman bin
‘Auf Radhiallahu ‘anhu (dengan perasaan takjub) bertanya kepada Baginda:
“Engkau juga (menangis) wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab: “Wahai
Ibnu ‘Auf, sesungguhnya ini adalah rahmat,” kemudian berterusanlah
keluar air mata Baginda. Setelah itu Baginda Shallallahu 'alaihi
wasallam bersabda: “Sesungguhnya kedua mata boleh mencurahkan air mata,
hati boleh merasa sedih, akan tetapi kami tidaklah boleh mengatakan
kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami dan dengan perpisahanmu ini
wahai Ibrahim kami amat bersedih”. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Jawapan Rasullullah Shallallahu 'alaihi
wasallam kepada Ibnu ‘Auf Radhiallahu ‘anhu dalam hadits di atas
“Sesungguhnya ini adalah rahmat” bermaksud keadaan Baginda (tangisan)
yang disaksikan oleh Ibnu ‘Auf Radhiallahu ‘anhu itu adalah perasaan
kasih sayang terhadap anak dan bukanlah ia sebagai kegelisahan atau
ketidak sabaran seperti mana yang disangkakan oleh sahabat Baginda itu.
Begitu juga diceritakan dalam sebuah
hadits yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid Radhiallahu ‘anhu ketika
Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam menghadapi kematian cucu Baginda.
Nafas Baginda menggeletar dan air mata Baginda berlinangan di saat cucu
Baginda diserahkan kepadanya. Lalu Sa‘ad bin Ubadah Radhiallahu ‘anhu
bertanya kepada Baginda:
Maksudnya : “Wahai Rasulullah, (air
mata) apa ini?” Nabi menjawab: “(Air mata) ini adalah rahmat (perasaan
sayang) yang Allah jadikan dalam hati-hati hambaNya dan sesungguhnya
Allah hanya merahmati hamba-hambaNya yang penuh rasa kasih sayang.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Bentuk tangisan yang diharuskan
Bentuk tangisan yang diharuskan itu
sebagaimana disebutkan dalam kitab Hasyiatan Qalyubi Wa ‘Umairah ialah
tangisan dengan suara yang perlahan (sekadar teresak-esak) walaupun
mengeluarkan air mata dan perasaan hati yang sedih.
Menurut Imam as-Subki Rahimahullahu
Ta‘ala jika tangisan ke atas jenazah itu, kerana perasaan kasih sayang
dan kerana perasaan takut di atas apa yang akan menimpa kepadanya
daripada balasan Allah Ta‘ala dan perkaraperkara yang menakutkan pada
hari kiamat adalah tidak makruh dan tidak menyalahi yang lebih utama.
Menurut ulama lagi, jika tangisan itu
kerana perasaan kasih sayang seperti menangisi kanak-kanak adalah tidak
mengapa, akan tetapi adalah lebih baik bersabar. Adapun jika menangisi
jenazah kerana hilangnya ilmu, kebajikan, keberkatan dan keberanian si
mati maka ia digalakkan.
Bentuk tangisan yang dilarang
Bentuk tangisan yang dilarang ke atas jenazah itu ialah seperti berikut:
1. Haram jika tangisan itu disebabkan ketidaksabaran dan tidak menerima sebagai qadha daripada Allah Ta‘ala.
2. Haram menangisi jenazah dengan
menyebut-nyebut kebaikan si mati seperti katanya: “Aduhai gunungku” (si
mati diibaratkan sebagai gunung kerana si mati adalah tempat bersandar
dan berharap).
Larangan mengenai meratapi jenazah
sebegini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu
Musa al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi
wasallam bersabda:
Maksudnya : “Tidak ada jenazah yang
(mati atau hampir mati) dan diratapi oleh keluarganya dan berkata-kata:
“Aduhai gunungku”, “Aduhai tuan aku” atau yang seumpamanya, melainkan
diwakilkan untuknya dua malaikat menepuk-nepuk dada si mayat (dengan
kedua tangannya dan) berkata: “Beginikah kamu?”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Persoalan “beginikah kamu” dalam hadis tersebut itu adalah ancaman bagi orang yang meratap dengan menyebut-nyebut kebaikan simati.
3. Haram menangisi jenazah dengan suara
yang tinggi seperti meraung. Abu Malik al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu
menceritakan, bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya : “Ada empat (perangai)
pada umatku yang dibawa dari zaman Jahiliyyah, mereka tidak dapat
meninggalkannya sama sekali iaitu : “Bangga terhadap kemuliaan, menghina
hubungan sesama kekeluargaan, mempercayai turunnya hujan melalui
perbintangan (ilmu tenung) dan ratapan,” Baginda bersabda: “Orang yang
meratap itu apabila dia belum bertaubat sebelum kematiannya maka akan
dibangkitkan pada hari kiamat (dalam keadaan kulitnya berkurap atau
berkudis seolah-olah) pada (anggota)nya baju (yang dilumuri dengan)
minyak (iaitu minyak yang dilumuri pada unta yang berpenyakit kurap dan
minyak itu dibakar untuk menghilangkan penyakit kurap pada unta itu
seolah-olah) baju dari kurap atau kudis.” (Hadits riwayat Muslim)
4. Begitu juga haram menunjukkan
perasaan tidak sabar sehingga memukul-mukul dada dan pipi atau menarik
rambut dan mengoyak baju. Ini juga berdasarkan sebuah hadits yang
diriwayatkan oleh ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu
'alaihi wasallam bersabda :
Maksudnya : “Bukanlah dari golongan
kami orang yang menampar-nampar pipi dan mengoyak-ngoyak baju dan
menyebut-nyebut (penyesalan terhadap si mati) sebagaimana sebutan orang
jahiliyyah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menangisi jenazah sehingga berlebihan
seperti meratap, memukul dada dan pipi, mengoyak baju, dan berteriak
adalah dilarang kerana tangisan seperti ini melewati batas-batas yang
diharuskan dalam syara‘. Tangisan seperti ini menunjukkan ketidaksabaran
seseorang itu dalam menghadapi takdir Allah Ta‘ala.
WALLAHU'ALAM